Popular Posts

Thursday 10 March 2011

Novel 1 - Jika Kau Tiada (Bab 5-8)

5

SETELAH berkumpul di hadapan rumah Datuk Amir, mereka bertolak ke Hulu Langat. Ada lapan orang yang menyertai perkhemahan itu. Tiba di Hutan Lipur Sungai Congkak, mereka mengangkat beg ke pintu masuk. Kawasan khemah itu agak tersorok jauh ke dalam.
Shakira dan Nisa menyusun barang-barang keperluan sementara Irma dan Joanne mengambil tugas membersihkan kawasan sekitar. Mereka yang lain pula mendirikan khemah. Setelah siap khemah-khemah dipasang, Jimmy mengambil tempat di sebelah Shakira. Gadis itu menghulurkan sebotol air mineral padanya. Dia meneguk perlahan.
“Lepas ni I pergi cari kayu api pulak,” ujar Jimmy.
“Pergi dengan siapa?” soal Shakira.
Jimmy mengerling ke arah Shakira. “Abang you.”
“You ajak dia?”
Jimmy menggeleng. “Dia yang ajak I.”
“Emm… baguslah tu. You berdua boleh lebih mengenali satu sama lain.”
Agak lama Jimmy membisu sebelum kembali bersuara.
“Kiera?”
Shakira memandangnya. “Ada apa?”
“Abang you masih tak sukakan I ke?”
Shakira diam.
“Boleh beritahu I macam mana nak ambil hati dia?”
Shakira memandang ke arah air sungai yang mengalir. Rasa sejuk dan mendamaikan.
“You kena banyak beralah dengan dia, rajin ajak dia berbual. Dia tu bersikap terlalu protective pada I dan Nisa. Sebenarnya bukan hanya you, boyfriend Nisa pun dia tak berapa suka. Tapi bila dia cuba berbaik dengan you, maknanya persepsi dia terhadap you dah berubah. Dia dah mula terima you.”
Jimmy tersenyum kecil. Terpujuk dengan kata-katanya.
“Okey, I akan cuba dekati dia,” ujar Jimmy ceria.
Gadis itu turut tersenyum. Kemudian meneliti buku catatan.
“Malam ni kita panggang ikan dan sosej. Masak nasi sikit. Sayur tak payahlah kot. Timun dan tomato pun dah cukup,” ujarnya tentang menu malam itu.
“Panggang ikan?”
Shakira mengangguk.
“Nanti kita beli kat pekan,” usul Shakira.
“Apa ni. Kata nak rasa hidup dalam hutan. Tapi beli ikan kat pekan pulak!” rungut Jimmy.
“Sekali-sekala. Takkanlah kita nak pergi pancing pulak.”
“You kan beruang kutub. Tangkap ikan guna tangan pun boleh,” usik Jimmy.
Shakira mengancing giginya, menahan rasa geram.Jimmy tersenyum.
“Ikan tilapia kalau dipanggang sedap tau. Lagi sedap kalau masih baru. Lepas tu cicah dengan air asam atau sambal belacan. Fuh, memang terangkat!” Jimmy mencuit hidung gadis itu.
“You ni kalau pasal makan semuanya sedap!”
Shakira hanya ketawa.
“Hah, pukul berapa nak perginya?” soal Jimmy tiba-tiba.
Dia terpinga-pinga. “Pergi mana?”
“Pekanlah. Kan tadi nak beli ikan. Buat-buat lupa pulak.”
“Lepas you balik dari cari kayu apilah.”
“Okey,” balasnya.
“Jangan lama sangat. Nanti lambat kita makan malam.”
Jimmy mengangguk sahaja. Serentak itu, Hakim memanggil Jimmy dari jauh. Jimmy bangun dan mendapatkan lelaki itu.
“Kiera, abang pergi dulu,” laung Hakim.
Shakira hanya melambai tangan ke arahnya. Berganti pula pada Jimmy yang sudah berada di sebelah abangnya.

SELEPAS menunaikan solat maghrib, mereka memanggang ikan seperti yang dirancang. Bau yang menusuk ke hidung membuatkan perut Shakira terasa lapar. Tanpa membuang masa, dia menjamah sosej yang baru masak. Lidahnya rasa perit.
“Kiera,” tegur Hakim.
Shakira tidak berani menatap wajah lelaki itu.
“Makan tu elok-elok sikit. Sosej tu kan masih panas. Tunggulah sejuk dulu,” tegur Hakim lagi.
Sorry,” ujar Shakira dengan perasaan bersalah.
Dia meletakkan sosej yang dicucuk lidi itu ke dalam pinggan. Semua mata tertumpu kepadanya. Dia rasa bersalah dengan kelakuannya yang kurang menyenangkan. Dia sedar bukan dia seorang sahaja yang lapar.
“Jangan risau. Sekejap lagi kita dah boleh makan.” Jimmy bersuara sambil membalikkan ikan di hadapannya.
Saat itu angin bertiup agak kencang. Rasa sejuknya menggigit sehingga ke tulang. Masing-masing berpeluk tubuh. Hakim membetulkan baju sejuk Nisa. Apabila melihat Shakira kesejukan, dia menanggalkan baju sejuknya untuk disarung ke tubuh adiknya itu.
Namun, Jimmy lebih pantas menyarungkan baju sejuknya ke tubuh Shakira. Kemudian Jimmy membetulkan baju itu supaya nampak lebih kemas. Hakim tersenyum melihat kelakuan Jimmy. Lelaki itu memang boleh diharap untuk menjaga adiknya.

SHAKIRA dan Jimmy memilih tempat duduk agak jauh dari mereka yang lain. Dua gelas minuman dan sepiring buah mangga diletakkan di atas meja.
“Seronok kan kalau sekali-sekala kita camping macam ni. Boleh tenangkan fikiran. Selain tu badan pun rasa lebih sihat sebab banyak peluh yang keluar,” ujar Jimmy.
Shakira pantas mengangguk. Matanya tertumpu pada unggun api yang berada tidak jauh dari mereka.
“Lain kali kita ajaklah remaja yang berbabit dalam aktiviti kurang sihat camping dengan kita. Sukarelawan lain mesti tak kisah untuk membantu. Mana tahu wujud kesedaran di hati remaja tu dan jauhkan diri dari aktiviti mereka sebelum ni,” cadang Jimmy.
“Bagus jugak cadangan tu. Lagipun masa muda inilah kita kena gunakan dengan baik. Dalam kita mengajak, kita terapkan tentang agama dan nilai-nilai murni. Kalau mereka tak minat camping, boleh ajak bersukan. Tak pun melukis atau buat grafiti. Sekarang dah ada tempat khas untuk aktiviti tu. Selain tu boleh masuk X-Games macam Micheal tu,” balas Shakira.
Jimmy mengukir senyuman. Rakan karibnya, Micheal Chan sangat meminati sukan X-Games sejak di bangku sekolah lagi.
“Lepas ni kalau kita ada masa, kita pergi bercuti berdua nak? Tapi pergi jauh sikitlah,” usul Shakira.
“Pergi ke mana?” soal Jimmy.
Anywhere. Just both of us. Together.”
Jimmy mengukir senyuman nakal.
“Dah tak sabar honeymoon dengan I?”
Shakira menyiku perutnya. Malu bila diusik begitu. Senyuman Jimmy semakin meleret. Lama dia merenung Shakira. Gadis itu yakin ada sesuatu yang tersimpan di dalam hati Jimmy.
“You ada sorokkan sesuatu dari I?” soalnya.
Pandangan Jimmy mulai redup. Dia mengangguk perlahan.
“You nak kongsi dengan I?” Shakira menduga lagi.
Jimmy tersenyum. Namun, tiada keceriaan di situ. “You sayangkan I, Kiera?” soal Jimmy tiba-tiba.
Shakira tersenyum. “Tentulah sayang. You kan boyfriend I,” ujar Shakira sambil menggenggam jari-jemari Jimmy.
Jimmy membalas genggamannya. Namun Shakira dapat merasakan Jimmy sedang berdebar saat ini.
“Tadi I memikirkan tentang hubungan kita. Dah dua tahun kita berkenalan. Sejak you di bangku sekolah lagi. I yakin kita dah kenal hati budi masing-masing.”
Jimmy menguak rambut Shakira yang terjuntai di dahi.
“Jadi apa yang merisaukan you sebenarnya?”
Jimmy menarik nafas panjang.
“I takut kehilangan you,” ujarnya berterus terang.
Shakira tersenyum lagi. “Jangan fikir macam tu.”
“Hati I rasa tak tenang akhir-akhir ni. I dapat rasa ada perkara buruk akan jadi.”
“Tak ada apa yang akan terjadi. Ia mainan perasaan aje. Janganlah risau sangat,” pujuk Shakira.
Jimmy mengeluh berat.
“Kalaulah firasat I betul, I tak tahulah macam mana nak teruskan hidup ni. I dah biasa ada you.”
Shakira cuba menenangkan perasaan lelaki itu.
“Jangan fikir yang bukan-bukan. Insya-ALLAH tak ada apa yang terjadi pada I.”
Jimmy merenung ke dalam matanya.
“I nak you tahu I sayangkan you, Kiera,” ucap Jimmy.
Shakira tersenyum. “Itu I dah lama tahu.”
Jimmy menatap wajahnya.
“Kalau tak sayang, you takkan jadi poyo macam ni,” tambah Shakira.
Mata Jimmy membulat. Dia terkejut apabila mendengar usikan itu. Kemudian dia mengetap bibir menahan geram apabila melihat senyuman nakal di bibir Shakira. Pipi gadis itu dicubit.
“Nakalnya beruang kutub ni. Orang serius, dia main-main pulak!” jerit Jimmy geram.
Shakira ketawa apabila melihat wajah Jimmy yang mencuka. Akhirnya Jimmy turut sama ketawa.
“Jomlah balik khemah. Dah tak ada siapa kat sini. Nanti mereka cari kita pulak,” ujar Jimmy apabila menyedari hanya tinggal mereka berdua di situ.
Mereka beriringan menuju ke khemah yang berada agak jauh dari situ. Jimmy menemani Shakira sehingga di hadapan khemahnya. Hakim sedang menunggu di situ.
“Pergi mana tadi?” soal Hakim pada adiknya. Nada suaranya penuh kebimbangan.
“Duduk kat tempat tadi,” jawab Shakira.
“Lain kali jangan sampai lewat sangat. Abang risau kalau terjadi apa-apa kat sana. Dahlah kita kat hutan sekarang ni.”
Shakira mengangguk.
“Pergilah masuk ke dalam. Jimmy, jom balik ke khemah.”
Jimmy mengikut Hakim berlalu dari situ. Sempat Shakira mengukir senyuman pada Jimmy ketika lelaki itu menoleh. Apabila memasuki khemah, mereka yang lain sedang menunggu.
“Wah, lamanya dating sampai tak ingat nak balik khemah,” usik Irma Ardilla.
“Kita orang tak sedar dah pukul berapa.”
“Tak sedar? Ini mesti kes tengah angau. Kita orang kat sini punyalah risau. Lebih-lebih lagi Abang Hakim. Dia macam orang tak betul bila kau tak balik-balik,” ujar Joanne.
Tersentap hati Shakira mendengarnya.
“Abang Hakim marah tak?” soalnya ragu-ragu.
Mereka diam. Shakira dapat mengagak apa yang berlaku sebentar tadi. Pasti abangnya bising-bising.
“Abang risau sebab akak tak balik-balik. Kalau lambat sikit lagi tadi abang cari akak kat sana,” celah Nisa.
“Jangan buat dia risau lagi, Kiera. Dia…” Kata-kata Irma terhenti apabila Nisa menyikunya.
Shakira mengharap penjelasan daripada Irma. Tapi, gadis itu sudah memejamkan mata dan menarik selimut. Diikuti pula mereka yang lain.


6

MEREKA melakukan aktiviti jungle tracking pagi itu. Irma Ardilla begitu arif tentang selok-belok hutan lipur itu kerana ayahnya seorang renjer dan dia selalu menemaninya mengembara di dalam hutan.
Mereka tidak melepaskan peluang bermandi-manda. Air sungai begitu jernih dan menghijau. Batu-batu sungai yang besar menambahkan lagi keindahannya. Tubuh Shakira berasa segar berendam dalam air yang sejuk itu. Nisa tiba-tiba mencuit bahunya.
“Kenapa?”
Nisa menuding jari ke arah sesuatu. Hati Shakira diterjah rasa lucu apabila melihat Jimmy sedang berposing di atas sebuah batu besar sementara Hakim sibuk merakam gambarnya. Pelbagai aksi yang dilakukan. Tiba pula giliran Hakim. Dia turut melakukan pelbagai aksi yang mencuit hati. Kemudian mereka menatap kembali gambar-gambar yang dirakam dan sama-sama ketawa.
“Isy, isy, isy… tak sangka betul,” keluh Hakim tiba-tiba.
Jimmy mengerutkan dahi kehairanan. “Kenapa?”
“Selama ini orang selalu cakap. Tapi aku tak percaya. Hari ni baru aku percaya bila tengok dengan mata sendiri.”
“Apa yang tak kena?” soal Jimmy lagi. Dia mengharapkan penjelasan Hakim.
“Cuba kau tengok gambar ni,” arah Hakim.
Jimmy menurut sahaja dengan wajah penuh tanda tanya.
“Kau tengok Jimmy, hensem betul mamat dalam gambar ni. Badan tough pulak tu,” ujar Hakim.
Jimmy mengetapkan bibir menahan geram.
“Ceh, perasanlah kau, Hakim. Masuk bakul angkat sendiri! Aku ni lagi hensem apa.”
Hakim ketawa lantang. Hakikatnya mereka sama-sama kacak. Itulah yang menyebabkan mereka mempunyai ramai peminat ketika zaman kampus dulu.
“Betul apa. Kalau kau tak percaya, tanya adik-adik aku.”
Jimmy pula melepaskan tawa.
“Kalau kau tanya dia orang, mestilah kau kalah. Mesti dia orang cakap aku lagi hensem.”
“Kenapa pulak?”
“Sebab salah seorangnya girlfriend aku.”
“Eleh, itu tak semestinya dua-dua akan sokong kau.”
Jimmy tersenyum. “Tapi Kiera sayangkan aku dan Nisa pulak selalu dengar cakap kakak dia. Aku suruhlah Kiera pujuk Nisa sokong aku.”
Mata Hakim membulat apabila mendengar kata-kata itu. Lantas dia merangkul erat leher Jimmy dengan sebelah tangannya.
“Tak guna kau, Jimmy. Main kotor!”
Jimmy masih ketawa biarpun payah.
Shakira hanya memerhati gelagat keduanya dengan penuh asyik. Segalanya nampak sempurna. Selain menghabiskan masa dengannya, Jimmy banyak menghabiskan masa dengan Hakim. Mereka selalu bergurau senda. Jimmy nampak semakin serasi dengan abang sulungnya yang berusia 27 tahun itu. Hakim juga semakin menyenangi Jimmy.
“Lah, bila pulak giliran kita orang? Dari tadi Abang Hakim dengan Jimmy aje.” Kedengaran suara Izwan.
Come, kita ambil gambar ramai-ramai,” pelawa Hakim.
Izwan terus menyertai mereka berdua sementara Helmi pula merakamkan gambar. Jimmy terus mengambil tempat di tengah.
“Hei, orang cakap kalau ambil gambar tiga orang, orang yang duduk tengah-tengah akan mati dulu,” ujar Izwan selamba.
“Eh, tak adalah. Biasanya yang duduk kat tengah yang paling hensem,” gurau Jimmy.
“Huh, perasan betul!” balas Hakim.
Meledak tawa mereka yang ada.

SETELAH memastikan mereka yang lain tidur, Hakim dan Jimmy duduk di sisi unggun api sambil menghirup angin malam. Mug berisi coklat panas di tangan diteguk perlahan.
“Jimmy, kau sayangkan adik aku?” soal Hakim.
Jimmy memandang ke arah Hakim. Dia mengangguk kepala sambil mengukir senyuman.
“Aku sayang sangat pada dia,” ujar Jimmy berterus terang. Baginya biarlah Hakim tahu bagaimana perasaannya pada gadis itu.
“Sejauh mana kau sayangkan dia? Sanggupkah kau terima dia walau apa pun yang terjadi?”
Jimmy masih tersenyum. Dia tahu Hakim sengaja ingin menduganya.
“Aku sayangkan dia macam aku sayangkan diri sendiri. Aku sanggup terima dia walau apa pun yang terjadi. Aku perlukan dia. Dia bagaikan nyawa aku. Kalau dia tak ada, aku tak tahu macam mana nak teruskan hidup ni,” balas Jimmy perlahan.
“Kau yakin kau mampu jaga dia?” soal Hakim lagi.
“Aku yakin aku mampu jaga dia. Aku berjanji akan sayangi dia dan takkan sia-siakan hidup dia. Aku takkan biar dia terluka sikit pun,” ujar Jimmy dengan perasaan tulus. Dia mengangguk beberapa kali.
Hakim mengukir senyuman.
“Kalau macam tu, aku restu hubungan kalian.”
Hati Jimmy melonjak riang. Akhirnya setelah dua tahun dia menunggu, Hakim merestui juga hubungannya dengan Shakira.
“Terima kasih, Hakim,” ujar Jimmy.
Hakim membalas senyumannya.
“Tapi kau kena pastikan yang kau berpegang pada janji. Kalau ada apa-apa jadi pada adik aku sepanjang kau bersama dia, tahulah apa yang aku akan buat nanti. Aku takkan lepaskan kau,” ujar Hakim seakan mengugut.
Jimmy mengangkat kedua belah tangannya.
“Aku janji akan jaga dia sebaik mungkin,” ujar Jimmy.
Hakim dapat melihat ketelusan di wajah lelaki itu. Dia mengukir senyuman puas. Bahu Jimmy ditepuk perlahan. Kemudian Hakim merenung unggun api di hadapannya.
“Hakim, kenapa tiba-tiba kau tanya macam tu?” soal Jimmy kehairanan.
Hakim menoleh ke arah Jimmy.
“Aku tanya sebab aku sayangkan adik aku. Dia hidup menderita sejak kecil. Dia pernah alami trauma sebab tragedi yang menimpa keluarga dia. Orang di sekeliling pula suka buli dia. Dia anak yatim piatu. Cuma keluarga aku dan mak long dia aje yang dia ada. Aku tak sanggup terima kalau dia dipermainkan atau jadi sesuatu pada dia.”
Hati Jimmy tersentuh mendengar kata-kata itu. Barulah dia tahu mengapa Hakim mengambil berat tentang gadis comel itu.
Best jugak kalau pergi camping sekali-sekala. Tengok keindahan hutan, dapat mandi sungai hilang semua masalah aku kat pejabat tu,” ujar Hakim menukar topik perbualan.
Lelaki itu sudah mengukir senyuman. Dia berasa gembira dapat beriadah begini.
“Lain kali kalau ada masa, aku nak pergi lagilah. Kalau asyik ke gym aje, boring jugak.”
“Sebab itulah aku suka pergi camping. Tapi taklah yang jauh-jauh. Pergi dekat-dekat senang nak balik rumah. Nak pergi kerja esok hari taklah penat sangat.”
Hakim mengiyakan kata-kata itu.
WALAUPUN sudah ditegah, Shakira tetap ingin mengikut Jimmy mencari kayu api. Akhirnya, Jimmy mengalah juga dengan kemahuan gadis itu. Namun, sepanjang perjalanan dia membebel. Pokok pangkalnya dia ingin Shakira mendengar kata-katanya.
Dia tidak mahu Shakira mendaki bukit lagi kerana semalam gadis itu hampir tergelincir. Mujurlah Jimmy sempat menyambar lengannya. Tapi gadis itu tetap berdegil. Malah dengan selamba masuk ke hutan yang lebih dalam. Shakira sibuk hendak melihat orkid liar dan pokok periuk kera yang mempunyai pelbagai corak dan warna.
“I nak you dengar cakap I. Kalau tak, kita tak payah pergi camping lagi!”
Takkanlah sampai begitu? Bisik hati Shakira.
“Dengar tak ni?” Suara Jimmy mula meninggi.
“Iyalah, iyalah,” jawab Shakira. Dia malas hendak melayani kerenah Jimmy.
“Tengok tu. Kalau terjadi apa-apa I tak nak tolong you. Dah degil sangat!” Jimmy melepaskan kemarahan.
Kelakuan Shakira yang sambil lewa telah membangkitkan kemarahannya. Shakira terdiam apabila melihat wajah berang lelaki itu.
Jimmy, I’m sorry. I akan dengar cakap you lepas ni. I takkan degil-degil lagi. I janji,” ujarnya kesal.
Jimmy mendengus kasar. Menoleh ke tempat lain. Shakira memberanikan diri mencapai tangannya.
“Maafkan I, ya,” pujuknya.
Jimmy hanya mendiamkan diri. Mereka meneruskan perjalanan pulang ke khemah. Tidak berani Shakira menegurnya kerana bimbang akan terlepas kata.
Ketika menuruni bukit, entah tiba-tiba baju Shakira tersangkut pada ranting pokok. Serta-merta jantungnya berdegup kencang. Tanah yang licin membuatkan dia menjadi hilang pertimbangan.
“Kiera!” jerit Jimmy cemas.
Dia cuba memaut tubuh gadis itu. Namun, tidak berjaya. Shakira hanya mampu memejamkan mata ketika tubuhnya terguling ke bawah.
“Kiera!” Jimmy menjerit lantang sebelum gadis itu hilang dari pandangannya.

WAJAH Jimmy yang tercungap-cungap membuatkan Hakim rasa kehairanan.
“Jimmy, apa yang terjadi? Kau ni macam kena kejar dengan harimau aje kelam kabut macam ni.”
Jimmy menarik nafas panjang. “Hakim, Kiera…” Dia masih lagi terkejut.
Hakim rasa tidak sedap hati. Jiwanya resah. Tambahan lagi apabila melihat Shakira tidak bersama lelaki itu.
“Kenapa dengan adik aku? Mana dia?” soalnya gusar.
Jimmy cuba mengawal perasaannya.
“Mana adik aku?” Suara Hakim mula meninggi.
Apabila mendengar suara Hakim yang lantang, mereka yang lain datang ke arah mereka.
“Kenapa ni?” soal Izwan.
“Abang Jimmy, mana Kak Kiera?” soal Nisa.
Mereka yang lain baru tersedar ketiadaan gadis itu.
“Cakap, Jimmy. Mana adik aku? Bukan ke dia pergi dengan kau tadi?” Suara Hakim masih lantang.
“Kiera tergelincir dari bukit. Aku tak sempat tarik tangan dia,” jelas Jimmy.
Hati Hakim tersentap mendengar.
“Dia kat mana?” soal Hakim cemas.
“Aku tak tahu. Aku dah cari tapi tak jumpa.”
Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Hakim jadi berang. Lantas dia menyerang Jimmy. Wajah lelaki itu ditumbuk kuat.
“Macam mana kau jaga adik aku sampai jadi macam tu? Bukan ke kau janji akan jaga dia elok-elok? Mana janji kau hah?”
Izwan memaut tubuh Hakim dari belakang. Dia cuba menahan Hakim dari terus menyerang Jimmy.
“Aku minta maaf. Aku tak sengaja,” ujar Jimmy.
Helmi mengadang di hadapan Jimmy apabila melihat Hakim masih berang.
“Izwan, lepaskan aku!” jerit Hakim.
“Sudahlah tu, Abang Hakim. Sabarlah sikit. Kita kena cari Kiera dulu. Itu yang lebih penting sekarang ni.”
“Betul tu, Abang Hakim. Kita cari Kiera dulu,” ujar Helmi.
Hakim meraup wajahnya. Perasaannya mula kendur. Dia baru teringat adiknya. Memang mencari Shakira lebih penting sekarang ini. Bukannya mengerjakan lelaki di hadapannya itu.
Mereka sama-sama masuk ke dalam hutan mencari Shakira. Nisa dan Joanne diarah untuk menunggu di khemah.
“Kau pasti kat sini dia jatuh tadi?” soal Irma.
Jimmy mengangguk pasti.
Irma melihat ada beberapa ranting yang patah di situ. Kemudian dia memandang ke bawah bukit yang curam itu.
“Kita boleh turun ke bawah ikut sebelah pokok buluh tu. Itu jalan yang paling selamat.”
Hakim sudah tidak sabar-sabar lagi. Dia pantas turun mengikut jalan yang ditunjukkan oleh Irma.
“Kiera!” laung Hakim.
Tiada jawapan.
“Kiera, Kiera kat mana?”
Mereka yang lain juga menjerit namanya. Mereka meneruskan pencarian. Jika tidak dijumpai dalam beberapa jam ini, mereka akan meminta bantuan renjer.
Hati Jimmy merintih agar ditunjukkan di mana gadis itu berada. Dia menyalahkan dirinya di atas kehilangan gadis itu. Dia benar-benar menyesal kerana bermulut celopar sebentar tadi.
“Kiera kat mana? Jangan takutkan abang. Apa abang nak beritahu mama, ayah dan mak long nanti?” rintih Hakim. Dia rasa hendak meraung sekuat hatinya kerana tidak menjumpai Shakira.
Irma terus mencari di mana kedudukan gadis itu. Dia sudah biasa mencari mangsa sesat di dalam hutan. Dia terhenti apabila melihat sekujur tubuh sedang terbaring di bawah sepohon pokok. Dia pantas mendapatkan Shakira yang tidak sedarkan diri.
“Abang Hakim, Jimmy! Kiera ada kat sini!” laung Irma.
Mereka pantas mendapatkan Irma.
“Kiera, bangun Kiera,” panggil Hakim.
Hakim memangku kepala Shakira. Hatinya luluh apabila melihat Shakira tidak bergerak. Gadis itu nampak lemah tidak bermaya. Lantas Hakim memeluk erat tubuh adiknya itu.
Jimmy menghampiri Shakira. Dia ingin menyedarkan gadis itu. Dia juga ingin meminta maaf kerana keterlanjurannya.
“Kau pergi, Jimmy. Aku tak nak tengok muka kau! Pergi! Pergi!” jerit Hakim kuat.
Jimmy bangun. Dia sedar Hakim masih marah.
“Kita kena bawa Kiera pergi ke hospital. Takut ada kecederaan dalaman. Kita kena cepat, Abang Hakim!” gesa Izwan.
Hakim bagaikan baru tersedar. Dia pantas mendukung tubuh Shakira untuk membawanya ke hospital.


7

SHAKIRA membuka kelopak mata perlahan-lahan. Entah mengapa seluruh tubuhnya terasa sakit dan tidak bermaya. Dia tidak dapat mengingati apa yang terjadi. Merenung seketika pada Jimmy yang sedang lena di kerusi. Memandang keadaan sekeliling, hatinya jadi cemas. Suasananya seperti di hospital.
“Kiera, you dah bangun?”
Jimmy memisat matanya. Kemudian, mendekati Shakira dan duduk di sisi katil. Sejalur senyuman terukir di bibirnya.
“You okey?” tanya Jimmy lagi.
Shakira mengangguk. “Kenapa I ada kat sini?”
Jimmy menggenggam jari-jemari gadis itu.
“You terjatuh dari bukit dan tak sedarkan diri sejak semalam,” jelas Jimmy.
Shakira mengeluh panjang. Baru teringat apa yang terjadi semalam. Dia mengamati lengan tangannya yang berbalut.
“Tak sangka you akan jadi macam ni. I minta maaf. Semuanya salah I.”
Shakira menggeleng. “I yang bersalah sebab tak berhati-hati. I yang bersalah sebab tak dengar cakap you.”
Jimmy mengelus jari-jemarinya.
“Bila I boleh keluar dari sini?” Shakira ingin tahu. Dia tidak mahu berlama-lama di rumah sakit itu.
“Baru duduk sini dah tanya ya,” usik Jimmy.
“Tak nak duduk lama-lama kat sini. Orang cakap makanan kat hospital tak best.”
Jimmy ketawa kecil. “Sakit-sakit pun masih fikir tentang makan lagi?”
“Mestilah. Sebabnya masa I sakit, I lagi kuat makan.”
Jimmy tersenyum. “Apa-apa ajelah you ni. Jangan risau. Kalau makanan kat sini tak sedap, I akan belikan kat luar.”
“You janji?”
Anggukan Jimmy membuatkan hati Shakira berbunga riang.
“I ada bawakan buku dan majalah untuk you. Manalah tahu you rasa boring nanti.”
“You cakap macam tu macamlah I duduk lama kat sini. Esok kan I dah boleh balik,” ujar Shakira sambil ketawa.
Jimmy hanya membisu. Riak wajahnya sukar untuk dibaca. Ketika mengamati wajahnya, baru Shakira tersedar ada lebam di mata dan di tepi bibir kanan Jimmy.
“Kenapa dengan muka you?”
Jimmy nampak tersentak.
“Oh, yang ini ke? I jatuh tangga masa kelam-kabut tadi,” ujar Jimmy sambil menyentuh kesan lebam di wajahnya.
Shakira turut menyentuh kesan lebam itu.
“Argh!” jerit Jimmy, menahan kesakitan.
“Eh, pegang muka sendiri tak sakit. I pegang sakit pulak?”
Dia ketawa kecil. “I saja nak bermanja dengan you,” ujar Jimmy tanpa berselindung lagi.
Shakira mengelus pipi Jimmy perlahan-lahan. Biarlah Jimmy sedar bahawa dia menyayanginya sepenuh hati. Jimmy tersenyum senang melihat perlakuannya.
“Jimmy?”
“Hmm? Nak apa?”
“I nak pergi jalan-jalan kat taman.”
Jimmy tergamam memandangnya. “You masih lemah lagi. Rehat ajelah kat bilik hari ni.”
“I dah banyak berehat. Sebab tu I nak pergi jalan-jalan.”
“Tak apalah. Kalau you tak nak bawa, I boleh pergi sendiri,” ujar Shakira sambil cuba bangun dari katil.
Namun, entah mengapa badannya tidak boleh digerakkan. Shakira mencuba buat kali kedua. Namun, masih sama. Jantungnya berdegup cemas. Ya ALLAH!
“Kenapa I tak boleh bangun?” Shakira panik.
Jimmy masih memandangnya.
“Kenapa, Jimmy? Kenapa badan I tak boleh bergerak?”
Jimmy mengalihkan pandangannya.
“Cakaplah kenapa?” Shakira sudah separuh menjerit.
Jimmy memandangnya semula. “Badan you terlalu lemah. Doktor cakap you mungkin tak boleh bangun buat sementara waktu.”
Hati Shakira menjadi sebak mendengar kata-kata lelaki itu. Air matanya mula menitis.
“You tak beritahu I pun tadi,” ujar Shakira tidak puas hati.
“I tak nak you bimbang.”
“I mesti tahu keadaan I sendiri,” esaknya.
Jari-jemari Jimmy mengusap pipinya.
“Walau seteruk mana pun, I mesti tahu keadaan I.” Air mata Shakira semakin deras mengalir.
“Syhh, jangan menangis lagi. Nanti you lambat sembuh,” pujuk Jimmy.
“Kalau I tak menangis, I akan cepat sembuh ke?” bentak Shakira dalam tangisan.
Jimmy menghela nafas panjang. Jari-jemarinya masih mengesat air mata Shakira yang tidak henti-henti mengalir.
“Janganlah begini. You kan kuat semangat,” pujuknya lagi.
Gadis itu terus menangis. “Jimmy, Kiera takut.”
Jimmy mengusap rambutnya lembut. Kemudian menggenggam kemas jari-jemarinya.
 “Syyh, I ada kat sini. I takkan biar apa-apa jadi kat you,” bisik Jimmy. “I janji, Kiera.”
Dia memujuk Shakira sehingga tangisan gadis itu reda. Apabila gadis itu mulai tenang, dia memandang Jimmy semula.
“Kecederaan I serius sangat ke?” soalnya gusar. Dia mahu Jimmy berterus-terang.
Jimmy tersenyum nipis. “Insya-ALLAH semuanya akan pulih macam biasa. Tapi akan ambil sedikit masa. Kita kena banyak-banyak bersabar.”
Shakira mengesat air matanya. Sedih memikirkan apa yang terjadi. Jika dia benar-benar tidak mampu berjalan lagi, sudah pasti dia menjadi bebanan insan di kelilingnya.
“Jangan risau. You akan sembuh, Kiera.” Jimmy dapat membaca apa yang berlegar di fikiran gadis itu. “Jangan fikir yang bukan-bukan. Tak elok untuk proses pemulihan you. Buat masa ni doktor masih belum keluarkan keputusan x-ray kali kedua. Nanti doktor akan buat terapi pada you. Mereka akan jaga you.”
Kelopak mata Shakira terasa berat untuk diangkat.
“You nak apa-apa?” soal Jimmy.
Shakira menggeleng perlahan. Jimmy membetulkan selimutnya. Senyuman tidak lekang dari bibir lelaki itu.
“Tidurlah,” bisik Jimmy.
Shakira kembali memejamkan mata. Kesan ubat yang tersisa membuatkan dia mudah terlena.

PAGI itu Shakira bersarapan dua keping roti bakar, mi goreng dan segelas air Milo. Kemudian menikmati pau panas yang dibelikan oleh Jimmy di kafe hospital.
Mereka berbual mesra biarpun mata Shakira banyak tertumpu ke arah televisyen. Ketika Jimmy mengambil majalah untuk dibaca, kedengaran pintu diketuk. Serentak mereka menoleh.
Terjengul wajah Micheal di situ.
Hi, guys!” sapa lelaki itu sambil mengangkat tangan.
Shakira mengukir senyuman kecil sementara Jimmy berpeluk bahu dengan rakan karibnya itu.
“Ini untuk Kiera,” ujar Micheal sambil meletakkan sebuah kotak di atas meja.
Bibir Micheal mengukir senyuman apabila Shakira mengucapkan terima kasih. Micheal duduk di sisinya.
“You apa khabar hari ni?”
Lelaki berbangsa cina itu memakai baju kameja, seluar slack lengkap bertali leher. Dia singgah melawat Shakira sebelum ke tempat kerjanya.
“Teruk. Tulang Kiera patah, tak boleh jalan lagi. Lepas ni mesti Kiera kena guna kerusi roda sampai bila-bila. Lepas tu dah tak boleh main ice skating lagi. Wah, seksanya hidup ni,” jawabnya, sengaja menokok tambah.
Wajah Micheal mempamerkan rasa simpati. “Macam mana Kiera boleh jatuh dari bukit hari tu?” soalnya lagi.
Shakira menuding jari pada lelaki yang sedang duduk di atas sofa. “Dia yang buat,” ujarnya dengan suara merajuk.
Jimmy berdehem beberapa kali. “Cakap tu baik-baik sikit ya. Siapa suruh nakal sangat hari tu?”
Shakira pura-pura mengesat air mata.
“Jimmy, janganlah garang sangat pada Kiera. Tengok, dia menangis ni,” tegur Micheal dengan nada serius.
Jimmy mencebik. “Alah, dia tu berlakon aje. Tadi okey aje. Siap ketawa-ketawa lagi. Bukan itu aje, semua yang ada atas meja tu dia bedal. Roti, mi goreng, pau kacang sampai tiga biji. Itu ke tanda budak tengah sedih?”
Micheal mengerutkan dahi. “Tak baik tahu mereka cerita. Dia tengah sedih tu. Lagipun aku tak nampak pun dia makan banyak. Entah-entah kau yang makan kot,” teka Micheal.
Mata Jimmy membulat apabila mendengar tuduhan itu.
“Mana ada aku buat macam tu. Aku ni tak pernah berbohong tahu. Lainlah beruang kutub ni. Selalu reka-reka cerita.”
Shakira pura-pura berwajah sedih.
“Tengok tu, Micheal. Jimmy buli Kiera,” adunya.
“Percayalah cakap dia tu. Nanti kau juga ditipunya,” ujar Jimmy tidak puas hati.
Stop it, Jimmy. Dengan girlfriend yang tengah sakit macam ni pun nak bergaduh. Tak kasihan langsung. Apa jenis boyfriend kau ni!” marah Micheal.
Jimmy mendengus geram. Wajahnya masih mempamer-kan rasa tidak puas hati.
“Jimmy, dahlah tu. Ini bukan masa yang sesuai nak bergaduh okey,” tegur Micheal lagi.
“Yalah, yalah. Aku mengalah,” ujar Jimmy.
Shakira tersenyum puas hati.
“Kau orang bersembanglah dulu. Aku nak ambil angin kat luar sekejap. Duduk sini pun buat sakit hati aje kena buli,” ujar Jimmy seakan merajuk.
Mereka hanya menatap reaksi wajahnya yang sedih itu. Apabila Jimmy berlalu, mereka berdua serentak ketawa.
“Percaya juga Jimmy dengan lakonan kita,” ujar Shakira.
“Tak sangka juga dia tu senang kena tipu. Selama ni lagak dia macho habis,” balas Micheal sambil menggeleng.
Shakira memandang Micheal sambil tersenyum.
“You ada bawa tak hadiah tu?” soalnya.
Micheal mengangguk. Kemudian mengeluarkan sesuatu dari beg yang dibawa olehnya. Dalam sekelip mata, sebuah kotak hadiah berada di tangan gadis itu.
“You minta dari mak long?”
Micheal mengangguk. “Mak long you pesan, dia akan datang hari ni. Dia tunggu pak long you balik kerja.”
Shakira mengangguk faham. Kemudian membelek kotak kecil yang berbalut itu. Inilah hadiah untuk hari jadi Jimmy yang jatuh pada hari ini.
Micheal membuka kotak yang diletakkan di atas meja. Kemudian mengeluarkan kek di dalamnya dan meletakkan lilin.
“Jimmy mesti suka dengan hadiah ni,” ujar Shakira sambil tersenyum lebar.
Micheal turut tersenyum. Dia meletakkan air gas dan sedikit kuih di dalam bekas yang tersedia sementara Shakira menyusun cawan dan piring kertas di atas meja. Kemudian Micheal menekan butang telefon bimbitnya.
“Helo, Jimmy,” ujar Micheal cemas.
Shakira melihat Micheal mendiamkan diri. Mungkin Jimmy sedang berkata sesuatu dengannya.
“Cepat datang. Kiera tiba-tiba tak sedarkan diri! Keadaan dia nampak tenat sekarang ni.” Suara Micheal semakin cemas.
Diam lagi. Jimmy sedang berkata sesuatu kepadanya.
“Dah, dah. Aku dah panggilkan doktor. Dia tengah dirawat sekarang ni. Cepat datang. Dia perlukan kau sekarang,” ujar Micheal bersungguh-sungguh.
Micheal diam lagi.
“Baiklah, baiklah. Kau pun cepat datang sini,” ujar Micheal sebelum mematikan talian.
Kemudian Micheal mengenyit mata dan menunjukkan isyarat bagus. Shakira tersenyum puas hati. Lilin pun dipasang.
Tidak lama kemudian, pintu bilik ditolak kasar dari luar. Kelihatan mata Jimmy sudah merah menahan air mata.
Happy birthday, my dear Jimmy!” ujar Shakira sambil mengukir senyuman manis.
Jimmy bagaikan terpaku seketika. Tanpa jawapan, dia meluru ke arah Shakira. Dia menarik kedua belah pipi Shakira dengan geram. Kemudian dia terus memeluk tubuh gadis itu tanpa rasa malu.
“Kenapa menangis ni?” soal Shakira sambil mengusap belakang tubuhnya. Jimmy hanya mendiamkan diri.
“Jimmy, janganlah macam ni,” pujuk Shakira.
“Kenapa buat I macam ni? You tahu tak, I separuh gila bila tengok you terjatuh dari bukit. Sekarang I rasa nyawa I hampir melayang bila Micheal cakap keadaan you tenat.” Kemudian dia merenggangkan pelukan dan memandang Shakira.
“Kenapa buat I macam ni?” ulangnya.
Shakira mengusap bahunya beberapa kali, memujuk. “I’m so sorry. I tak berniat nak kenakan you. I cuma nak buat surprise untuk birthday you.”
“Kiera jahat! Pembuli!” jerit Jimmy geram.
Shakira ketawa kecil. “Hei, birthday boy mana boleh menjerit macam ni. Tengok, dari tadi Micheal gelakkan you.”
Jimmy menoleh pada Micheal yang sedang ketawa. Sekelip mata kemudian, wajah Jimmy bertukar garang.
“Tak guna kau, Micheal. Rupanya kau berpakat dengan girlfriend aku. Kau pun buli aku jugak. Siap kau!” jerit Jimmy sambil mengejar Micheal.
Shakira melihat keduanya berkejaran dengan perasaan senang hati. Bagi Jimmy, kejutan hari jadi kali ini begitu istimewa kerana hari itu membuatkan dia sedar betapa bermakna Shakira dalam hidupnya.


8
DOKTOR Johan dan Puan Normah tiba setelah Jimmy dan Micheal beransur ke tempat kerja masing-masing. Ketika itu Doktor Hisham sedang menjalankan pemeriksaan pada Shakira. Melihat keadaan bilik yang dipenuhi kakitangan hospital, Puan Normah jadi cemas sehingga terpaksa ditenangkan oleh suaminya dan jururawat yang bertugas.
“Puan tak perlu risau. Anak saudara puan tak apa-apa. Kami hanya menjalankan pemeriksaan biasa padanya,” pujuk jururawat itu.
“Betul tu, Mah. Kiera tak apa-apa. Mereka cuma buat pemeriksaan biasa kat dia,” pujuk Doktor Johan pula.
“Kiera, Kiera tak apa-apa, kan?” soal Puan Normah cemas.
Gadis itu mengangguk. Mak longnya masih berwajah resah. Mungkin tidak percaya dia tidak apa-apa.
“Doktor Johan, if you don’t mind, boleh bawa isteri doktor keluar sekejap? Kami ingin menjalankan sedikit lagi pemeriksaan pada anak saudara doktor,” pinta Doktor Hisham.
“Mah, mari kita keluar dulu. Nanti mengganggu kerja mereka kat sini pulak,” kata Doktor Johan sambil memaut bahu isterinya berlalu dari situ.
Puan Normah menurut dalam keterpaksaan. Shakira memandang daun pintu yang tertutup rapat. Kemudian memandang Doktor Hisham semula. Doktor itu sedang memeriksa kedua belah kaki Shakira yang membengkak sambil dibantu oleh jururawat.
“Dr. Hisham, I tak apa-apa, kan?” soal Shakira padanya.
Doktor Hisham mengukir senyuman. “You will be okay. Tiada tulang yang patah. Tiada luka yang serius. Beberapa hari nanti you dah boleh balik.”
“Berapa lama baru bengkak di kaki I surut?”
“Mungkin dalam tempoh seminggu dua ni. Ia bergantung pada keadaan diri you. Jika you tak lupa makan ubat dan emosi you tak terganggu, proses pemulihan you akan lebih cepat.”
Shakira menghela nafas panjang.
“Banyak-banyakkan bersabar. Jangan tension sangat. You nak cepat sembuh, kan?”
Doktor Hisham meninggalkan gadis itu selepas tugasnya selesai. Tidak lama kemudian, Puan Normah kembali masuk ke bilik Shakira sementara Doktor Johan berbincang dengan Doktor Hisham.
Agak lama Shakira berada dalam pelukan mak longnya yang mula menangis. Hiba hati wanita itu mengenangkan anak buahnya yang tidak berdaya.
“Mak long, Kiera tak apa-apalah,” pujuk Shakira.
Puan Normah menatap wajah Shakira sambil mengesat air mata dengan hujung jari.
“Jangan nak tipu mak longlah. Kalau tak apa-apa, kenapa kamu kena tahan kat sini?”
Shakira diam.
“Kamu tahu tak mak long tak boleh tidur mengenangkan apa yang terjadi pada kamu. Kalaulah tahu akan jadi macam ni, mak long tak benarkan kamu pergi hari tu.”
“Benda nak jadi, mak long,” pujuk Shakira lagi.
“Kamu cakap benda nak jadi? Kalau Jimmy jaga kamu elok-elok, semua ini takkan jadi. Kamu pun takkan duduk kat sini!”
Jimmy pula yang dipersalahkan.
“Kalau dia datang nanti, mak long nak ajar dia. Mak long takkan benarkan dia berjumpa dengan kamu lagi.”
“Mana boleh macam tu, mak long. Lagipun bukan salah dia. Kiera sendiri yang cuai hari tu.”
“Tak payah nak membela dia. Memang dia yang bersalah. Hari tu masa nak bawa kamu pergi camping, dia janji akan jaga kamu elok-elok. Tengok apa yang dah jadi? Bukan ke masa tu dia bersama kamu?”
Shakira mengeluh. Jika diterangkan situasi ketika itu, adakah mak longnya akan memahami? Memang dia sendiri yang bersalah kerana berdegil hendak mengikut Jimmy masuk ke dalam hutan. Sedangkan Jimmy telah melarangnya kerana baru lepas hujan dan jalan yang dilalui pulak licin. Kebetulan pulak sehari sebelum itu dia hampir tergelincir.
“Mak long asyik marahkan dia aje. Bukan ke mak long sukakan dia selama ni? Takkan sebab hal ni mak long terus bencikan dia.” Shakira cuba menjernihkan suasana.
“Huh!” dengus Puan Normah. “Itu dulu!”
“Mah, tak payah salahkan Jimmy tu lagi. Apa yang berlaku tu kan dah ditakdirkan,” celah Doktor Johan.
“Betul tu, mak long. Kalau marah macam mana sekalipun takkan dapat ubah apa-apa. Kita kena reda dengan apa yang berlaku. Dari marah-marah, baik mak long suapkan bubur jagung mak long yang sedap tu. Best jugak!”
“Nakalnya budak ni!” Puan Normah sudah menarik hidung anak buahnya itu. Dari nada suara wanita itu, Shakira tahu dia sudah tidah marah-marah lagi.
“Kenapa ada kek kat sini?” soal Puan Normah kehairanan.
Shakira memandang kek yang berbaki separuh itu. “Hari ni kan birthday Jimmy. Mak long lupa ke?”
“Oh!” sambut Puan Normah.
“Mak long nak rasa ke? Sedap tau. Malam tadi Micheal beli kat Baker’s Cottage.”
Tanpa menunggu sesaat pun, Puan Normah pantas memotong kek tersebut. Memang hantu kek mak long aku ni!
“Dah, jangan potong besar-besar. Kek tu banyak gula. Mah kena ingat, satu hari kita tak boleh ambil gula lebih dari lapan sudu. Lebih-lebih lagi bila dah umur sekarang ni. Lagi kena kurangkan,” ujar Doktor Johan.
Paun Normah mengeluh panjang. “Ini yang susah kalau bersuamikan doktor ni.”
Shakira hanya ketawa dengan reaksi mak longnya.

SEJAM kemudian Datin Radziah, Datuk Amir dan Hakim datang melawat Shakira. Gadis itu tersenyum lebar apabila mamanya turut membawa ikan siakap masak tiga rasa dan kailan goreng ikan masin, menu kegemarannya.
Doktor Johan hanya menggeleng kerana Shakira belum dibenarkan mengambil makanan yang berminyak. Jika dia menegah pun tiada gunanya. Dia tahu betapa Shakira menyukai masakan itu. Datin Radziah pula tidak sampai hati menghampakan keinginan anaknya itu.
Ayah dan mamanya mula berbual kosong dengan ibu dan bapa saudaranya itu. Perut Shakira terasa lapar walaupun baru menjamah sarapan pagi, kek dan bubur jagung yang dibawa Puan Normah. Mungkin kerana apa yang ada di depannya adalah makanan yang dia gemari selama ini. Kali ini, dia cuba menyuap sendiri ke mulut. Belum sempat dia berbuat demikian, sudu yang dipegang beralih ke tangan Hakim.
Hakim hanya mendiamkan diri ketika menyuap nasi ke mulut Shakira. Biarpun sejalur senyuman terukir di bibirnya, Shakira tidak nampak keriangan di situ.
Terkenang cerita mak longnya sebentar tadi. Hakim telah menyerang Jimmy ketika mengetahui dia terjatuh dari bukit. Semua yang ada terpaksa masuk campur apabila Hakim mula menumbuk lelaki itu. Shakira berasa hairan mengapa Hakim begitu berang kerana selama ini dia begitu penyabar. Mungkin apa yang terjadi telah membangkitkan kemarahannya.
Kini Shakira hanya tinggal berduaan dengan Hakim. Orang tua mereka ke kafe yang berada di tingkat bawah.
Shakira memandang ke luar jendela. Cuaca amat baik hari itu. Alangkah baiknya jika dia boleh bersiar-siar di luar sana. Dia menoleh pada Hakim yang sedang menarik selimut sehingga ke paras dadanya.
“Abang,” panggilnya.
“Hmm, ada apa?”
“Abang masih marah pada Jimmy ke?”
Hakim diam.
“Dia tak bersalah dalam hal ni. Kiera sendiri yang cuai. Sebab itulah jadi macam ni.”
Hakim melangkah ke arah jendela. Langsir ditutup rapat membuatkan suasana bilik menjadi sedikit suram. Kemudian, dia kembali menghampiri Shakira dan duduk di birai katil.
“Abang sendiri pun nampak dia tak kasi Kiera ikut. Tapi Kiera yang degil. Dalam perjalanan pun dia marah tak kasi Kiera ikut dia lagi. Entah macam mana Kiera boleh tergelincir dan dia tak sempat tarik tangan Kiera,” jelasnya.
“Tak sempat?” Hakim tidak mempercayai penjelasannya.
Shakira mengangguk.
“Tak sempat atau saja tak nak selamatkan?” sindirnya.
Shakira terdiam.
“Huh!” dengusnya kasar. “Anak orang putih tu memang tak boleh diharap. Kita bagi muka kat dia, ini yang dia balas. Kalau ikutkan hati abang yang panas ni, teruk abang kerjakan dia. Biar dia rasa macam mana sakitnya hati abang sekarang ni!”
“Abang, Jimmy memang tak sengaja. Dia tak berniat pun nak biar Kiera jadi macam ni. Dia…”
“Cukup! Jangan sebut pasal dia lagi! Abang tak suka! Abang bencikan dia, tahu tak!”
Shakira tergamam mendengar suaranya yang lantang. Hakim menarik nafas panjang, cuba mengawal kemarahannya yang semakin tidak terkawal.
“Abang balik dulu. Kiera banyak-banyakkan berehat. Lagi satu, jangan benarkan dia datang sini. Abang tak nak tengok muka lelaki tak guna tu lagi. Kalau abang nampak dia kat sini, abang takkan lepaskan dia!” Hakim memberi amaran sebelum meninggalkan adiknya.
Shakira memandang Hakim sehingga abangnya hilang di sebalik pintu. Dalam sekelip mata, Hakim telah berubah. Kemalangan itu telah membunuh kelembutan sikapnya dan persepsi yang baik tentang Jimmy. 

No comments: