Bunyi telefon bimbit
yang kedengaran dari tadi mengganggu tidur Alia. Rasa hendak dicampak sahaja telefon bimbit
itu agar tidak berbunyi lagi. Sudahlah dia berasa teramat penat kerana baru
sahaja pulang dari outstation,
telefon bimbit itu pula asyik menganggu tidurnya. Bagilah ruang untuk dia
berehat sekejap. Tak sporting
langsung.
Deringan berbunyi
lagi. Dalam keadaan mata yang masih terpejam rapat, dia mengambil bantal lalu
menutup telinga. Tapi bantal itu tidak mampu menapis bunyi telefon bimbit itu.
Kali ini dia terasa hendak membuang ke dalam laut. Biar menjadi mainan ikan.
Tak pun, boleh menjadi tukun untuk terumbu karang.
Alia menguap panjang
sebelum membuka kelopak matanya. Lemah sahaja tangannya tatkala mencapai
telefon bimbit yang berada di sisi katil. “Kenapalah kau ni gedik sangat asyik
berbunyi dari tadi? Aku nak tidur pun tak senang,” rungut Alia.
Keluhan panjang
kedengaran dari bibirnya apabila melihat panggilan itu daripada Aryan. Alia
terasa hendak mencekik sahaja batang leher lelaki itu kerana mengganggu waktu
tidurnya. Bukannya lelaki itu tidak tahu dia telah melarang dari menelefon
sebelum pukul 10.00 pagi. Dia mahukan rehat secukupnya.
“Assalamualaikum Cik
Alia senget. Tengah buat apa tu? Sihat ke?” Suara Aryan kedengaran di hujung
talian.
Berderau darah Alia
mendengar perkataan ‘senget’ itu. Suka hati Aryan sahaja hendak memanggilnya
senget. Dia ingat dia tu hensem sangat? Macam beruang adalah.
“Waalaikumussalam...
Ada apa hal call ni, Encik Sengal?
Kat sini tak ada jual ubat gatal,” balas Alia dengan nada geram.
Aryan membalas dengan
ketawa. Semakin lama semakin rancak. Dia berasa seronok dapat mengusik Alia.
Alia mengetap
giginya. Ingat aku ni main-main agaknya. “Gelakkan orang pulak. Ada apa ni
telefon orang?”
“Jom kita keluar,”
pelawa Aryan.
Alia mendengus keras.
“Eh, buat apa keluar dengan kau? Tak naklah!”
“Oh, sampai hati ya
tolak pelawaan abang sendiri,” ujar Aryan dengan nada kecewa.
“Eleh, abang konon.
Celah mana awak tu abang saya? Awak tu lahir dua minit aje lebih awal dari
saya. Dua minit okey,” balas Alia.
“At least dua minit lebih awal. Kau ada?” balas Aryan enggan
mengalah.
“Mestilah ada. Kalau
aku tak ada, kau tengah cakap dengan siapa?”
Spontan Aryan menelan
air liur. Perkataan tak ada itu membuatkan jiwanya bagaikan disentap. Janganlah
diambil Alia daripadanya. Walaupun perangai Alia seperti harimau tercekik
tulang, tidak mampu hidup tanpa adik kembarnya itu.
“Janganlah marah. Dah
lama aku tak jumpa kau. Jomlah keluar sekejap.” Aryan cuba memujuk. Suaranya
sengaja dilunakkan persis anak gadis memujuk teman lelakinya.
“Hisy, tak payahlah
buat suara macam tu. Gelilah aku dengar. Macam adik-adik tahu tak?” rungut
Alia.
“Cakap aku macam tu,
aku betul-betul jadi adik-adik, kau nak?” balas Aryan. Geram betul rasanya
apabila mendengar perkataan ‘adik-adik’. Hensem dan maskulin macam ni hendak
disamakan dengan golongan lelaki lembut. Alia dah hilang akal agaknya.
Tercuit hati Alia
mendengar rungutan Aryan. Tak sanggup rasanya melihat Aryan bersikap seperti
lelaki lembut. Jika sebagai lelaki maskulin pun sudah cukup memeningkan
kepalanya, inikan pula jika dia menjadi lelaki lembut.
“Okeylah, aku minta
maaf. Pukul berapa nak keluar ni?” Alia benar-benar sudah mengalah.
“Pukul 10.30 ni. Aku
jemput. Aku pun dah masuk kereta, nak on
the way pun ni,” jawab Aryan.
Terbeliak mata Alia
mendengar jawapan lelaki itu. Spontan matanya tertumpu pada jam dinding.
Sakarang pukul 9.45 pagi. Jarak antara rumahnya dengan rumah Aryan hanya 15
minit sahaja. Bukan 45 minit.
“Agak-agaklah Labu.
Kau ingat aku ni Superman ke boleh tukar sekelip mata?” rungut Alia.
“Kau membebel macam
tu lagi lambat kau siap. Dah, pergi siap sekarang. Kalau lambat aku tinggal,”
balas Aryan sebelum mengakhiri perbualan.
Terkejut Alia apabila
lelaki itu terus mematikan talian. Dia yang sibuk ajak aku keluar, dia boleh
pulak ugut nak tinggalkan aku. Aryan memang sudah sewel agaknya!
bersambung...
No comments:
Post a Comment