Popular Posts

Saturday 12 March 2011

sedutan novel NIAN DI HATI




Suasana di SMK Kampung Mutiara sungguh meriah pada pagi itu. Pelajar-pelajarnya baru sahaja menerima keputusan peperiksaan PMR mereka. Ramai yang bergembira dan menelefon ibu bapa untuk memberitahu keputusan yang diperolehi. Namun ada juga segelintir yang berwajah sugul disebabkan keputusan yang diperolehi tidak memuaskan.

Amy memegang slip keputusan peperiksaan yang sudah diperoleh. Langsung tidak dibelek apa yang tercatat di atas slip itu. Dia gementar. Nafasnya terasa sesak. Dia bimbang keputusan yang diterima tidak sebaik yang diinginkan.

“Huiyoo! Tahniah, Leon! Tak sangka terror juga kau ni.” Terdengar seorang pelajar sedang memuji rakannya.

Seorang pelajar lelaki memaut bahu pelajar Cina yang bernama Leon itu. “Ini yang aku bangga jadi kawan kau ni!”

Senyuman kelihatan terukir di bibir Leon. Dia berasa bangga apabila dipuji begitu. Segala usaha dan penat lelahnya selama ini terbayar akhirnya.

“Kau pun bagus juga apa. Cuma kurang dua A aje. Nanti SPM boleh buat lagi bagus, kasi strike!” ujar Leon penuh semangat.

Temannya itu ketawa.

Amy khusyuk memandang gelagat pelajar-pelajar itu. Alangkah seronoknya jika dia berada di tempat Leon sekarang.

“Kau tak tengok lagi result kau dapat berapa?” Sergahan Hani itu memecahkan lamunan Amy.

Amy terkejut. Spontan dia menoleh ke arah Hani. Temannya itu datang dari bandar semata-mata untuk menemuinya.

“Penat aku datang dari jauh. Lebih setengah jam tau nak ke sini. Orang lain semua sibuk tengok result, kau pulak sibuk mengelamun. Marilah aku tengok,” tegas Hani.

Amy cuba mengelak. Namun Hani sudah merampas slip peperiksaan itu daripadanya. “Aku takut tak dapat macam kau,” ujarnya gusar.

Apabila melihat slip peperiksaan itu, Hani menghela nafasnya sambil menggeleng perlahan. 

Wajahnya berubah sedih. “Amy, bersabarlah ya?” pujuknya.

Amy berasa cemas apabila mendengarnya. “Kenapa?” soalnya.

“Kau dah gagal semua subjek,” balas Hani lemah.

Amy terasa hendak pengsan saat itu juga. “Gagal semua subjek?” soalnya terketar-ketar. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

Hani mengangguk. Dia mempamerkan rasa simpati. “Keputusan ni tak dapat diselamatkan.”

Mata Amy mula kabur dengan air jernih. Dia sudah terduduk di kerusi. Dia faham benar maksud Hani. Apa yang tertulis dalam slip keputusannya tidak boleh diubah atau ditarik balik. Itulah 
jawapan atas segala usahanya selama ini. Ya ALLAH, apa yang harus aku cakap pada ayah?

Fauziah yang baru datang tersenyum lebar pada teman-temannya. Dia kehairanan apabila melihat Amy sedang menangis. Dia memberi isyarat pada Hani untuk mengetahui hal sebenar.

Hani mengunjukkan slip keputusan Amy kepada Fauziah. “Kesian kan Amy?”

“Ya ALLAH, kesiannya. Teruk betul keputusan dia ni,” komen Fauziah. Dia benar-benar terkejut dengan apa yang dilihatnya.

“Amy, tengoklah ni...” gesa Hani.

“Tak payah. Aku tak nak tengok,” ujar Amy sebak. Buat apa melihat keputusan itu jika hanya menambah kesedihan dan sakit hati.

“Tengok ajelah. Itu kan slip kau. Buruk macam mana pun kau kena terima hakikatnya,” celah Fauziah.

Amy mengesat air matanya. Lama dia menenangkan diri. Dirinya kian tidak bersemangat. Namun dia mencapai jua slip yang dihulur. Dengan perasaan sayu, apa yang tertulis di atas slip itu ditatap. Sesaat kemudian, matanya terbeliak.

“Ini... Ya ALLAH, aku dapat keputusan elok rupanya. Syukurlah,” ujar Amy dengan perasaan lega.

Hani dan Fauziah ketawa berdekah-dekah melihat reaksi Amy. Ketika itu Amy baru menyedari dirinya telah dipermainkan.

“Tak guna kau orang berdua!” jerit Amy lantang. Dikejar Hani dan Fauziah yang mengatur langkah seribu dengan hati riang.

Hani dan Fauziah benar-benar seronok kerana berjaya mengenakan Amy. Amy mengejar mereka dengan perasaan geram.

“Wei, tunggu!” jerit Amy.

Hani dan Fauziah berpandangan, kemudian menoleh ke belakang. Mereka akhirnya berhenti berlari kerana kasihan melihat Amy terkial-kial mengejar mereka.

“Kau orang ni teruk betullah!” marah Amy sambil bercekak pinggang.

Mereka ketawa melihat wajah Amy yang masam mencuka.

“Sorrylah. Kita orang bergurau aje tadi,” ujar Hani.

Amy menggeleng sebelum menghela nafas panjang. Teman-temannya itu suka bergurau tanpa mengira apa jua situasi. Sudahlah dia ada darah gemuruh.

“Jomlah kita balik rumah. Mesti parents kita tak sabar nak tengok keputusan ni. Ayah kau mesti lagi tak sabar nak tengok. Kau kan intan payung dia,” usik Fauziah.

Amy tersenyum mendengar perkataan ‘intan payung’ itu. Dia mencubit pipi kawan-kawannya manja. Kemudian mereka bertiga berpeluk bahu sambil melangkah bersama dengan hati yang riang.


Amy mengayuh basikal pulang ke rumah. Sebaik sampai, dia melangkah perlahan masuk ke dalam rumah. Encik Norman yang sedang duduk membaca akhbar di ruang tamu menoleh ke arahnya.

“Assalamualaikum, ayah...” ucap Amy.

“Waalaikumussalam. Wah, anak ayah dah balik,” sahut Encik Norman ceria.

Itulah ayat yang Amy akan dengar apabila pulang ke rumah. Ayat itu membuatkan kepenatannya hilang serta-merta. Dia menghampiri ayahnya. Tangan ayahnya disambut dan dikucup lembut.

Ayah dah makan?” soal Amy lembut.

“Belum. Ayah tunggu Amy balik. Ayah dah siapkan semua atas meja,” balas Encik Norman.

“Amy tukar baju dulu ya? Nanti Amy makan dengan ayah.”

Encik Norman mengukir senyuman nipis.

Semasa mereka menikmati hidangan tengah hari, Encik Norman memandang anaknya.

“Macam mana? Masakan ayah ada peningkatan tak?” soal Encik Norman.

Amy mengangguk. “Sedap ayah masak,” pujinya.

Encik Norman tersenyum. Hatinya rasa berbunga. Dilihat Amy meneruskan suapan. Anak gadisnya itu nampak sungguh berselera. Jelas terlalu lapar. Jarang dia dapat memasakkan untuk Amy. Selalunya gadis itu yang memasak atau mereka sekadar menikmati nasi bungkus.
“Ayah tak makan ke? Nasi dah sejuk tu,” tegur Amy.

Encik Norman menyenduk lauk ke dalam pinggannya. Kemudian dia menyuap ke dalam mulut dengan hati ceria. Namun sesaat kemudian, wajahnya serta-merta berubah. “Ya ALLAH, manisnya.”

“Okeylah ni. Sedaplah ayah,” ujar Amy riang.

Encik Norman berasa tidak selera untuk meneruskan suapan. Dia mengeluh perlahan. “Apalah yang ayah tambah tadi. Mesti silap lagi. Ingatkan garam. Rupanya gula.”

Amy selamba meneruskan suapan.

“Kita makan mi segera sajalah ya? Nanti ayah letak ayam dengan telur, biar special sikit,” pujuk Encik Norman. Dia berasa amat bersalah pada anaknya itu.

Amy menggeleng. Dia masih meneruskan suapan dengan berselera. Perutnya benar-benar terasa lapar.

Encik Norman mengeluh panjang. Kasihan Amy. Disebabkan selalu terkena penangan pelbagai ‘rasa unik’ masakannya sejak kecil lagi, tekak anaknya itu sudah terlebih serasi. Semua makanan dirasakan sedap.

Selepas mengemas meja, mereka duduk di ruang tamu sambil menonton televisyen. Amy memeluk patung beruang kesayangannya. Dia mengerling ke arah Encik Norman yang sedang menumpukan perhatian ke kaca televisyen.

“Kenapa ayah nampak sedih aje?” soal Amy. Dia kehairanan apabila melihat wajah ayahnya sayu sejak tadi.

Encik Norman menghela nafas panjang. “Bola malam tadi MU kalah,” balasnya.

Amy tersenyum. “Biasalah tu ayah... adat bertanding.”

“Disebabkan sedih sangat, ayah sampai tersilap masukkan gula dalam gulai. Ayah sangka ayah masukkan garam tadi.”

“Eh, bukan hari-hari ayah masak macam tu ke?” balas Amy selamba.

Spontan Encik Norman mencubit pipi Amy. Gadis itu ketawa riang.

Bibir Encik Norman mula mengorak senyuman nipis. “Happynya dia. Result macam mana?”

Amy tergamam mendengar soalan itu. Dia tidak mampu memandang wajah ayahnya itu.

“Diam saja. Elok ke tidak?” soal Encik Norman lembut.

Amy menggeleng perlahan. Wajahnya masih lagi ­menunduk.

“Teruk sangat ke?”

Lama Amy membeku di sofa. Akhirnya, dia mengangguk lemah.

Encik Norman mengeluh perlahan, rasa lemah apabila melihat reaksi anaknya itu. Apalah nak jadi dengan anak aku ini. “Hisy... dahsyatnya. Kalau macam tu, tak payahlah sekolah lagi. Buang masa saja. Baik ayah kahwinkan saja.”

Amy tergamam apabila mendengarnya. Spontan dia memandang ayahnya dengan mata membuntang. “Hah?! Kahwin?!” soalnya cemas.

Encik Norman mengukir senyuman. “Ya. Dengan Azerul, anak Mak Tom tu. Dia kan suka sangat dengan Amy,” cadangnya.

“Tak nak! Tak nak!” jerit Amy sekuat hati. Dia benar-benar panik apabila ayahnya bercadang ingin menikahkan dia dengan Azerul, lelaki yang dia paling menyampah di muka bumi. Sudahlah lelaki itu perangai tak semenggah. Ibu Azerul pula amat membencinya.

Encik Norman ketawa melihat gelagat anaknya.

“Oh, tidak! Kenapa kena kahwin? Kenapa dengan Azerul? Amy kan muda lagi. Alang-alang 
kahwin, baik dengan Anuar Zain,” ujar Amy.

Encik Norman rasa geli hati. Dalam tak nak kahwin, berangankan pula penyanyi pujaannya itu.

“Itulah. Kelentong ayah lagi. Ayah kenal benar anak ayah sendiri. Ingat ayah tak tahu ke Amy berlakon tadi. Kalau betullah apa yang Amy cakap tadi, takkan balik rumah muka boleh selamba saja. Mahunya menangis bawah pokok jambu.”

Amy tersipu sendiri apabila mendengar kata-kata itu. Mujurlah ayahnya sekadar bergurau. Selama ini pokok jambu itulah yang menjadi tempat dia meluahkan perasaan. Jika benar dia dikahwinkan dengan Azerul, mahunya pokok jambu itu turut menangis teresak-esak mendengar kisah sedihnya itu.

“Demi meraikannya, ayah belanja Amy makan coklat banyak-banyak hari ni,” ujar Encik Norman.

Amy ketawa mendengarnya. Hatinya benar-benar riang.

bersambung...

1 comment:

  1. ahaha!! ok laa.. nk kata best x bca lgi.. hanya leh kata MAYBE!!!

    ReplyDelete