Popular Posts

Thursday 30 October 2014

Manuskrip Ke 5: Aku Lebih Kenal Dia

Bunyi telefon bimbit yang kedengaran dari tadi mengganggu tidur Alia.  Rasa hendak dicampak sahaja telefon bimbit itu agar tidak berbunyi lagi. Sudahlah dia berasa teramat penat kerana baru sahaja pulang dari outstation, telefon bimbit itu pula asyik menganggu tidurnya. Bagilah ruang untuk dia berehat sekejap. Tak sporting langsung.

Deringan berbunyi lagi. Dalam keadaan mata yang masih terpejam rapat, dia mengambil bantal lalu menutup telinga. Tapi bantal itu tidak mampu menapis bunyi telefon bimbit itu. Kali ini dia terasa hendak membuang ke dalam laut. Biar menjadi mainan ikan. Tak pun, boleh menjadi tukun untuk terumbu karang.

Alia menguap panjang sebelum membuka kelopak matanya. Lemah sahaja tangannya tatkala mencapai telefon bimbit yang berada di sisi katil. “Kenapalah kau ni gedik sangat asyik berbunyi dari tadi? Aku nak tidur pun tak senang,” rungut Alia.

Keluhan panjang kedengaran dari bibirnya apabila melihat panggilan itu daripada Aryan. Alia terasa hendak mencekik sahaja batang leher lelaki itu kerana mengganggu waktu tidurnya. Bukannya lelaki itu tidak tahu dia telah melarang dari menelefon sebelum pukul 10.00 pagi. Dia mahukan rehat secukupnya.

“Assalamualaikum Cik Alia senget. Tengah buat apa tu? Sihat ke?” Suara Aryan kedengaran di hujung talian.

Berderau darah Alia mendengar perkataan ‘senget’ itu. Suka hati Aryan sahaja hendak memanggilnya senget. Dia ingat dia tu hensem sangat? Macam beruang adalah.

“Waalaikumussalam... Ada apa hal call ni, Encik Sengal? Kat sini tak ada jual ubat gatal,” balas Alia dengan nada geram.

Aryan membalas dengan ketawa. Semakin lama semakin rancak. Dia berasa seronok dapat mengusik Alia.

Alia mengetap giginya. Ingat aku ni main-main agaknya. “Gelakkan orang pulak. Ada apa ni telefon orang?”

“Jom kita keluar,” pelawa Aryan.

Alia mendengus keras. “Eh, buat apa keluar dengan kau? Tak naklah!” 

“Oh, sampai hati ya tolak pelawaan abang sendiri,” ujar Aryan dengan nada kecewa.

“Eleh, abang konon. Celah mana awak tu abang saya? Awak tu lahir dua minit aje lebih awal dari saya. Dua minit okey,” balas Alia.

At least dua minit lebih awal. Kau ada?” balas Aryan enggan mengalah.

“Mestilah ada. Kalau aku tak ada, kau tengah cakap dengan siapa?”

Spontan Aryan menelan air liur. Perkataan tak ada itu membuatkan jiwanya bagaikan disentap. Janganlah diambil Alia daripadanya. Walaupun perangai Alia seperti harimau tercekik tulang, tidak mampu hidup tanpa adik kembarnya itu.

“Janganlah marah. Dah lama aku tak jumpa kau. Jomlah keluar sekejap.” Aryan cuba memujuk. Suaranya sengaja dilunakkan persis anak gadis memujuk teman lelakinya.

“Hisy, tak payahlah buat suara macam tu. Gelilah aku dengar. Macam adik-adik tahu tak?” rungut Alia.

“Cakap aku macam tu, aku betul-betul jadi adik-adik, kau nak?” balas Aryan. Geram betul rasanya apabila mendengar perkataan ‘adik-adik’. Hensem dan maskulin macam ni hendak disamakan dengan golongan lelaki lembut. Alia dah hilang akal agaknya.

Tercuit hati Alia mendengar rungutan Aryan. Tak sanggup rasanya melihat Aryan bersikap seperti lelaki lembut. Jika sebagai lelaki maskulin pun sudah cukup memeningkan kepalanya, inikan pula jika dia menjadi lelaki lembut.

“Okeylah, aku minta maaf. Pukul berapa nak keluar ni?” Alia benar-benar sudah mengalah.

“Pukul 10.30 ni. Aku jemput. Aku pun dah masuk kereta, nak on the way pun ni,” jawab Aryan.

Terbeliak mata Alia mendengar jawapan lelaki itu. Spontan matanya tertumpu pada jam dinding. Sakarang pukul 9.45 pagi. Jarak antara rumahnya dengan rumah Aryan hanya 15 minit sahaja. Bukan 45 minit.

“Agak-agaklah Labu. Kau ingat aku ni Superman ke boleh tukar sekelip mata?” rungut Alia.

“Kau membebel macam tu lagi lambat kau siap. Dah, pergi siap sekarang. Kalau lambat aku tinggal,” balas Aryan sebelum mengakhiri perbualan.

Terkejut Alia apabila lelaki itu terus mematikan talian. Dia yang sibuk ajak aku keluar, dia boleh pulak ugut nak tinggalkan aku. Aryan memang sudah sewel agaknya!

bersambung... 


No comments:

Post a Comment