Popular Posts

Saturday 19 March 2011

Sedutan 2 novel Nian Di Hati


sambungan dari yang pertama...

Hujan di luar rumah masih turun renyai-renyai. Setelah memastikan semua tingkap tertutup rapat, Amy mandi dan kemudian menunaikan solat maghrib. Selesai solat, dia berdiri di hadapan cermin sambil menyisir rambutnya perlahan. Rumah setingkat itu terasa sunyi. Ayahnya masih berada di bilik.

Selama ini dia bertungkus-lumus belajar untuk berjaya dalam peperiksaan demi menjamin masa depan yang lebih baik. Dia juga mahu ayahnya berasa bangga dengannya. Dalam masa yang sama, dia ingin mendapatkan wang biasiswa yang ditawarkan supaya tidak lagi menyusahkan ayahnya.

Kini setelah berjaya mendapatkan apa yang dia inginkan, perasaannya mula berubah. Dia tidak sanggup untuk meninggalkan ayahnya sendirian. Dirasakan jika dia pergi ke sekolah asrama, pasti ayahnya akan kesunyian. Biarpun ayahnya menggalakkan dia pergi, tapi dia tahu ayahnya berasa berat hati untuk melepaskannya. Ini kerana dia bukan hanya sekadar anaknya, namun dia juga satu-satunya rakan karib yang ayahnya miliki.

Amy menarik nafas panjang. Belajar di mana-mana sama sahaja. Asalkan niat di hati betul dan belajar bersungguh-sunguh.

Dia mendail nombor telefon bimbit Hani. Beberapa ketika kemudian panggilannya dijawab.

“Helo, Hani...” ujar Amy memulakan perbualan.

Hani ketawa riang. “Aku tak sangka kau akan telefon. Aku ingatkan kau nak lancarkan perang dingin dengan aku pasal hari tu.”

“Ceh, aku tak ada masa nak lancarkan perang dingin. Aku ingat nak ajak kau keluar. Esok kau pergi mana-mana ke?” soal Amy.

“Esok tak bolehlah. Aku dah janji nak keluar dengan Sham,” jawab Hani.

Amy benar-benar rasa teruja mendengarnya. “Hah? Betul ke kau keluar dengan Sham? Macam mana kau boleh dapat contact balik dengan dia?”      

“Minggu lepas dia ada hantar e-mel tanya khabar dan ajak aku keluar. Tak tahu dari mana dia dapat tahu e-mel baru aku. Apa-apa pun, aku rasa puas hati dapat contact dengan dia balik,” ujar Hani ceria.

“So, kisah lama akan berulang kembalilah ni?”

Hani menghela nafas panjang. “Mungkin kot.”

“Bestlah macam tu,” balas Amy. Dia tumpang gembira mendengarnya.

“Tapi aku kena pandai simpan. Kalau tak, mahunya ada rimau mengamuk kat rumah aku,” ujar Hani.

Amy ketawa geli hati. Dia tahu, mama Hani begitu garang dan menekankan tentang pelajaran anak-anaknya. Disebabkan itu mamanya tidak mahu Hani bercinta ketika zaman persekolahan.

“Kau telefon aku ni ada hal penting ke?” soal Hani.

“Aku nak minta pandangan tentang tawaran pergi asrama tu. Kau rasa aku patut pergi ke?”

Hani terkejut mendengarnya. “Kenapa pulak kau tanya macam tu? Kau tak suka duduk asrama ke?”

Amy menghela nafas panjang. “Bukan macam tu. Aku cuma rasa berat hati nak tinggalkan ayah aku sorang-sorang.”

“Aku faham. Tapi ayah kau sendiri yang suruh kau pergi. Ayah kau nak masa depan kau lebih terjamin.”

“Tapi aku rasa serba salah sekarang ni.”

Hani mengeluh panjang. “Itu cuma mainan perasaan. Bersabarlah ya? Kuatkan semangat kau.”

Amy ingin membalas, namun dia tergamam apabila melihat ayahnya sedang berdiri di muka pintu. Ada riak kesedihan di wajah tua itu.

“Hani, aku telefon kau semula esok ya? Selamat malam,” ujar Amy mengakhiri bicara. Kemudian dia terus meletakkan gagang telefon.

Encik Norman menghampiri anaknya dengan wajah sugul.

“Ayah...” seru Amy perlahan.

“Ayah dah dengar semuanya. Jawapan ayah... no! Ayah nak Amy pergi juga ke sekolah asrama tu,” ujar Encik Norman sebak.

“Tapi Amy...”

Encik Norman sudah memintas. “Jangan fikirkan tentang ayah. Masa depan Amy lebih penting.”

Air mata mula bergenang di kelopak mata Amy. “Jangan cakap macam tu. Amy tak sanggup nak tinggalkan ayah sorang-sorang. Siapa akan jaga ayah nanti?”

Encik Norman semakin sebak apabila mendengar kata-kata itu. “Buat apa nak orang lain jaga ayah? Ayah bukannya budak kecil. Kalau Amy tak ada nanti, ayah boleh jaga diri sendiri. Buat apa Amy nak risau?”

Amy tahu ayahnya sekadar ingin memujuk. Mana mungkin ayahnya mampu tinggal di rumah sendirian kerana selama ini dia sentiasa berada di sisi.

Encik Norman menyambung lagi. “Lagipun selagi Amy ada, ayah tak boleh hidup berdikari. Ayah akan terus bergantung pada Amy. Sedangkan anak ayah juga ada kehidupan sendiri. Biarlah ayah biasakan diri tak ada Amy di sisi. Suatu hari nanti ayah terpaksa lepaskan Amy juga.”

Apabila mendengar kata-kata itu, perasaan Amy menjadi bertambah sebak. Lantas dia terus memeluk ayahnya. “Amy tak nak tinggalkan ayah. Amy sayangkan ayah.”

Encik Norman membalas pelukan anaknya. “Kalau benar Amy sayangkan ayah, dengar cakap ayah. Ayah nak Amy pergi ke sekolah tu.”

“Tak nak! Amy tak nak pergi,” balas Amy sebak. Dia benar-benar tidak sanggup meninggalkan ayahnya.

“Dengar cakap ayah, Nur Amelia Sherina. Anak ayah ni nak jadi anak yang solehah, yang mendengar kata, kan?”
Akhirnya Amy bersetuju walaupun hatinya terasa berat.


Barang-barang dapur banyak yang hampir kehabisan. Amy ­me­nyenaraikan barang-barang yang perlu dibeli. Setelah diberi sekeping not RM50 oleh ayahnya, dia berbasikal menuju ke kedai. Ketika sedang leka membelek barang di kedai runcit Cik Zakiah, Mak Tom datang menegurnya dengan wajah sombong.

“Hai, beli barang ke?”

Amy hanya mendiamkan diri.

“Mana perginya mak kamu? Dengarnya hidup lagi. Tapi tak pernah nampak pun jenguk kamu. Dah lari ikut jantan lain ke?”

Hati Amy mula dihimpit rasa sebak. “Jangan tuduh macam tu. Ibu saya ada kat kampung, Mak Tom.”

Mak Tom ketawa. “Kalau ada kat kampung, takkanlah tak balik-balik?” Sinis nada itu.

Amy mengalihkan pandangannya. “Tolong kira, Cik Kiah...” ujarnya sambil meletakkan bakul di atas kaunter. Hatinya sebal melayani kerenah wanita itu. Dia ingin segera pulang ke rumah.

Cik Zakiah tersenyum nipis sambil mengira harga barang-barang yang dibeli. “Sabar ya, Amy?” pujuknya.

Amy hanya membisu. Dia sudah lali mendengar tohmahan orang kampung tentang ibu dan ayahnya.

“Tak payah temberanglah. Aku bukannya budak-budak kecik yang kau boleh tipu. Aku tahu mak kau dah ­tinggalkan bapak kau tu. Dia tu perempuan mata duitan. Mana dia ­sanggup hidup susah. Mujur cepat dia angkat kaki. Sekarang bapak kau dah cacat. Kalau aku pun aku tak ingin!” sindir Mak Tom lagi.

Amy cuba menahan sabar. Dia tidak suka mendengar ibu bapanya dicerca begitu.

“Memang sejak dulu lagi aku tak suka dengan ­keluarga kau tu, keluarga porak-peranda. Bapak, emak dan anak semuanya tak boleh pakai. Buat menyemak saja tinggal kat sini. Sekarang ada hati nak dengan anak aku, tergila-gilakan dia. Cerminlah diri kau tu sikit. Tak payah beranganlah nak jadi menantu aku. Aku tak ingin bermenantukan kau. Langkah mayat aku dulu,” sambung Mak Tom dengan nada sombong.

Amy tidak sanggup lagi membiarkan dirinya dicerca. “Keluarga saya tak pernah kacau hidup sesiapa kat sini. Mak Tom tu yang suka mengacau hidup orang. Si Azerul tu, hensem sangat ke dia tu sampai saya tergila-gilakan dia?” sindir Amy.

Mata Mak Tom membulat. “Kurang ajar punya budak! Suka-suka saja melawan cakap orang tua. Apa? Mak bapak kau tak ajar ke?”

Amy hanya selamba.

“Kak Tom, cubalah jangan cakap main lepas saja. Dengan semua orang Kak Tom cari gaduh. Sepatutnya sebagai orang tua, kita tunjuk perangai yang baik. Bukannya kita yang berperangai tak senonoh,” tegur Cik Zakiah.

“Dengar tu. Jaga sikit perangai tu. Kalau saya jahat, tak hairanlah. Budak-budak. Tapi Mak Tom tu dah tua. Memalukan orang muda aje,” sindir Amy pula.

Mak Tom mendengus geram. “Kalau ikutkan hati aku, nak aje aku lumur muka kau dengan sos ni.”

“Apa barang sos? Saya siap beli cili giling lagi. Tengoklah siapa lagi power,” balas Amy selamba.

Cik Zakiah mengeluh panjang. “Hisy... budak ni pun boleh tahan juga. Dah, jangan dikisahkan lagi Mak Tom kamu tu. Nanti sampai bila pun tak habis. Ini semuanya RM33.50,” ujar Cik Zakiah.

“Miskin-miskin pun ada hati beli barang banyak-banyak. Macamlah ada duit nak bayar,” sindir Mak Tom.

Amy hanya mendiamkan diri sambil mengeluarkan duit dari dompet. Dia menghulurkan sekeping not RM50 dan sekeping syiling 50 sen kepada Cik Kiah. Kalaulah ada wang beribu-ribu, mahu sahaja dia menayang buat kipas supaya mata wanita itu terbeliak. Suka benar menyibuk hal orang lain.

“Amy balik dululah, Cik Kiah.”      

“Tak nak tunggu Fauziah dulu ke? Sekejap lagi dia balik,” ujar Cik Zakiah. Biasanya, Amy akan berbual dulu dengan anak gadisnya sebelum pulang ke rumah.

Amy menggeleng. “Tak apalah. Lain kali ajelah jumpa Fauziah. Amy nak balik, masak. Kesian ayah kat rumah tu. Balik dulu ya, Cik Kiah?” ujarnya sebelum ­berlalu.

Mak Tom menjeling tajam ke arah Amy. Jika ikutkan hati, teruk dikerjakan gadis itu.

Amy meletakkan beg plastik barang di dalam bakul basikalnya. Kemudian berlalu pergi.

Cik Zakiah tersenyum memandang Amy berlalu. “Pandai budak tu jaga diri walaupun membesar tanpa ibu. Biarpun Norman tak macam kita semua, tapi dia berjaya mendidik anak dia itu. Saya seronok bila dengar Amy antara pelajar terbaik kat sekolah. Dia dapat biasiswa masuk sekolah asrama. Sama macam Fauziah.”

Mak Tom terdiam apabila mendengar kata-kata Cik Zakiah. Pelajar terbaik?

“Akak cakap anak akak dapat cemerlang. Minggu lepas kan hari penyampaian hadiah. Tak nampak pun akak kat sana.”
Cik Zakiah memandang Mak Tom.

Wajah Mak Tom berubah. “Aku... aku tak pergi. Aku sibuk hari tu.”

Cik Zakiah tersenyum sendiri. Mana mungkin Azerul itu mendapat keputusan cemerlang jika jumlah hari dia ponteng sekolah lebih banyak daripada dia datang ke sekolah. Malam-malam melepak sana sini dan menjadi mat rempit. Sudahlah tiada rupa dan tidak pandai, perangai bagaikan pelesit.

Sebaik Mak Tom melunaskan pembayaran, Cik Zakiah menghulurkan sebungkus beg plastik. “Ini barangnya. Saya nasihatkan, lain kali jagalah sikit mulut akak tu. Kalau ditakdirkan ALLAH tarik nyawa kita sebelum orang tu maafkan kita, tak pasal-pasal kita masuk neraka.”

Mak Tom mendengus. “Kau sibuk kenapa? Tak payah nak ajar akulah!” Direntap bungkusan itu dengan wajah masam. Ketika melangkah pergi dengan perasaan marah, dia terlanggar rak. Sudahnya, bahunya terasa sakit. Rasa malu juga tidak mampu dibendung.

Cik Zakiah menggeleng melihat gelagat wanita itu. 

No comments:

Post a Comment