Popular Posts

Thursday 30 October 2014

Manuskrip Ke 5: Aku Lebih Kenal Dia

Bunyi telefon bimbit yang kedengaran dari tadi mengganggu tidur Alia.  Rasa hendak dicampak sahaja telefon bimbit itu agar tidak berbunyi lagi. Sudahlah dia berasa teramat penat kerana baru sahaja pulang dari outstation, telefon bimbit itu pula asyik menganggu tidurnya. Bagilah ruang untuk dia berehat sekejap. Tak sporting langsung.

Deringan berbunyi lagi. Dalam keadaan mata yang masih terpejam rapat, dia mengambil bantal lalu menutup telinga. Tapi bantal itu tidak mampu menapis bunyi telefon bimbit itu. Kali ini dia terasa hendak membuang ke dalam laut. Biar menjadi mainan ikan. Tak pun, boleh menjadi tukun untuk terumbu karang.

Alia menguap panjang sebelum membuka kelopak matanya. Lemah sahaja tangannya tatkala mencapai telefon bimbit yang berada di sisi katil. “Kenapalah kau ni gedik sangat asyik berbunyi dari tadi? Aku nak tidur pun tak senang,” rungut Alia.

Keluhan panjang kedengaran dari bibirnya apabila melihat panggilan itu daripada Aryan. Alia terasa hendak mencekik sahaja batang leher lelaki itu kerana mengganggu waktu tidurnya. Bukannya lelaki itu tidak tahu dia telah melarang dari menelefon sebelum pukul 10.00 pagi. Dia mahukan rehat secukupnya.

“Assalamualaikum Cik Alia senget. Tengah buat apa tu? Sihat ke?” Suara Aryan kedengaran di hujung talian.

Berderau darah Alia mendengar perkataan ‘senget’ itu. Suka hati Aryan sahaja hendak memanggilnya senget. Dia ingat dia tu hensem sangat? Macam beruang adalah.

“Waalaikumussalam... Ada apa hal call ni, Encik Sengal? Kat sini tak ada jual ubat gatal,” balas Alia dengan nada geram.

Aryan membalas dengan ketawa. Semakin lama semakin rancak. Dia berasa seronok dapat mengusik Alia.

Alia mengetap giginya. Ingat aku ni main-main agaknya. “Gelakkan orang pulak. Ada apa ni telefon orang?”

“Jom kita keluar,” pelawa Aryan.

Alia mendengus keras. “Eh, buat apa keluar dengan kau? Tak naklah!” 

“Oh, sampai hati ya tolak pelawaan abang sendiri,” ujar Aryan dengan nada kecewa.

“Eleh, abang konon. Celah mana awak tu abang saya? Awak tu lahir dua minit aje lebih awal dari saya. Dua minit okey,” balas Alia.

At least dua minit lebih awal. Kau ada?” balas Aryan enggan mengalah.

“Mestilah ada. Kalau aku tak ada, kau tengah cakap dengan siapa?”

Spontan Aryan menelan air liur. Perkataan tak ada itu membuatkan jiwanya bagaikan disentap. Janganlah diambil Alia daripadanya. Walaupun perangai Alia seperti harimau tercekik tulang, tidak mampu hidup tanpa adik kembarnya itu.

“Janganlah marah. Dah lama aku tak jumpa kau. Jomlah keluar sekejap.” Aryan cuba memujuk. Suaranya sengaja dilunakkan persis anak gadis memujuk teman lelakinya.

“Hisy, tak payahlah buat suara macam tu. Gelilah aku dengar. Macam adik-adik tahu tak?” rungut Alia.

“Cakap aku macam tu, aku betul-betul jadi adik-adik, kau nak?” balas Aryan. Geram betul rasanya apabila mendengar perkataan ‘adik-adik’. Hensem dan maskulin macam ni hendak disamakan dengan golongan lelaki lembut. Alia dah hilang akal agaknya.

Tercuit hati Alia mendengar rungutan Aryan. Tak sanggup rasanya melihat Aryan bersikap seperti lelaki lembut. Jika sebagai lelaki maskulin pun sudah cukup memeningkan kepalanya, inikan pula jika dia menjadi lelaki lembut.

“Okeylah, aku minta maaf. Pukul berapa nak keluar ni?” Alia benar-benar sudah mengalah.

“Pukul 10.30 ni. Aku jemput. Aku pun dah masuk kereta, nak on the way pun ni,” jawab Aryan.

Terbeliak mata Alia mendengar jawapan lelaki itu. Spontan matanya tertumpu pada jam dinding. Sakarang pukul 9.45 pagi. Jarak antara rumahnya dengan rumah Aryan hanya 15 minit sahaja. Bukan 45 minit.

“Agak-agaklah Labu. Kau ingat aku ni Superman ke boleh tukar sekelip mata?” rungut Alia.

“Kau membebel macam tu lagi lambat kau siap. Dah, pergi siap sekarang. Kalau lambat aku tinggal,” balas Aryan sebelum mengakhiri perbualan.

Terkejut Alia apabila lelaki itu terus mematikan talian. Dia yang sibuk ajak aku keluar, dia boleh pulak ugut nak tinggalkan aku. Aryan memang sudah sewel agaknya!

bersambung... 


Monday 18 August 2014

Novel Suamiku Mr. Boss

Sedikit perkongsian novel Suamiku Mr. Boss. :)











BAB
1


Majlis tandatangan MoU antara SMO Holding milik Datuk Osman dan syarikat Aman Perwira Holding milik Datuk Zainal berakhir dengan sempurna. Naim tahu Datuk Zainal dan Arif berasa gembira kerana apa yang dirancangkan kini menjadi kenyataan. Sudah lama Datuk Zainal dan Arif berharap dia dan ayahnya bersetuju untuk bekerjasama dalam perniagaan. Kini mereka bersetuju kerana percaya kepakaran harus dikongsi demi kemajuan bersama.

“Projek kolej jururawat kat Bagan Datoh tu baru aje start. Buat masa ni aku nak tumpu pada projek tu. Bila balik nanti, baru aku uruskan projek kita kat Shah Alam tu,” ujar Naim kepada Arif.

“Tak apa. Kau uruskan dulu projek tu. Projek kat Shah Alam tu pun belum start lagi,” balas Arif.

Naim hanya mengangguk perlahan. Memang itulah rancangannya sejak awal lagi.

Selepas Datuk Zainal dan Arif beransur pulang, Naim mengikut Datuk Osman masuk ke dalam pejabat. Naim bersandar di sofa panjang seraya memandang Datuk Osman. Lelaki itu kelihatan tenang ketika menyimpan dokumen penting di dalam sebuah peti besi.

“Banyak tugas yang kita perlu buat lepas ni,” ujar Datuk Osman.

“Memang banyak. Tambah dua, tiga tahun pun belum tentu sempat,” usik Naim.

“Kenapa tak cukupkan 10 tahun aje?” balas Datuk Osman.

Naim ketawa kecil. “Kalau 10 tahun kita bungkuslah, papa.”

Datuk Osman tersenyum memandang Naim. “Tahu pun. Jangan buat kerja main-main.”  

“Papa jangan risau. InsyaALLAH Naim akan buat sebaik mungkin. Lagipun Naim sendiri yang setuju dengan kontrak ni,” balas Naim. Mana mungkin dia tergamak menghampakan ayahnya.

“Baguslah macam tu. Papa tahu yang papa boleh harapkan kamu. Sebab tu papa setuju untuk bergabung dengan Uncle Zainal. Selepas ni kita akan semakin sibuk. Papa dah buat keputusan nak serahkan projek kat Sri Hartamas tu kepada Fendi,” ujar Datuk Osman seraya mengeluh berat.  

Terpaku Naim apabila mendengar keputusan itu. Sebelum ini ketika Datuk Osman bercadang hendak berbuat demikian, Naim buat tidak endah kerana tidak menyangka ayahnya serius.

Datuk Osman menambah. “Papa tengok dia tu rajin orangnya. Prestasi dia pun semakin baik. Jadi papa rasa dah tiba masanya dia diberi peluang untuk uruskan projek sendiri. Papa percaya dia mampu uruskan projek tu macam yang kita harapkan.”

Naim melepaskan keluhan berat. Inilah saat yang dia paling dia bimbang selama ini. Papanya mula memberi kepercayaan dan peluang kepada Fendi. Hakikatnya sikap rajin yang ditunjukkan oleh Fendi hanya lakonan semata-mata. Sedangkan tugas Fendi banyak dilakukan oleh orang-orang bawahannya.

“Tapi kenapa mesti Fendi? Tak ada orang lain ke yang lebih layak?” soal Naim.

“Apa salahnya kalau kita bagi peluang pada Fendi?” balas Datuk Osman dengan pertanyaan juga. Walaupun Fendi sekadar anak tirinya, anak muda itu harus diberikan peluang yang sama.

Agak lama Naim memikirkan hal itu. Kemudian dia membalas perlahan. “Bukan Naim tak nak bagi dia peluang. Naim rasa belum masanya lagi. Nanti papa juga yang pening kepala dengan dia.”

“Fendi tu masih mentah. Dia perlukan bimbingan untuk berjaya. Papa percaya jika diberi peluang, dia akan tunjukkan kebolehan sebenar,” balas Datuk Osman.

Naim mengeluh panjang. Dia tahu Datuk Osman sedaya upaya mempertahankan adik tirinya itu.

“Baiklah Naim setuju. Tapi kalau dia buat hal, Naim takkan berdiam diri aje.”  

Datuk Osman berasa lega kerana Naim akhirnya bersetuju.  

“Jangan risau. Dia takkan hampakan kita,” balas Datuk Osman.

Belum sempat Naim membalas, tumpuan mereka terganggu oleh bunyi pintu yang terbuka. Spontan mereka menoleh ke arah Datin Azilah yang sedang berdiri di muka pintu. Senyuman terukir di bibir wanita itu.

“Ada dissussion penting ke ni?” usik Datin Azilah.   

“Tak adalah. Marilah duduk sekali,” pelawa Datuk Osman.

Tak lama selepas Datin Azilah mengambil tempat di sebelah Naim, setiusaha Datuk Osman membawa kopi untuk mereka.

“Naim dah bersedia ke Bagan Datoh?” soal Datin Azilah sebaik menghirup kopinya.

“Tentulah dah bersedia, mama. Kalau tak, takkanlah Naim nak pergi,” jawab Naim. Hakikatnya dia tidak yakin dengan perasaannya sendiri.

“Baguslah macam tu. Kamu tak kisah kan pergi seorang diri?” balas wanita itu.

Pertanyaan itu membuatkan Naim ketawa kecil. “Tengoklah oranglah, mama. Setakat sorang-sorang kat Perak, apalah sangat. Dulu empat tahun duduk sorang-sorang kat US tau.”

Datuk Osman mencelah. “Yelah tu sorang-sorang. Bukan ke Cico ikut kamu ke sana? Cuma dia tak ikut kamu masuk ke kelas.”

Naim tersengih mendengarnya. Memang selama empat tahun menyambung pengajian di US dulu pengawal peribadinya itu sentiasa menemani dan memantau dia dari jauh.

“Kalau rasa tak selamat, biar Cico temankan kamu,” usul Datin Azilah.

“Tak payahlah. Bukan pergi berperang pun. Setakat pergi kerja. Lagipun Naim dah janji nak pinjamkan Cico dengan mama,” balas Naim.

Datin Azilah tersenyum. “Tak apalah kalau itu kata kamu.”

“Mama kena jaga Cico baik-baik. Jangan dera dia pula,” pesan Naim.

Berkerut dahinya mendengar pesanan Naim. “Eh, siapa sebenarnya yang jadi bodyguard ni?”

Hampir serentak Datuk Osman dan Naim ketawa membuatkan Datin Azilah turut sama ketawa.

“Sekejap lagi papa ada discussion dengan Fendi. Kamu nak turut serta?” tanya Datuk Osman setelah agak lama mereka berdiam diri.

“Berkenaan apa?” soal Naim seraya menghirup minumannya.

“Tentang apa yang kita bincangkan tadi,” jawab Datuk Osman.

Naim mengeluh perlahan. “Tak apalah, papa. Naim ada kerja.”

Datuk Osman tidak menghalang tatkala Naim meminta diri ke pejabatnya. Dia tahu bukan mudah Naim ingin menerima keputusannya sebentar tadi.



Ketika Naim baru keluar dari pejabat Datuk Osman, dia berselisih dengan Fendi. Anak muda itu kelihatan terkejut melihat kehadirannya.

“Eh, tak sangka abang masih kat sini,” tegur Fendi.

“Kenapa? Kau tak sabar nak tunggu aku blah?” balas Naim.

Fendi tersenyum sinis. “Memang tak sabar pun. Bila abang bertolak?”

“Aku bertolak lusa,” balas Naim.

‘Lusa rupanya. Patutlah mamat poyo ni masih tercongok kat sini,’ gumam hati Fendi.

“Tak menyesal ke pergi ke sana?” soal Fendi.

“Kenapa aku nak menyesal pula?” balas Naim dengan pertanyaan juga. Dia tahu Fendi sengaja ingin menyindirnya.

“Abang tu dah biasa duduk kat bandar. Bagan Datoh tu kawasan kampung. Banyak benda yang abang perlukan tak ada kat sana. Mesti abang menyesal pergi sana.”

“Aku tak kisah pun. Kenapa kau pula yang kisah?"


Fendi rasa terpukul mendengar sindiran itu. namun dia tetap berlagak tenang.


“Bukan kisah pun. Cuma kasihan abang kena kerja kat ceruk kampung macam tu. Dua tahun pula tu. Kenapa tak suruh orang lain aje yang pergi?”


Naim mengerling sinis. “Orang lain tu siapa? Kau ke?”


Tawa meletus dari mulut Fendi. Semakin lama semakin kuat. Naim tahu tawa itu sengaja dibuat-dibuat untuk menyakiti hatinya.


“Kalau Fendi, memang taklah,” balas Fendi.


“Kalau kau sendiri tak nak pergi, jangan menyibuk urusan aku.”


“Mana ada menyibuk. Cuma bertanya aje. Sebagai adik kenalah ambil berat urusan abang sendiri. Tak gitu?” Fendi masih enggan mengalah.


Naim tersenyum nipis. “Tak payahlah kau risaukan aku, Fendi. Aku tahu apa yang aku buat. Sejak awal, aku yang susah payah nak dapatkan projek tu. Jadi aku nak handle sendiri supaya semua berjalan lancar. Lagipun ini tugas terakhir aku kat site construction. Balik nanti kerja aku hanya kat pejabat, tak payah duduk site lagi.”


Walaupun Naim berkata dengan nada lembut, berdesing telinga Fendi apabila mendengarnya. Dia terasa disindir dalam diam. Dia tahu Naim akan dinaikkan pangkat dari pengurus projek menjadi pengurus besar tidak lama lagi. Manakala dia akan menggantikan jawatan Naim.


“Lain kalilah kita sambung sembang. Aku kena pergi bersiap. Maklumlah orang nak pergi jauh. Aku pergi dulu,” ujar Naim meminta diri.


Fendi memaniskan mukanya sehingga Naim hilang dari pandangan mata. Sementara itu Naim pula mengukir senyuman. Dia puas kerana dapat mengenakan adik tirinya itu.



Sebaik masuk pejabat, Naim menghampiri kabinet. Dia mengambil beberapa buah fail dan dokumen penting lalu dimasukkan ke dalam kotak yang tersedia. Laptop dimasukkan ke dalam beg galas. Dia berharap mampu melakukan yang terbaik kerana itu adalah projek terakhirnya sebelum mengambil alih urusan syarikat.


Ketika dia sibuk mengemas meja, kedengaran pintu biliknya diketuk dari luar. 


“Masuklah,” ujar Naim.


Seketika kemudian wajah Darina muncul di muka pintu. Naim mengeluh panjang. Rasa ingin ditarik balik pelawaannya sebentar tadi. Tapi Darina sudah masuk ke dalam pejabat. Senyuman manis terukir di bibir gadis itu.


“Hai, Abang Naim. Lama tak jumpa abang,” sapa Darina.


“Darina buat apa kat sini? Tak kerja ke hari ni?” balas Naim.


“Hari ni Darina cuti separuh hari. Sebab tu Darina datang sini jenguk abang,” ujar Darina dengan nada manja.


“Rajinnya datang melawat abang,” usik Naim.


Apabila melihat reaksi Naim yang seakan tidak menolak kehadirannya, spontan Darina memaut lengan lelaki itu. Dia ingin melepaskan rindu pada Naim.  


“Hari ni kerja tak banyak. Biasalah kerja sendiri. Dari duduk rumah aje, baik Darina datang sini. Darina nak ajak abang pergi shopping,” ujar Darina. 


“Maaflah abang tak dapat temankan Darina. Abang busylah hari ni. Tengoklah banyak lagi benda yang abang kena kemas.”


“Jadi betullah abang akan pergi ke site baru?” soal Darina. Hati-nya berasa bimbang setelah mendapat tahu Naim akan bertugas di luar ibu kota.


Naim mengangguk perlahan. 


“Betul ke abang kat sana sampai dua tahun?” Darina inginkan kepastian. Dia tidak percaya ketika diberitahu Naim akan tinggal di Bagan Datoh selama dua tahun.


Naim mengangguk perlahan. “Abang nak urus projek pembinaan kolej tu sampai siap.”


Darina terkejut mendengar berita itu. Selama ini dia menyangka lelaki itu bertugas hanya sementara. Tapi rupanya hingga projek itu siap.


“Lamanya abang kat sana. Kenapa abang tak suruh site manager abang yang pergi?”


Senyuman terselit di bibir Naim. “Abang lebih suka urus projek ni sendiri. Bukan senang abang nak dapat projek ni. Lagipun bila jauh perjalanan, luas permandangan.” 


Darina rasa kecewa mendengar jawapan itu. Naim dilihat tegas dengan keputusannya.  


“Abang janganlah pergi ke sana. Darina tak sanggup berjauhan dengan abang. Nanti hari-hari Darina rindukan abang. Abang tak rindukan Darina ke?”


Naim menggeleng dengan wajah mengusik. “Buat apa abang rindukan Darina? Baik abang rindukan office abang ni. Lama tau abang tinggalkan dia.”    


Berderau darah Darina mendengarnya. Dia menyangka Naim akan memikirkan akan perasaannya. Namun lelaki itu lebih mementingkan pejabatnya. ‘Naim memang hanya fikir kerja dia aje. Perasaan aku bukan nak dihiraukan!’


“Ada apa-apa lagi tak yang Darina nak cakap dengan abang? Abang kena berkemas cepat. Esok abang tak masuk office,” ujar Naim lagi.


Berkerut-kerut dahi gadis itu menahan marah. “Sampai hati abang tau. Abang tak fikir pun perasaan Darina. Kalau macam ni Darina nak baliklah.”


“Baguslah. Darina baliklah sekarang,” balas Naim.


“Abang suruh Darina balik?” ulang Darina.


Naim menatap wajah gadis itu sebelum membalas selamba. “Yelah. Tadi kan Darina sendiri cakap nak balik. So buat apa lagi kat sini?”


Dengusan keras kedengaran dari bibir gadis itu. “Hisy, geramnya! Abang ni memang tak ada hati perut. Malaslah nak jumpa abang lagi!”


Sebaik berkata demikian, Darina bergegas menuju ke pintu. Sempat lagi dia memberi jelingan tajam kepada Naim. Dia berharap lelaki itu akan mengejar dan memujuknya. Tapi Naim hanya kaku. Geram dengan tingkah Naim, daun pintu dihempas kuat.


Naim bersandar di kerusi seraya menghela nafas berat. Dia merasakan ada baiknya juga dia ditugaskan ke luar daerah. Sekurang-kurangnya dia akan jarang bersua muka dengan Fendi dan Darina yang sering sahaja memeningkan kepalanya.










BAB
2


Awal pagi itu hujan turun renyai-renyai membasahi kawasan Kampung Sungai Balai Darat. Safia bangun dari tidur untuk memulakan rutin hari itu. Selepas bersiap, dia keluar dari bilik untuk membantu Puan Julia yang berada di dapur.

“Selamat pagi ibu,” sapa Safia.

“Selamat pagi. Awal kamu bangun hari ni,” balas Puan Julia.

“Safia dah dua minggu tak tolong ibu. Sekarang exam STPM dah habis, biarlah Safia tolong ibu macam biasa,” balas Safia.

“Kamu tak penat ke?”

Safia membantu ibunya mengacau sambal dengan api yang sederhana.

“Safia tak rasa penat. Semalam dah rehat puas-puas. Hari ni bolehlah start kerja.”  

Puan Julia tersenyum mendengarnya. Dia tahu anaknya itu memang ringan tulang.  

“Banyak ke tempahan hari ni?” Safia bertanya lembut.

“Boleh tahan juga. Hari ni ibu kena siapkan nasi lemak, bihun goreng dan mi goreng. Selain tu, kuih tepung pelita dan cucur badak.”

“Wah, banyak juga tu. Kenapa ibu tak beritahu Safia semalam? Boleh Safia tolong.”

“Alah, tak payahlah susah-susah. Ibu mampu buat sendiri,” balas Puan Julia.

“Safia tahu ibu mampu buat sendiri. Sebab tu bila kerja dah separuh jalan, baru Safia datang tolong,” ujar 
Safia seraya tersengih nakal.

Puan Julia mengerling anaknya. “Oh, tadi tu cuma nak sedapkan hati ibu ajelah.”  

Senyuman nakal terselit di bibir Safia. Puan Julia turut tersenyum seraya menyambung kerjanya. Hari ini mereka perlu menyiapkan tempahan untuk jamuan di Sekolah Menengah Kebangsaan Selekoh. Kini setiap tray yang kosong sudah terisi dengan hidangan yang ditempah. Sebaik sahaja selesai mengemas, mereka duduk di meja makan untuk menikmati sarapan.

“Manalah ayah kamu ni? Semalam dia kata ada meeting dan jamuan dengan pihak PIBG. Dah hujan macam ni, agaknya tak pergilah meeting tu,” ujar Puan Julia.  

“Ayah ada kat sini. Ayah dah bersiap pun,” sahut Encik Syazlan.

Hampir serentak mereka menoleh. Encik Syazlan kelihatan segak memakai kemeja dan seluar slack. Rambutnya juga disikat rapi.

“Awal abang bersiap hari ni,” ujar Puan Julia.

“Abang kena datang awal. Hari ni ada banyak urusan kat sekolah,” ujar Encik Syazlan seraya duduk di meja makan. Sejak dilantik sebagai guru penolong kanan beberapa tahun yang lalu, masanya banyak diluangkan untuk aktiviti di sekolah.   

Puan Julia menuangkan air kopi ke dalam cawan suaminya. Lelaki itu segera menikmati air kopinya sementara Puan Julia menyediakan nasi lemak untuknya.

“Wah, sedap kopi yang awak buat,” puji Encik Syazlan.

Puan Julia tersenyum. “Macam biasa ajelah, bang.”

Encik Syazlan memandang anak gadisnya yang sedang menikmati nasi lemak. “Kenapa Safia makan sikit aje?”

“Mana ada sikit. Banyak ni, ayah.”

“Banyak apa kalau tak sampai separuh pinggan. Sini ayah tambahkan,” ujar Encik Syazlan seraya menambah nasi ke dalam pinggan Safia.

Safia cuba menahan, namun Encik Syazlan lebih awal bertindak demikian. Berkerut dahinya apabila melihat pinggannya kini sudah penuh. “Banyaknya ayah letak. Mana boleh habis macam ni.”

“Alah, sikit aje tu. Buat apa kamu nak diet? Kamu bukannya ada lemak. Tulang aje melambak-lambak tapi lemak tak nampak.”

“Memanglah sekarang Safia tak ada lemak. Nanti bila Safia asyik makan banyak, lemak pun berlambak-lambak sampai tulang pun tak nampak,” balas Safia. 

Spontan Encik Syazlan menarik pipi Safia. Gadis itu tidak sempat mengelak.

“Ayah, sakitlah pipi Safia. Ayah ni suka tarik pipi Safia macam tu,” rungut Safia seraya menggosok pipinya.

Encik Syazlan ketawa kecil. “Siapa lagi ayah nak usik? Anak ayah seorang aje.”

“Ayah suka bagi alasan macam tu.” 

Puan Julia menggeleng perlahan apabila melihat gelagat mereka berdua. Ada sahaja yang ingin digaduhkan walaupun hanya perkara kecil. Dia sudah penat hendak menegah.

“Dah, jangan bising. Nanti ayah akan tambah lagi.”

Bulat mata Safia mendengar kata-kata ayahnya yang berbaur ugutan itu. Dia segera menghabiskan makanannya membuatkan Encik Syazlan dan Puan Julia ketawa kecil.


Panorama di Kampung Sungai Balai Darat begitu indah dan aman. Pokok-pokok hutan masih terpelihara. Air sungai serta parit mengalir jernih. Kelihatan bunga–bunga liar yang tumbuh merata di sekeliling kampung. Cuaca hari itu sedikit redup dan nyaman.     

Di ladang, Safia dan Mek Mah memetik sayur-sayuran sementara Mukhris, Aman dan Jumali pula mengangkat sayur-sayuran itu menuju ke bangsal. Pelbagai jenis sayuran diasing-asingkan sebelum ditimbang mengikut pesanan yang diterima. Sudah menjadi tugas Safia untuk memastikan pesanan dapat disiapkan dengan baik.

“Safia, tak payahlah angkat sendiri. Abang kan ada,” tegur Mukhris apabila melihat Safia berusaha mengangkat bakul yang dipenuhi kacang buncis.

Safia berpaling seraya tersengih. “Safia sengaja nak tunjuk kuat.”

Mukhris mengerling. “Tak payah. Ini tugas lelaki gagah perkasa macam abang.”

“Eeii...perasan betul abang ni,” rungut Safia.

Mukhris ketawa kecil. “Tak kisahlah perasan asalkan hensem.”
Safia turut ketawa kecil. “Dah, cepatlah tunjukkan skil gagah perkasa abang tu. Bolehlah kerja kita siap cepat sikit.”

Lelaki itu tersenyum seraya mengangkat bakul itu. Sekejap sahaja bakul itu sudah berada di atas mesin penimbang.

“Tauke Tan order kacang buncis 30 kilo. Berapa beratnya, bang?” soal Safia.

“Beratnya 31.42 kilo,” ujar Mukhris.

“Okey,”ujar Safia seraya mencatat di dalam invois. Setelah ditolak berat bakul yang mencecah 1.4 kilogram, dia mendapat jumlah yang diinginkan.

“Berat bayam merah?” Safia bertanya lagi pada abang sepupunya itu.

“11.5 kilo,” jawab Naim.  

Safia terus mencatat di dalam invois.

“Ini untuk Tauke Tan kan?” soal Mukhris inginkan kepastian.

Safia mengangguk perlahan. Lalu Mukhris meletakkan bakul berisi kacang buncis dan bayam merah itu bersebelahan dengan sayur yang dipesan oleh Tauke Tan.

“Pak Ahmad ada tambah order. Dia nak tomato 25 kilo. Boleh Abang Aman sediakan?” Safia bertanya pada Aman yang sedang menyusun sayuran.

“Oh, baiklah. Abang sediakan sekarang,” ujar Aman. 

Lelaki itu memasukkan tomato ke dalam sebuah bakul tersedia. Kemudian dia meletakkan bakul itu di atas mesin penimbang. Safia mencatat di dalam invois sementara Aman menurunkan bakul itu semula.

Setelah selesai tugas menimbang dan mengasingkan pesanan, Safia duduk di kerusi rehatnya. Diteguk air kosong untuk menghilangkan dahaga. Dia mahu berehat seketika sebelum menyambung tugas. Tenaga perempuannya tidak sehebat Mukhris, Aman dan Jumali yang tidak nampak letih walaupun berjam-jam di ladang.          

“Sayur dah siap timbang?” soal Puan Julia.

“Tentulah dah siap, ibu. Tadi Kak Yus dah ambil sayur yang dia order. Sekarang tinggal Tauke Tan dan Pak Ahmad.”

“Eloklah kamu dah siapkan. Sekejap lagi datanglah mereka berdua tu.”

Safia tersenyum nipis. Memang selalunya mereka berdua akan datang awal. Cuma hari itu agak lewat. Seperti berjanji, jika Pak Ahmad datang, Tauke Tan juga akan muncul tidak lama kemudian. Begitulah sebaliknya.     

“Esok ada order tambahan ke, ibu?” soal Safia.


“Tak ada. Kita siapkan order macam biasa.”

“Baiklah,” balas Safia.
      
“Nanti Safia baliklah dulu. Biar ibu yang tunggu mereka berdua,” ujar Puan Julia. 
     
“Tak apalah. Safia masih larat lagi,” balas Safia.

Safia melihat banyak lagi tugas yang masih belum dibereskan. Dia belum menyiapkan pesanan udang dan ikan. Bangsal sayur pula masih belum dibersihkan dengan sempurna.

Terdengar bunyi hon kereta tidak jauh dari tempat mereka berehat. Rupanya Encik Syazlan sudah sampai. 

“Safia baliklah dulu. Tentu Safia dah penat. Ayah pun dah sampai tu,” gesa Puan Julia.

“Tak apalah. Safia boleh tunggu. Ibu baliklah dulu,” balas Safia.

“Kerja ibu masih belum siap lagi. Safia pergilah balik dulu. Nanti ayah kamu tu bising.” 

Safia akur apabila melihat ibunya bertegas.

“Baiklah, ibu. Safia balik dulu,” ujar Safia meminta diri.

Puan Julia tersenyum sebelum menyambung tugasnya.

Safia masuk ke dalam kereta Encik Syazlan. Dia melihat ayahnya sudah menukar pakaian. Ayahnya sudah singgah di rumah sebelum menghantarnya pulang.

Tidak sampai 10 minit kemudian, kereta Encik Syazlan berhenti di hadapan rumah mereka. Safia segera membuka pintu kereta. 
  
“Ayah nak ke ladang semula, siapkan pesanan. Safia masuklah dulu,” ujar Encik Syazlan. Walaupun sibuk dengan tugas di sekolah, dia tetap cuba meluangkan masa untuk tugas di ladang.

Safia hanya mengangguk. Dia juga perlu menyiapkan makanan tengahari.

“Nanti kita makan dan solat sama-sama,” pesan Encik Syazlan sebelum berlalu.

Senyuman terukir di bibir Safia. Diatur langkah masuk untuk mandi dan menukar pakaian.










BAB
3



Mata Naim terpegun melihat permandangan di sekelilingnya. Dia tidak menyangka Kampung Sungai Balai Darat memiliki permandangan yang cantik. Pokok buah-buahan, tumbuhan kecil dan bunga liar menghiasi kawasan kampung itu. Sepanjang jalan yang dilalui, terdapat air parit yang sungguh jernih dan penuhi pokok teratai. Tidak banyak pembangunan di kawasan itu. Kebanyakan rumah penduduk Kampung Sungai Balai Darat masih mengekalkan ciri-ciri tradisional. Tidak banyak rumah batu yang ditemui di sepanjang jalan.

Apabila Naim melalui sebuah ladang sayur yang terbentang luas, matanya terus tertumpu di situ. Hatinya tertarik dengan kawasan itu. Dia tidak pernah melihat kawasan ladang yang secantik itu. Kawasan itu dikelilingi permandangan yang sangat indah. Kelihatan burung-burung kecil dan rama-rama berterbangan di merata tempat.

Disebabkan matanya ralit melihat kawasan itu, dia tidak sedar yang dia sudah tersesat jalan. Malah dia telah memasuki simpang yang salah. Setelah penat mencari arah, akhirnya dia pasrah. Naim berhenti di tepi jalan seraya menelefon Kamal.

“Kamal, boleh beritahu  balik jalan ke rumah Tok Ketua?” soal Naim.

“Jalan masuk rumah ketua kampung tu ada pintu gerbang berwarna kuning. Rumah dia nombor tiga dari kanan, rumah dua tingkat separuh papan dan batu. Cat rumah dia berwarna biru laut dan putih. Ada sebuah kedai runcit di depan rumah dia.” Terdengar suara Kamal di talian.

Naim menghela nafasnya. Sepanjang perjalanan tadi, dia yakin tidak perasan gerbang berwarna kuning yang dimaksudkan.  

“Di mana kedudukan Encik Naim sekarang? Nanti saya datang ke sana.”

“Saya pun tak tahu kat mana saya sekarang,” keluh Naim.

Kamal di talian juga kedengaran resah. Lelaki itu bimbang Naim akan tersesat.  

“Awak jangan risau. Saya cuba cari jalan sekali lagi. Kalau tak jumpa, saya akan call awak semula.” Naim memberi kata putus sebelum mematikan talian.

Naim melepaskan keluhan berat. Dia keluar dari kereta untuk menenangkan diri. Hatinya kesal kerana pergi sendiri ke rumah ketua kampung itu walaupun Kamal ingin menawarkan diri. Sedangkan dia tidak Arif dengan kawasan kampung itu.

‘Mesti Haji Murad tengah tunggu aku. Nak telefon beritahu yang aku tersesat, rasa malu pula,’ keluh hati Naim.

Belum sempat Naim masuk ke dalam kereta semula, terdengar suara lembut menyapanya. Lalu dia berpaling ke arah suara itu.

“Assalamualaikum, encik.”

Mata Naim terpaku apabila memandang seorang gadis sedang berdiri tidak jauh darinya. Cantiknya gadis ini, desis hati Naim. Walaupun bertudung dan berpakaian ringkas, kecantikannya kelihatan terserlah. Segera diusir perasaan nakal yang tiba-tiba hadir.        

“Waalaikumussalam,” balas Naim. Walaupun terpaku, dia masih sempat membalas.
   
“Encik ada masalah ke?” soal gadis itu.

Dia rasa malu untuk mengaku yang dia sedang berada di dalam kesusahan. Namun disebabkan sikap prihatin gadis itu yang nampak ikhlas, dia segera mengangguk kepala.

“Boleh saya bantu?” Gadis itu bertanya lembut.

Sure. Sebenarnya saya nak pergi ke rumah Haji Murad, ketua kampung ni. Tapi saya dah tersesat jalan,” ujar Naim berterus terang.

“Encik nak ke rumah Tok Ketua rupanya. Saya boleh tunjukkan jalan,” balas gadis itu.

Naim berasa gembira mendengarnya. “Betul ke?”

Gadis itu mengangguk. “Ya. Tapi encik kena berpatah balik sebab encik dah terlepas jauh ni. Bila jumpa pintu gerbang berwarna kuning, encik masuk kanan. Rumah dia yang ketiga dari simpang tu, di bahagian kanan. Cat rumah dia berwarna biru. Ada kedai runcit di depan rumah dia.”

Naim memahami petunjuk yang diberikan. Tambahan lagi Kamal juga memberikan petunjuk yang hampir sama.

“Boleh awak tunjukkan arah ke sana? Maklumlah saya tak biasa dengan kawasan ni,” ujar Naim dengan riak wajah memohon simpati. Dia sengaja berbuat demikian kerana masih belum puas bersama gadis itu.  
 
“Oh, boleh. Saya boleh tunjukkan jalan ke sana.”

“Terima kasih ya, cik.”

“Sama-sama,” balas Safia.

“Sebelum tu, boleh saya tahu siapa nama cik?” soal Naim. 

Hatinya berasa tidak puas kerana masih tidak tahu nama gadis itu.


Gadis itu membalas dengan lembut. “Nama saya Safia Hana. Panggil aje Safia.”

Naim tersenyum apabila mendengar nama gadis itu. Nama yang cantik, secantik orangnya juga. Dalam diam, nama itu terpahat dalam ingatannya.

“Cik, marilah naik kereta saya,” pelawa Naim seraya membukakan pintu kereta.

“Tak apalah, encik. Saya tak boleh tinggalkan skuter saya kat sini,” balas Safia. Dia terus membonceng skuternya yang diparkir tidak jauh dari kereta Naim.      

Naim mengetap bibir. ‘Alamak, malunya aku. Macam manalah aku boleh tak perasan skuter dia tadi. Tapi tak apalah asalkan aku tahu nama dia.’

“Boleh kita pergi sekarang?” Safia bertanya lembut.

Naim segera mengangguk dengan wajah masih tersipu malu.



Ketika mereka tiba di rumah Tok Ketua, lelaki tua itu sedang membaca akhbar di beranda. Apabila melihat ada tetamu datang, dia segera bangun lalu tersenyum menyambut kedatangan mereka.

Naim membalas senyuman seraya bersalaman dengan Tok Ketua.

“Ini Encik Naim Haziq dari Kuala Lumpur tu ya?” Tok Ketua bertanya lembut.

“Ya, sayalah orangnya,” jawab Naim lembut.

“Marilah kita masuk, encik. Kita berbincang kat dalam,” pelawa Tok Ketua.

Naim mengangguk kepala sebelum membuka kasutnya.

Tok Ketua sempat memandang Safia. “Safia, marilah masuk sekali.”

“Tak apalah tok. Safia tunggu Midah kat pangkin.”

“Baiklah. Nanti tok panggilkan dia,” balas Tok Ketua.

Sementara menunggu Midah bersiap untuk turun, Safia duduk di pangkin yang berada tidak jauh dari rumah itu. Tidak lama kemudian, Midah datang seraya menatang dulang berisi air milo dan kuih. 

“Buat susah-susah aje kau ni, Midah,” ujar Safia berbahasa.

“Tak ada susahnya. Minumlah Safia,” pelawa Midah.

Lalu Safia meneguk air minumannya. Kemudian dia menjamah kuih yang terhidang. Midah juga turut meneguk minumannya.  

“Nek Uda mana?” soal Safia. Sejak tadi dia tidak nampak nenek temannya itu.

“Nek Uda pergi mengajar orang berzanji kat masjid. Tengah hari nanti dia baliklah.”

“Oh, patutlah dari tadi tak nampak Nek Uda.”

“Biasalah nenek aku tu. Setiap hari ada aje aktiviti dia. Kau nampak relaks aje hari ni. Kau tak ke ladang ke?” Midah bertanya lembut.

“Aku pergi. Aku nak melepak kat sini sekejap sebab dah lama tak jumpa kau.”

Midah tersenyum. “Macamlah dah lama sangat kita tak jumpa.”

Safia tersengih. Dihirup minumannya hingga habis.

“Bulan depan aku nak balik ke rumah emak ayah aku,” ujar Midah.

“Baguslah. Dah lama kau tak jenguk mereka. Lama ke kau kat sana?”soal Safia.

“Rasanya lama juga aku kat sana. Emak aku cakap sementara belum sambung study, ada baiknya aku belajar memandu dan pergi ke kelas menjahit. Nanti selepas dapat lesen kereta dan pandai menjahit, barulah aku balik semula ke sini.”

“Mesti aku sunyi bila kau tak ada nanti,” keluh Safia.

Midah memegang tangan Safia. “Janganlah risau. Aku bukannya tak balik langsung. Bila lapang, aku akan balik sini. Ini kan kampung aku.”
Safia gembira mendengarnya.

“Siapa lelaki hensem yang datang sekali dengan kau tadi?”

“Entah, aku pun tak kenal dia. Aku pun baru jumpa dia tadi. Dia cakap nak jumpa dengan atuk kau. Jadi aku pun tunjukkan jalan ke sini.”

Midah mengeluh perlahan. “Orang yang tak kenal pun kau boleh percaya. Elok aje kau terus bawa dia jumpa dengan atuk aku. Kalau dia tu jahat orangnya, kau bukan aje tak sampai rumah atuk aku, kau pun hilang entah ke mana.”

“Aku tahu dia tu baik orangnya. Sebab tu aku berani bawa dia ke sini.”

“Mana kau tahu dia tu baik orangnya?” soal Midah lagi.

Safia mengangkat bahu. “Entahlah. Hati aku dapat rasa dia tu baik orangnya.”

“Tak kenal pun boleh tahu hati dia baik ya,” usik Midah seraya ketawa kecil.

Gadis itu turut ketawa kecil.

“Mentang-mentanglah dia hensem, kau sanggup iring dia sampai sini. Kalau dia tak hensem, agaknya kau tinggal aje kat tepi jalan,” usik Midah.

Bulat mata Safia apabila mendengar usikan itu. “Suka hati kau aje cakap aku macam tu. Aku tak memilih tau masa nak tolong orang.”  

Midah tersengih. “Aku tahu. Kau tahu tak siapa nama dia?”

Safia mengangguk perlahan.

Senyuman Midah semakin meleret. “Dah agak dah. Siapa nama dia?”

“Nama dia Naim. Rasanya itulah yang aku dengar tadi.”

“Oh, Naim rupanya. Hensemlah da tu. Ada iras pak arab,” balas Midah.

“Lain macam aje puji. Kau berkenan ke?” Safia mengusik.

Spontan satu cubitan mengenai lengan Safia. Puas hati Midah apabila Safia mengerut dahi menahan rasa sakit.

“Aku tanya sebab nak tahu, bukannya ada niat apa-apa. Tadi masa hidang air untuk dia, aku terus ke sini. 

Tak sempat pun nak tahu siapa nama dia.”

Safia tersengih. “Aku bergurau ajelah. Aku bukannya tak tahu cita rasa kau nak lelaki cute macam artis Korea,” balas Safia.

Hampir serentak mereka ketawa. Ketika kecil masing-masing menyimpan angan-angan mengenai lelaki pilihan hati mereka. Safia menyukai lelaki kacak dan berbadan tegap. Manakala Midah pula menyukai lelaki berkulit cerah dan bermata sepet seperti artis-artis Korea pujaannya. Sejuk matanya dapat memandang kekasih hati setiap hari. 

“Tak sangka sampai besar kita masih ingat angan-angan kita,” ujar Midah.

Safia tersenyum. “Masa kita cakap dulu, kita masih budak-budak lagi. Kita belum matang dalam buat pilihan. Bila besar ni baru sedar hati lebih penting dari paras rupa.”

“Betul cakap kau. Tiada siapa yang perfect kat dunia ni. Kalau kita harap pasangan kita perfect, kita juga yang akan kecewa,” balas Safia.

Midah turut bersetuju. Dia tersenyum memandang Safia menikmati kuih apam seri ayu dan talam keladi yang dimasak oleh neneknya. Sejak kecil temannya itu bukan sahaja tidak cerewet tentang makanan, malah amat menyukai makanan tradisional.

“Kau selalu jumpa dengan Deja?” soal Midah.

Safia menggeleng perlahan. “Aku jarang jumpa dia. Dia selalu ada hal aje.”

“Aku pun jarang dapat jumpa dia. Mungkin dia kerja sebab dua, tiga kali aku nampak dia keluar pagi pakai baju cantik,” ujar Midah.

“Patutlah dia jarang jumpa kita. Dia kerja rupanya,” balas Safia.

“Eloklah kalau dia kerja, Safia. Dia pun dah lama duduk kat rumah tak buat apa-apa,” balas Midah.

Safia mengiyakannya. Selepas mereka sama-sama tamat peperiksaan SPM dua tahun lalu, Khadijah memilih untuk bekerja. Manakala dia dan Midah memilih untuk mengambil peperiksaan STPM dan menyambung pengajian mereka.

“Safia, kau tak jadi pergi ladang ke?” soal Midah. Dia berasa hairan melihat gadis itu hanya tenang seakan tidak perlu ke ladang hari itu.                  

Sebaik mendengar pertanyaan itu, Safia terus memandang jam tangannya. Rupanya dia sudah terlewat untuk ke ladang.

“Midah, aku kena pergi sekarang. Aku dah terlambat ni. Terima kasihlah sebab jamu aku makan. Aku pergi dulu,” ujar Safia meminta diri. Dia sempat bersalaman dengan Midah sebelum mendapatkan motosikalnya.

“Hati-hati bawa motor tu,” pesan Midah.

Safia melambai sebelum berlalu pergi. Midah menghantar temannya itu dengan senyuman manis.










BAB
4


Puan Julia menuntas pandangan ke sekeliling ladang. Dia berasa bimbang kerana Safia masih belum muncul. Tiada pekerjanya yang nampak kelibat Safia pagi itu. Sepatutnya Safia sudah berada di ladang kerana anaknya itu bertolak lebih awal.     

“Dari tadi saya tak nampak Safia. Dia ada beritahu abang, dia nak singgah mana-mana?” soal Puan Julia.

“Tak ada pula. Mungkin dia ke kedai atau singgah di rumah kawannya,” jawab Encik Syazlan, cuba menenangkan hati isterinya.

“Selalunya kalau nak singgah ke mana-mana, dia akan beritahu saya. Ini dia hilang macam tu aje.”

“Mungkin dia terlupa nak beritahu awak. Janganlah awak risau yang bukan-bukan. Sekejap lagi muncullah budak tu.”

“Harap macam itulah. Saya risau kalau ada apa-apa jadi pada dia. Nak telefon, handphone dia tertinggal di rumah.”

Encik Syazlan mengeluh. “Safia pun satu. Bukannya nak bawa handphone.”

“Abang, apa pesanan hari ni? Saya dah terlupa pula.” Puan Julia menukar topik perbualan. Dia cuba mengusir rasa bimbang daripada menguasai diri.

“Hari ni Pak Ahmad pesan sayur dua kali ganda dari biasa sebab esok dia cuti. Tauke Tan dan Kak Yus pesan macam biasa. Cuma Kak Yus nak tambah kacang panjang dan udang 10 kilo. Dia minta kita hantar petang ni,” ujar Encik Syazlan.

“Cukup ke stok yang ada, bang?” soal Puan Julia.

“InsyaALLAH cukup. Abang dah tengok tadi.”

Puan Julia berasa lega mendengarnya. Dia bimbang tidak dapat memenuhi permintaan pelanggannya kerana ladangnya tidaklah sebesar mana. Permintaan diterima setiap hari juga tidak sama. Jika rezeki murah, banyaklah pesanan yang diterima. 

“Abang tengok pokok kacang buncis kita dah mula berbunga. Seminggu lagi bolehlah dipetik hasilnya,” ujar Encik Syazlan.

Puan Julia gembira mendengarnya. Dia juga baru perasan pokok kacang buncis benih MKB 1 yang dibeli dari MARDI itu sudah mula berbunga. “Cepat juga pokok tu berbunga. Mungkin benihnya sesuai dengan tanah kita.”

“Ya. Abang pun rasa macam tu. Paling awal, 35 hari dah boleh petik hasilnya. Kebetulan rumpai pun tak banyak.”

Puan Julia kembali memandang sekeliling. Manalah tahu jika Safia sudah sampai. Ketika itu dia melihat Mukhris sedang menangguk ikan seorang diri di kolam. Jika Safia ada, dia tentu sedang sibuk mengusik abang sepupunya itu.

“Saya nampak Mukhris aje, bang. Entah ke mana anak abang tu,” keluh Puan Julia.

“Sekejap lagi sampailah tu. awak janganlah risau sangat.”

Terdengar helaan nafas berat dari mulut Puan Julia. Dia masih bimbangkan anak gadisnya itu.

“Rajin Mukhris tu. Tapi sayang, dia mungkin tak lama dapat menolong kita,” ujar Encik Syazlan sebelum menghela nafas panjang.   

Puan Julia mengerut dahi. “Kenapa abang cakap macam tu? Mukhris nak berhenti kerja ke?”    

“Buat masa sekarang ni tak adalah. Tapi mungkin tak lama lagi dia akan berhenti kerja sebab dia ada pergi temu duga tempohari,” ujar Encik Syazlan.

Puan Julia terpegun mendengarnya. “Mukhris pergi temu duga?”

“Ya. Dia temu duga di Kuala Lumpur untuk jawatan pegawai projek.”

“Jadi masa dia minta cuti tu sebab nak pergi temu duga rupanya.”

Encik Syazlan tersenyum. “Haah. Mulanya anak buah awak tu segan nak beritahu saya. Tapi bila saya desak, akhirnya dia beritahu juga. Jadi saya bagi dia cuti dua hari supaya dia tak kelam kabut. Tak lama lagi, dapatlah jawapannya. Dari gaya dia tu,  insyaALLAH dia akan diterima bekerja di sana.”

“Saya pun harap macam itulah, bang. Kasihan dia ada kelulusan tinggi tapi susah hendak dapat pekerjaan. Alangkah baiknya kalau dia dapat jawatan tu,” ujar Puan Julia.

Mereka sendiri tahu betapa susahnya Mukhris mencari pekerjaan yang sesuai walaupun mendapat kelulusan yang cemerlang dan pernah bekerja sambil belajar. Rezeki ternyata belum berpihak kepada anak muda itu.    

“Saya rasa macam baru semalam Muhkris mohon kerja di sini. Tak sangka dah masuk dua tahun dia di sini,” ujar Puan Julia.  

“Saya pun rasa macam tu. Masa tu Mukhris cakap untuk  2, 3 bulan aje bila kita cakap kerja ni tak sesuai dengan dia. Tapi dia suka dengan kerja ni. Dia cakap kalau kerja baru tu betul-betul berbaloi, barulah dia nak berhenti kerja,” balas Encik Syazlan. 

Puan Julia tersenyum mendengarnya. Memang benar kata suaminya. Mukhris benar-benar menyukai kerja di ladang. Kerja menggembur tanah, menanam sayur, menabur baja dan memetik sayur-sayuran tidak menjadi masalah bagi Mukhris. Dia juga tidak kekok menguruskan kolam ikan dan udang.

“Ayah, ibu!” Terdengar suara Safia memanggil dari jauh.

Hampir serentak Encik Syazlan dan Puan Julia menoleh.

“Dari mana ni sampai sekarang baru sampai? Buat ibu risau aje.”

“Maaflah sebab buat ibu risau. Safia singgah di rumah Tok Ketua tadi,” jawab Safia.

Puan Julia berasa lega mendengar jawapan itu. Mujurlah tiada perkara buruk yang berlaku pada Safia. 


“Patutlah kamu lambat hari ni. Ini mesti jumpa dengan Midah.”

Safia tersengih. “Safia nak singgah sekejap aje. Tak sangka lama pula di sana.”

“Ibu risau bila Safia tak sampai-sampai sebab pagi tadi Safia keluar awal. Lain kali kalau nak singgah ke mana-mana, beritahulah ibu dulu. Kalau tak pun singgah sekejap aje jangan lama-lama,” pesan Puan Julia.

“Baik, ibu,” balas Safia.

Puan Julia menghela nafasnya. “Tok Ketua dan Nek Uda sihat ke?”

“Tok Ketua dan Nek Uda sihat. Masing-masing sedang sibuk masa Safia datang,” jawab Safia seraya membantu mereka memetik sayur.

“Syukurlah mereka berdua sihat. Dah lama ibu tak jenguk mereka,” ujar Puan Julia.

“Petang ni kita pergilah melawat mereka,” ujar Encik Syazlan.

Puan Julia tersenyum mendengarnya. 

Sebaik selesai memetik sayur, Aman dan Jumali mengangkat bakul yang sudah penuh menuju ke bangsal. Mek Mah juga sudah selesai mengangkat sayur-sayuran yang dipetik. 

Mereka menyusun dan menimbang sayuran mengikut pesanan yang diterima. Senarai pesanan di whiteboard untuk hari itu ditanda sebagai bukti disiapkan dengan sempurna. Setelah kerja selesai, Safia menghampiri Mukhris yang sedang sibuk menangguk udang.

“Tak payahlah bantu abang. Abang mampu buat sendiri,” tegah Mukhris apabila melihat Safia ingin membantunya.

“Alah, bagilah Safia tolong. Safia pun nak buat juga.”

Mukhris tersenyum melihat Safia bersungguh-sungguh hendak membantunya. Tak padan dengan badan kecil. Semua kerja nak dibuat sendiri.

Puan Julia membahagikan baki sayur untuk Mek Mah, Mukhris, Aman dan Jumali. Kemudian dimasukkan ke dalam plastik tersedia.  

“Ini untuk Mek Mah bawa balik,” ujar Puan Julia.

Mek Mah tersenyum. “Terima kasihlah, Lia.” 

“Sama-sama. Dah masuk tengah hari ni. Mek Mah baliklah dulu. Petang nanti baru datang semula,” balas Puan Julia.

“Baiklah kalau begitu. Mek Mah balik dulu.” Wanita itu meminta diri. Setelah mengambil barangnya, dia terus mendapatkan motosikal sebelum berlalu pergi.

Puan Julia mengukir senyuman. Seketika kemudian senyumannya mati apabila melihat Safia dan Mukhris datang ke arahnya dalam keadaan basah lencun. Encik Syazlan menggeleng kepala apabila melihat mereka kelihatan ceria walaupun berkeadaan begitu. 

“Kenapa sampai basah macam ni?” soal Puan Julia.

Safia tersenyum. “Safia terjatuh masa tengah tangguk udang.”

Puan Julia terkejut mendengarnya. “Ya ALLAH, macam mana boleh jatuh?”

“Seronok sangat tengok udang melompat sampai tak perasan kaki dah betul-betul kat tebing kolam,” ujar Safia.

Safia ada luka kat mana-mana tak?” Puan Julia bertanya lagi.

Gadis itu menggeleng perlahan.

Puan Julia menghela nafas lega. “Mujurlah tak apa-apa. Lain kali berhati-hatilah sikit. Muncung udang tu tajam. Bahaya kalau terkena mata.”

“Baik, ibu. Lain kali Safia akan berhati-hati,” balas Safia.

“Jangan cakap aje, Safia. Kena ingat baik-baik. Kasihan Abang Mukhris kamu basah lencun sebab nak selamatkan kamu.”

Mukhris memandang Safia sambil menahan ketawa.

Safia tersengih nakal. “Abang Mukhris basah lencun bukan sebab selamatkan Safia. Safia tarik baju dia masa nak jatuh tadi. Sebab tu dia pun basah lencun.”

“Ada-ada aje kamu ni,” keluh Encik Syazlan.

“Dah, pergi balik salin baju tu,” arah Puan Julia.

Safia hanya akur. Tatkala dia berlaku, Encik Syazlan dan Puan Julia perasan ada dua ekor udang tersangkut di belakang tudung Safia membuatkan mereka berdua tidak dapat menahan ketawa.