Popular Posts

Thursday 10 March 2011

Novel 1 - Jika Kau Tiada (Bab 1-4)

1

JAM sudah menunjukkan pukul 11.50 pagi. Shakira sedang menunggu kedatangan Jimmy di hadapan pintu masuk Sunway Pyramid. Cuaca memang panas hari itu. Sudah dua botol air mineral dia sisip buat penghilang dahaga. Namun, lelaki itu masih belum muncul. Telefon bimbitnya pula dimatikan.
Peluh mula merenik di dahi. Shakira mengesat dengan tisu yang ada. Belakang badan yang mula basah membuatkan dia rasa rimas. Sedang dia mundar-mandir dek kerana kebosanan, terdengar suara memanggil namanya.
Shakira menoleh. Jimmy kelihatan sedang berdiri di belakangnya. Dalam sekelip mata, lelaki itu merapatkan dirinya. Senyuman terukir di bibirnya. Namun, senyuman itu tidak dapat memujuk hati Shakira yang sedang marah.
Sorry lambat,” ujar Jimmy.
“Eh, lambat ke? Sekarang baru pukul berapa,” sindir Shakira sambil mengerling sekilas jam di tangannya.
Jimmy tersenyum lagi.
“You marah I?”
Shakira hanya diam.
“I siapkan kerja malam tadi. Lepas subuh baru dapat tidur. Sebab tu I lambat. Sorry ya?”
“Kenapa tak call I awal-awal? Sekurang-kurangnya I tahu you ada banyak kerja. Kenapa offkan handphone?” soal Shakira bertubi-tubi.
“Bateri habis. Lupa nak charge,” jelas Jimmy.
“Telefon rumah takkan habis bateri kot.” Shakira masih tidak puas hati.
“I... err…” Kata-kata Jimmy terhenti apabila gadis itu merenung tajam ke arahnya.
Jimmy menunduk. Tidak berani memandangnya.
Shakira mula mengesyaki sesuatu. “You lupa kita date hari ni, kan?” Dia meneka.
Jimmy mengangguk perlahan. Mengaku juga dia akhirnya.
Gadis itu mendengus marah. “Dahlah datang lambat. Menipu pulak tu. Eee…geramnya!”
“I bukannya sengaja. I tak nak you marah.”
 Shakira menarik nafas panjang. Menahan sabar.
“Janganlah marah, Kiera. Tak nak beri I peluang?”
Jimmy menghulurkan tangan. Sengaja ingin menduga reaksi Shakira. Namun, gadis itu hanya mematungkan diri. Merajuk dengan sikap lelaki itu. Hatinya mengomel geram.
“Kiera?”
Shakira diam.
“Tak nak denda I sikit? Kan I buat you marah,” pujuk Jimmy lagi.
Shakira terus membisu.
Jimmy terus menghulurkan tangannya.
“Janganlah marah macam ni. I’m really sorry.”
Shakira memandangnya.
“I nak you belanja makan sushi hari ni,” ujar Shakira.
Jimmy nampak senang hati dengan reaksinya.
“Okey,” balasnya.
Shakira meletakkan jari-jemarinya di atas telapak tangan Jimmy. Jimmy menggenggam kemas. Mereka saling tersenyum dan terus memasuki pusat membeli-belah itu.
“Jimmy, you jangan datang lambat lagi tau.”
Lelaki itu mengangguk-angguk laju.
“Jangan mengangguk aje. I nak you janji betul-betul.”
“Baiklah. I janji akan selalu datang lambat lagi, okey?” ujar Jimmy selamba.
Gadis itu menghadiahkan satu cubitan di lengannya. Jimmy mengekek ketawa. Jelas menunjukkan rasa hatinya yang riang. Mereka terus ke kaunter membuat pembayaran. Setelah memakaikan jaket, Jimmy menyarungkan kasut luncur di kaki Shakira. Itulah rutinnya apabila mereka ke situ.
Mereka mula bermain di gelanggang. Suhu di gelanggang memang sejuk. Pelbagai gelagat pengunjung yang datang. Hati Shakira rasa benar-benar gembira kerana sudah lama tidak datang ke situ. Dia memulakan langkah mengelilingi gelanggang ais itu. Jimmy mengejarnya dari belakang.
“Kiera, janganlah laju sangat.”
Shakira ketawa melihat Jimmy terkial-kial mengejar dari arah belakang. Shakira memanjangkan langkah tanpa mempedulikan jeritan itu.
“Cepatlah sikit, Keluang Man,” usik Shakira.
“Hei, jangan panggil I macam tu! I tak suka!” jerit Jimmy.
Shakira hanya ketawa.
“Cepat, cepat, cepat! Keluang Man kan hero. Mana boleh lembap-lembap macam ni,” usik gadis itu lagi.
Jimmy menarik muka masam. Namun, masih mengejar Shakira. Rasa ingin dicubit-cubit sahaja pipi gebu gadis itu.
“Cepat terbang, Keluang Man!”
Jimmy mengetap bibir menahan geram. Agak lama mereka berkejaran. Gadis itu semakin pantas. Setelah penat, barulah dia berehat sebentar di suatu sudut.
Jimmy mendekati Shakira. “Penat?”
Gadis itu mengangguk. Nafasnya cuba dikawal.
Jimmy menyindir. “Eh, laju aje tadi. Takkan dah semput?”
Shakira menjeling ke arahnya.
Teddy bear, kalau you kalah, you kena belanja I selama sebulan,” ujar Jimmy sebelum berlalu.
Shakira hampir ternganga. “Apa?”
“Kiera si teddy bear, Kiera si teddy bear.” Jimmy mula mengejek. Shakira kembali memulakan langkah.
“Beruang kutub mana boleh kejar laju-laju. Dia kan gemuk. Nanti perut dia tertinggal pulak kat belakang,” usik Jimmy sambil ketawa berdekah-dekah.
“Jimmy!” marah Shakira.
Jimmy tetap mengejeknya. “Are you sleeping, are you sleeping. Brother bear, brother bear.
“Jimmy!”
Shakira melajukan langkah. Apabila dia dapat mencapai lengan Jimmy, dia mencubit sekuat hati. Jimmy menjerit kesakitan.
“Jimmy budak jahat!” jerit Shakira.
“Oh, you buli I tak apa,” ujar Jimmy tidak puas hati.
“Eh, you kan dah tua. I orang muda. Mana boleh samakan you dengan I,” balas Shakira tidak mahu mengalah.
“Eee… Beruang gemuk gedempol, perut buncit. Makan sampai pinggan berderet!” sakat Jimmy.
“Eleh… Keluang Man dahlah kurus kering, tak pandai terbang pulak tu!” balas Shakira tidak mahu mengalah.
“Eh, dia kurus macho apa? Dia bukan tak pandai terbang. Cuma tak nak berlanggar dengan Superman. Bukan macam beruang kutub tu. Gemuk, jalan terkedek-kedek. Itu pun ada hati nak masuk iklan. Apa tu… hah, ubat gigi Fresh and White! Padahal gosok gigi pun tak.” Semakin galak usikan Jimmy berselang-seli dengan deraian ketawa. 
Shakira mendengus marah.
“Marahlah. Nanti I peluk baru tahu!” usik Jimmy lagi.
Mata Shakira membulat. Jimmy sudah tersenyum nakal.
“Tolong, ada orang jahat! Pembuli,” jerit Shakira lantang.
Jimmy menakup mulut Shakira dengan tapak tangannya.
“Jangan jerit kuat-kuat. Nanti orang ingat I buat benda tak elok kat you pulak.”
Shakira menarik tangan Jimmy. “Biarlah dia orang anggap macam tu. Nanti dia orang kejar you. Baru padan muka!”
Please…” Jimmy separuh merayu.
“Jangan panggil I teddy bear atau beruang lagi,” tegas gadis kecil molek itu.
Jimmy tersenyum nakal.
“Kenapa pulak? Kan comel panggilan tu.”
Shakira mengetap bibir. “You nak cuba ke?”
“You serius?”
Shakira mengangguk. Dia kelihatan bersungguh-sungguh mengutarakan cabaran.
Jimmy pula yang mengetap bibir.
“Alah, rilekslah. Takkan dengan I pun nak berkira.”
Shakira merenungnya dengan perasaan tidak mahu mengalah. Dia tidak mahu Jimmy membulinya lagi.
Jimmy mula rasa serba tak kena.
“Okeylah, I mengalah. You menang,” ujar Jimmy perlahan.
Tawa yang Shakira cuba tahan terburai akhirnya.
Jimmy terpinga-pinga. Apa kena dengan si beruang ni?
“Takkanlah I sanggup buat macam tu. Nanti mereka hantar you ke balai, I jugak yang susah.”
Mata Jimmy sudah terbeliak.
“You sengaja kenakan I ya.”
Shakira hanya ketawa.
Jimmy mendengus keras. “Geramnya!”
Setelah kemarahan Jimmy reda, Shakira mengajak buah hatinya menari. Dia ingin memujuk lelaki itu. Mereka mengikut rentak lagu berkumandang. Menghayun langkah seperti dunia ini hanya milik mereka berdua.
Sedang dilamun asyik, baru tersedar diri mereka menjadi perhatian. Gerakan mereka terhenti. Gadis itu bukan kepalang rasa malu apabila terdengar bunyi tepukan tangan.
“Eh, tak sangka I ada ramai peminat. Sukanya. Terima kasih peminat-peminatku. Sokongan anda semua amat saya hargai,” laung Jimmy sambil melambai tangan.
Hampir tercabut jantung Shakira mendengar kata-kata spontan lelaki itu. Malu rasanya mahu mengaku itu teman lelakinya. Tanpa membuang masa, dia menyeret tangan Jimmy berlalu dari situ.
Ketika naik ke tingkat atas, semua tempat duduk di Sushi King telah penuh. Keduanya tidak sanggup menunggu giliran kerana perut sudah berirama keroncong. Akhirnya, mereka memilih untuk makan di KFC.
Jimmy memilih set ayam goreng, burger dan air Milo. Shakira juga memilih set yang sama. Kemudian menambah nugget, desert dan kentang goreng bersaiz besar. Lagaknya seperti tidak makan tiga hari.
Ketika hendak membuat pembayaran, Jimmy meraba-raba poketnya. Wajahnya berkerut.
“Kenapa?” soal Shakira.
Wallet I tak ada,” jawabnya.
“You dah cari betul-betul ke? Entah-entah you tersilap letak,” balas Shakira.
“I dah cari. Tapi tak ada.”
Jimmy meraba-raba poketnya yang lain pula. Mana pulak aku letak ni? Tadi ada aje kat sini.
“Kenapa, encik?” celah juruwang di kaunter.
Shakira menggeleng. Kemudian menghulurkan sekeping not lima puluh ringgit kepada juruwang tersebut.
Setelah mengambil baki, mereka mengambil tempat yang agak tersorok.
“I tak tahu wallet I hilang kat mana. Tadi rasanya ada kat dalam poket,” ujar Jimmy ketika melabuhkan tubuh di atas kerusi.
Shakira menjamah burger sambil memandangnya.
“Mungkin you tertinggal kat kereta atau kat rumah.”
Jimmy mengeluh panjang. “Entahlah.”
“Makanlah dulu. Nanti I tolong you cari wallet you tu, ya?” Shakira berdiplomasi.
Jimmy masih mencuka. Lambat-lambat dia menjamah hidangannya setelah Shakira memaksa.
“Cuti semester you nak buat apa?” soal Jimmy. Dia menyisip air minuman di hadapannya.
“Entahlah. I tak tahu nak buat apa.”
Shakira masih belum ada rancangan untuk menghabiskan cuti semester kali ini. Awal-awal lagi Fatimah dan Najihah pergi menyertai sukarelawan Mercy Malaysia membantu mangsa-mangsa tanah runtuh. Joanne membantu bapanya di restoran. Irma Ardilla pula sibuk dengan kajian tumbuhan.
“Eh, tak sertai Mercy ke?”
Shakira mengangguk.
“Kali ni mak long dan pak long tak kasi. Sebab tu I tak pergi,” jawabnya perlahan.
So?”
So, I akan selalu ulang-alik ke Rumah Harmoni untuk mengajar budak-budak membaca dan melukis.”
Esok dia merancang untuk menziarah Rumah Harmoni Puan Zainab. Sudah lama rasanya tidak berjumpa dengan anak-anak yatim di situ.
“Selebihnya I cuma duduk kat rumah.”
“Nak berehat ke nak menggemukkan badan, teddy bear?”
Shakira menjeling. Rasa tidak suka dengan panggilan itu. Dia menjungkitkan keningnya, mengejek.
Teddy bear tu kan sama aje dengan beruang. Badan gemuk, perut buncit, pipi tembam. Kenapa kurus sangat ni? Beruang, you diet ya,” usik Jimmy lagi.
“Jimmy!” marah Shakira.
Jimmy ketawa. Suka benar dia.
“Suka betul ejek orang. Dia tu lagilah, eee!”
“Apa e, e? Ingat kelas tadika ke?” balas Jimmy.
Shakira mengetap bibir menahan rasa geram.
“You cakap I ni Keluang Man, kan? Maknanya, I ni herolah. Dahlah macho, baik pulak tu. Bukan macam you. Mana ada beruang pernah jadi hero. Jaguh boroi adalah,” ujar Jimmy sebelum ketawa. Ketika kecil dulu Jimmy memang ingin menjadi hero seperti Keluang Man.
Macho, macho pun kena masuk wad sakit jiwa,” ujar Shakira dengan nada perlahan.
“Sakit jiwa, sakit jiwa pun bakal suami awak jugak!” ujar Jimmy sambil ketawa lantang.
Shakira menarik muka masam. Rasanya hendak di smackdown sahaja lelaki itu saat ini.
“Nasiblah, teddy bear... sebab bakal jadi isteri Keluang Man. Nanti lepas kahwin habislah kena buli.”
Shakira mendengus. Malas hendak melayan kerenah Jimmy. Dia menghabiskan burger yang masih tertinggal separuh. Kemudian menjamah kentang putar.
“Hei, tengok tu!”
Shakira mendongak.
“Tengok apa?” Shakira terpinga-pinga.
“Tengok beruang kutub merajuklah.” Jimmy ketawa lagi. Kali ini lebih kuat sehingga pelanggan di sebelah menoleh.
Shakira mengetap bibir. Geram betul dengan Jimmy. Lantas dia mengambil ayam goreng dari pinggan Jmmy dan dia ratah rakus. Jimmy melopong memandang gadis itu. Biar dia rasa!
“Hah, ayam gorengku… beruang makan ayam gorengku.” Jimmy bersuara sedih.
“Lupa ke, Keluang Man? Beruang memang makan banyak,” perli Shakira dengan geram.
Jimmy masam mencuka. Gadis itu tersenyum puas sambil meletakkan tulang ke dalam pinggannya. Kemudian dia mengambil ayam gorengnya seketul lagi.
“Memang makan banyak sampai makan ayam goreng orang. Tinggalkan tulang aje pulak tu. Tak patut betul.”
“Ayam orang apa? Orang utan?” usik Shakira.
Wajah Jimmy mencuka.
“Nahlah, I ganti balik ayam goreng you,” ujar Shakira sambil menolak pinggannya ke arah Jimmy. Dia kasihan melihat lelaki itu yang hanya menikmati burger.
“You makanlah. Nanti I order lagi,” balas Jimmy bersahaja.
Shakira terus memandangnya. Ketika itu baru Jimmy menyedari sesuatu.
“Lupa pulak wallet I hilang,” keluh Jimmy. Kemudian dia menghela nafas panjang.
Ketika Jimmy leka menyisip minumannya, Shakira mengeluarkan sesuatu daripada poketnya dan meletakkan di hadapannya. Mata Jimmy membulat.
“Mana you jumpa?” soal Jimmy benar-benar terkejut.
Shakira tersenyum nakal.
“You yang ambil ya!”
Spontan Shakira mengangguk. Jimmy mengetap bibir.
“Apa lagi yang you ambil dari I?”
Shakira kembali menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan lagi apa yang ada.
Jimmy tercengang. “Handphone? Kunci kereta?”
“Denda untuk you.”
Kali ini kedua belah pipi Shakira menerima balasannya. Tapi cubitan kali ini tidak sekuat mana. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia mencubit gadis itu sehingga lebam. Tapi rasa sayang melebihi segalanya.
“Nakalnya!”
Shakira ketawa meraikan kemenangan.
“Hah… bil tadi pun pakai duit you.”
“Tapi makan bahagian I pulak. Buatlah perangai nakal lagi. I tak nak bawa you pergi makan sushi kat hotel malam ni.”
Kali ini Shakira pula yang melopong.
“Makan sushi? Kenapa tak cakap awal-awal?”
“Siapa nak bawa Shakira Ilyana makan sushi? Baik bawak Tiung Man.” Seperti orang merajuk sahaja bunyinya.
Jimmy sengaja menyebut nama kawan rapat Keluang Man dalam siri kartun tersebut. Shakira mendiam diri.
“Cepat habiskan makanan you,” tegas Jimmy.
Melihat nada suara Jimmy yang berubah, Shakira cepat-cepat menghabiskan hidangannya. Tidak sampai lima minit, dia ke sinki membasuh tangan. Apabila dia kembali ke meja, Jimmy sudah bangun dari kerusinya.
“Jom I hantar you balik,” ujar Jimmy.
Jimmy mencapai tangannya. Tanpa banyak soal, Shakira hanya menurut jejak langkah Jimmy.
Sepanjang perjalanan, masing-masing hanya menyepikan diri. Jimmy seperti tiada mood untuk berbual. Shakira ditimpa rasa bersalah. Dia sedar kelakuannya tadi mengguris hati lelaki itu.
“Jimmy, I minta maaf. I janji takkan buat macam tu lagi,” ujar Shakira. Dia bimbang Jimmy terus-terusan memarahinya.
 Jimmy masih membisu. Ketika berhenti di lampu isyarat barulah dia memandang gadis itu.
“Dah menyesallah ni?”
Shakira mengangguk perlahan. “I rasa bersalah bila you diam macam ni. I minta maaf ya. Lepas ni I janji tak buat lagi.”
Jimmy mengeluh panjang.
“Lain kali jangan buat perangai yang bukan-bukan lagi, okey,” ujarnya perlahan.
Shakira mengangguk lagi. Senyuman terukir di bibirnya.
“Balik ni berehat sekejap. Lepas tu mandi, pakai baju cantik-cantik. Nanti pukul 8.30 I ambil you di rumah.”
Dahi Shakira berkerut. “Kita nak ke mana?”
Jimmy memandang ke arahnya.
Dinner kat luar. Makan sushi yang you nak tu,” ujar Jimmy sambil tersenyum.
Hati Shakira serta-merta berbunga riang. Keriangan itu berterusan sehingga sampai di rumahnya.


2
Shakira bersandar di sofa sambil membaca majalah. Nisa yang sejak tadi menghadap komputer datang menghampirinya. Sebuah buku nota berada di ta-ngan gadis itu.
“Isu apa yang best kali ni, kak?” soal Nisa.
Shakira menunjukkan sebuah artikel. Shakira yakin Nisa pasti berminat. Mata Nisa membuntang memandang artikel itu.
“Wah, Brad Pitt!” Dia separuh menjerit. Majalah itu sudah bertukar ke tangannya.
“Mula tak tentu arahlah tu,” kutuk Shakira.
“Tentulah. Oh, my handsome Brad Pitt…”
Shakira ingin ketawa melihat Nisa mengusap gambar bintang pujaannya itu.
“Eii, poyonya!” ejek Shakira.
Nisa hanya ketawa. Shakira mencapai tin minuman di hadapannya.
“Sabtu lepas pergi mana?” soal Nisa.
“Main ice skating.”
“Takkan main ice skating sampai subuh kot.”
Shakira tersedak mendengar kata-kata gadis itu. Bagaimana dia tahu?
Something happen, ya?” duga Nisa.
“Eh, taklah. Sebenarnya kami pergi dinner malam tu. Lepas tu pergi jalan-jalan sekejap. Entah macam mana boleh tertidur dalam kereta. Sebab tu lepas subuh baru balik.”
Shakira mengenang peristiwa malam tu. Panorama di hadapan Tasik Putrajaya begitu indah pada waktu malam. Rasa tenang dan mendamaikan. Dia berpesan pada Jimmy supaya mengejutkan dia dari tidur kerana ingin melelapkan mata seketika. Jimmy hanya mengangguk. Shakira terus terlena. Sedar-sedar hari sudah pagi dan Jimmy begitu lena di sebelahnya.
“Tak buat apa-apa?” soal Nisa ragu-ragu.
“Tak adalah. Ingat kita orang ni jahat sangat ke?” soal Shakira sambil kembali menyandar di sofa.
Nisa ketawa. “Manalah tahu. Loving couple, kan? Betul ke akak dengan Abang Jimmy tak buat apa-apa?”
Shakira hanya menggeleng apabila Nisa berulang kali bertanya. Memang Jimmy tidak pernah mengambil kesempatan sepanjang mereka bersama. Itulah yang membuatkan gadis itu tambah menyayanginya.
“Boleh percaya ke ni?” duga Nisa lagi.
“Nisa tak percayakan akak, ya?”
Nisa tersenyum nakal. “Adalah rasa tak percaya sikit. Orang kata kalau loving couple tak balik rumah lepas dating, dia orang buat benda yang tak elok. Akak buat benda tak elok dengan Abang Jimmy ke?”
“Ada, sampai dapat surat cinta.”
Nisa termangu memandangnya. “Surat cinta.”
“Jimmy bawak laju, langgar traffic light. Dalam masa yang sama, dua-dua tak pakai tali pinggang keledar. Apa lagi, kita orang pun dapatlah surat saman hari tu.”
Nisa tersenyum.
“Kenapalah cuai sangat?”
“Takut terserempak dengan mak long dan pak long. Dia orang balik dari Kuantan pagi tu.”
“Itulah, tidur dalam kereta lagi. Akak dengan Abang Jimmy tu sama aje. Kat mana-mana pun boleh terlelap sampai boleh sesat ke Seremban,” usik Nisa.
Shakira menarik hidung adiknya.
“Itu cerita lamalah.”
Nisa ketawa. Dia sendiri tahu tentang kisah pasangan tersebut tertidur dalam komuter. Ketika itu mereka keletihan kerana bulan puasa. Tidur sahaja tak apa. Tapi, mereka terlajak sehingga perhentian terakhir. Sebaik tiba di rumah Datuk Amir, waktu berbuka sudah 15 minit berlalu. Keduanya seperti mangsa kebuluran sehingga berlari menyerbu ke meja makan. Tiga pinggan nasi mereka bedal. Semua ahli keluarga ketawa geli hati melihat gelagat mereka.
“Tak baik ungkit hal tu,” rungut Shakira.
“Kakak tu, setiap kali keluar dengan Abang Jimmy, ada aje yang tak kena. Akak kena pergi mandi bunga mataharilah lepas ni.”
“Kenapa bunga matahari?” soal Shakira.
“Mana tahu lepas ni tak malang lagi, bersinar-sinar aje.”
Shakira mengetap bibirnya. Sekali lagi dia terkena.

HAKIM berasa tidak sabar untuk bertemu dengan adik kesayangannya. Sebaik sahaja mamanya memberitahu Shakira pulang, dia terus naik ke bilik gadis itu.
“Panggilkan adik kamu makan sekali ya, Hakim. Dari tadi dia tak makan. Mama ada masak makanan kegemaran dia ni,” ujar Datin Radziah.
“Baik, mama. Hakim suruh dia turun sekarang.”
Terjengul wajah Shakira sebaik sahaja pintu diketuk. Hati Hakim melonjak riang.
“Assalamualaikum, Kiera.”
“Waalaikumussalam. Eh, abang!”
“Kiera bila balik?” soal Hakim sambil tersenyum.
“Pagi tadi,” ujar Shakira.
“Kiera apa khabar? Sihat?”
Shakira mengangguk. Hakim menghulurkan tangan untuk bersalaman. Shakira menyambut dan mencium tangannya. Hakim mengusap mesra ubun-ubun Shakira sambil tersenyum.
“Jom turun bawah. Semua orang dah tunggu kat meja makan,” ujar Hakim lembut.
Mereka menuruni anak tangga ke tingkat bawah. Datin Radziah, Datuk Amir, Aiman dan Nisa sudah menunggu di meja makan. Shakira mengambil tempat di sebelah mamanya.
Semasa makan malam, Datuk Amir dan Datin Radziah bertanya tentang perkembangan diri anak-anaknya dan masalah yang memerlukan perhatian mereka. Setelah berpuas hati, mereka bertanya tentang rancangan perkhemahan yang dirancang.
Riak wajah Hakim nyata terkejut. “Kiera dan Nisa nak pergi camping?
“Kamu tak tahu ke, Hakim?” soal Datin Radziah.
Hakim menggeleng. “Dia orang tak beritahu Hakim pun.”
“Bukannya jauh pun, bang. Kita orang camping dekat Hulu Langat aje,” ujar Shakira.
Hakim memandang ke arah Shakira. “Berapa hari Kiera dan Nisa kat sana?”
“Empat hari,” balas Shakira.
“Pergi dengan siapa?”
“Kita orang pergi dengan Jimmy, Irma, Joanne, Helmi dan Izwan.” Shakira menyebut nama teman-teman yang turut serta.
“Jimmy pergi sekali?” Hakim inginkan kepastian lagi.
Lambat-lambat Shakira mengangguk.
“Kiera, boleh tak kalau abang ikut sekali?” soal Hakim.
“Eee… tak malunya. Dah tua-tua pun nak ikut kita orang lagi. Abang pergilah dengan kawan-kawan abang,” rungut Nisa.
“Abang Hakim tu memang tak boleh berpisah dengan kau orang berdua. Sebab tu kau orang pergi shopping pun dia nak ikut,” sampuk Aiman.
Hakim tersengih. “Biarlah!” Kemudian dia memandang Shakira pula. “Kalau abang ikut tak salah, kan?”
“Kiera tak kisah. Tapi biasanya hujung minggu abang pergi gym atau keluar dengan kawan-kawan abang.”
“Sesekali tukar angin apa salahnya,” balas Hakim.
“Hah, elok pun kalau Hakim pergi sekali. Sekurang-kurangnya ayah dan mama tak adalah risaukan keselamatan anak dara ayah dua orang ni,” celah Datuk Amir sedikit ceria.
Shakira tidak berkata apa-apa apabila ayahnya sudah berkata begitu.
Suasana malam semakin gelap dan sunyi. Setelah tamat siaran Gol and Gincu, drama bersiri kegemarannya, Shakira duduk di anjung sendirian. Taman bunga mama yang dijaga rapi kelihatan cantik apabila disimbahi cahaya lampu. Air kolam yang beriak kecil menarik perhatiannya. Tanpa membuang masa, dia naik ke tingkat atas untuk mengambil pakaian renang dan tuala.
Setelah penat berenang, Shakira menyandar di sisi kolam. Sedang dia melelapkan mata, terdengar kocakan air yang kuat. Dia membuka mata. Kelihatan Hakim berenang menghampirinya.
“Kenapa berenang sorang-sorang malam-malam buta ni?” soal Hakim ketika berada di hadapannya. Hakim meraup wajahnya yang basah dengan sebelah tangan.
“Kiera dah lama tak berenang kat sini.”
“Nak berenang macam mana? Balik rumah pun jarang.”
“Nak buat macam mana? Kiera kan duduk kat hostel.”
“Pindah semula kat sinilah, Kiera. Nanti abang hantar Kiera ke kampus. Balik pun abang jemput.”
“Kiera tak nak menyusahkan abang.”
“Apa pulak menyusahkan? Kiera kan adik abang. Apa salahnya kalau pergi kelas dengan abang?”
Shakira mendongak ke langit sambil memikirkan hal tersebut. Sedang fikirannya melayang jauh, tiba-tiba terasa percikan air di wajahnya. Dia tersentak dari lamunan.
“Jauhnya termenung. Teringatkan Jimmy ke?” usik Aiman sambil memercikkan air di wajahnya. Lelaki itu turut berendam di dalam kolam.
Shakira hanya tersenyum.
“Kita orang selalu rindukan Kiera. Pindah semula kat rumah ni ya,” pujuk Hakim.
“Betul tu, Kiera. Kalau Kiera ada, kita orang taklah rasa sunyi sangat,” tambah Aiman.
“Nak sunyi apa pulak? Abang pun bukannya selalu ada kat sini. Next week dah balik US.”
“Memanglah abang selalu tak ada kat sini. Ada lagi setahun abang study kat sana. Tapi kalau Kiera pindah sini, tak adalah abang asyik menghadap si ulat buku tu.”
Shakira memandang tajam ke arahnya. “Tak baik tau cakap Nisa ulat buku. Kesian dia.”
“Eh, okey apa panggil ulat buku. Kalau kita orang panggil minah skema atau si nerd, lagi haru,” ujar Hakim pula.
Shakira tersenyum. “Nantilah Kiera fikirkan.”
“Tak payah fikirkan lagi. Semua orang kat rumah ni suka kalau Kiera pindah semula kat rumah ni. Mama dan ayah sendiri suruh kita orang pujuk Kiera. Kami sunyi kalau Kiera tak ada,” ujar Hakim.
Shakira menarik nafas panjang. “Kiera kena fikirkan tentang perasaan mak long dan pak long. Hanya Kiera aje yang mereka ada.”
Hakim menghela nafas panjang. “Abang lupa.”
“Nanti Kiera selalu balik sini, okey,” janji Shakira.
“Boleh percaya ke ni?” soal Hakim.
“Eh, mestilah.”
Mereka tersenyum.
“Kalau Kiera mungkir janji dalam setahun ni, apa yang Kiera nak bagi kat kita orang?” soal Aiman.
“Kena bagi hadiah ke?”
Spontan mereka mengangguk.
“Yup! Sama ada hadiah atau denda. Paling kurang Kiera boleh jadi tukang basuh kereta abang,” ujar Aiman.
“Tak pun jadi assistant abang kat ofis tu. Tapi disebabkan mungkir janji, freelah ya,” ujar Hakim sambil tersenyum.
“Wah, itu dah melampau! Macam jadi kuli aje.”
Mereka memercikkan air ke wajah Shakira. Seronok benar mereka mengenakannya.


3

SUKAR Shakira melelapkan mata biarpun jam sudah menunjukkan pukul 2.30 pagi. Mengiring ke kanan dan kiri semuanya serba tak kena. Akhirnya dia bersandar di kepala katil sambil memerhatikan jarum jam dinding yang berdetik.
Dia terkenang peristiwa lalu. Dia tinggal di rumah Datuk Amir sejak berusia enam tahun. Emak, abah, atuk dan neneknya sudah meninggal dunia. Mereka terbabit dalam kemalangan selepas menjemput Puan Normah, kakak kembar ibunya dari lapangan terbang. Di sebabkan mak longnya masih koma kerana mengalami cedera parah, Shakira dihantar ke Rumah Harmoni Puan Zainab untuk penjagaan sementara.
Di situlah dia bertemu dengan Datuk Amir Hamzah dan Datin Radziah. Ketika itu mereka ingin mengambil seorang anak angkat untuk menggantikan tempat Hanida, anak ketiga mereka yang meninggal dunia kerana leukemia.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Namun, mak longnya masih belum sedarkan diri. Doktor Johan yang merawat mak longnya mengatakan peluang untuk sembuh agak tipis. Shakira hanya mampu menangis kerana bakal kehilangan satu-satunya tempat bermanja.
Ketika itu keluarga Datuk Amir datang ke rumah anak yatim itu buat kali kedua. Mereka tertarik pada Shakira. Mereka mengajak anak kecil itu berbual dan bermain. Namun, Shakira hanya tenggelam dalam dunianya sendiri, melayani jiwanya yang kesunyian.
Takut benar Shakira apabila Puan Zainab memberitahu mereka ingin membawanya pulang ke rumah. Dia langsung tidak mengenali keluarga itu. Kononnya keluarga yang akan mengambilnya dari golongan orang berada dan berpendidikan tinggi. Masa depannya mungkin lebih cerah jika tinggal bersama mereka.
Walau apa juga alasan, Shakira tetap berasa berat hati untuk tinggal bersama mereka. Dia bukannya dambakan hidup mewah, memakai pakaian berjenama dan mempunyai permainan yang mahal. Arwah mak dan abahnya tidak mengajar dia begitu. Apa yang penting dalam hidupnya adalah kasih sayang yang tiada sempadan. Tapi semua itu telah hilang dari hidupnya. Mampukah mereka menggantikan kehilangan yang dia rasai?
Walaupun Shakira bersikap dingin, layanan yang diberikan padanya tetap istimewa. Dia tidak pernah dibiarkan bersendirian. Anak-anak mereka sering mengajaknya bermain dan membela apabila dia dibuli. Malah setiap malam, Datuk Amir dan Datin Radziah akan membacakan buku cerita kanak-kanak sebelum dia tidur. Disebabkan itu, lama-kelamaan dia mula menyayangi mereka dan dapat menerima mereka sebagai keluarganya.
Sejak berusia 16 tahun, dia membuat keputusan untuk tinggal di rumah peninggalan ibu bapanya. Rumah itu hanya 10 kilometer dari rumah Datuk Amir. Puan Normah pula telah berkahwin dengan Doktor Johan. Namun, masih belum dikurniakan cahaya mata. Pasangan itu tinggal bersama-samanya. Manakala rumah mereka di Seksyen 2, Shah Alam disewakan.
Gadis itu seronok mengenang peristiwa lama yang tersemat di fikiran. Dia menyayangi keluarga ini seperti keluarganya sendiri. Baginya kebahagiaan mereka adalah kebahagiaan dirinya juga.

DETIK waktu terus berlalu. Shakira masih gagal untuk melelapkan mata. Kedengaran daun pintu diketuk. Dalam sekelip mata wajah Datin Radziah terjengul di situ.
“Tak tidur lagi?” soal Datin Radziah.
“Masuklah, mama,” pelawa Shakira.
Datin Radziah melangkah masuk dan duduk di birai katil.
“Tak boleh tidur ya?”
Shakira mengangguk.
“Mungkin sebab dah lama tak tidur sini. Esok okeylah.”
Datin Radziah tersenyum.
“Minggu lepas mama beli kain ela kat butik kawan mama. Alang-alang Kiera tak tak boleh tidur, boleh pilih yang mana sesuai. Mama pergi ambil kejap ya,” ujarnya sebelum bangun.
Tidak lama kemudian, Datin Radziah kembali masuk ke dalam bilik sambil memegang sebuah beg kertas. Shakira hanya memerhati mamanya mengeluarkan beberapa pasang kain ela dan menghamparkan di atas katil. Ada lapan pasang semuanya.
“Semuanya cantik-cantik, mama,” puji Shakira.
Datin Radziah mengukir senyuman.
“Hari tu pun mama jadi rambang mata. Semuanya rasa nak beli. Kawan mama tu pulak bagi banyak diskaun. Itu yang mama angkut banyak-banyak. Kamu pilihlah yang mana berkenan.”
Shakira memilih sehelai kain berwarna merah jambu lembut. Bunganya berwarna putih dan merah. Coraknya benar-benar menarik hatinya.
“Satu aje?”
“Ini pun dah cukup, ma.”
“Pilihlah lagi dua, tiga pasang. Kain lace ni sesuai dengan kamu. Kalau buat kebaya nampak cantik. Boleh pakai masa hari raya nanti,” saran Datin Radziah.
Shakira memandang kain lace berwarna putih gading yang dimaksudkan. Sulamannya sangat menarik. Ditambah pula dengan taburan jemeki. Pasti harganya lebih mahal.
“Kain ni memang cantik tapi macam baju nikah aje, ma,” komen Shakira.
Datin Radziah ketawa.
“Eh, ya tak ya jugak. Kalau buat baju nikah kamu dengan Jimmy nanti apa salahnya,” usik wanita itu.
Terasa darah menyerbu ke wajah Shakira.
“Lambat lagilah, ma. Umur Kiera baru berapa. Belajar pun tak habis lagi,” balas Shakira.
“Kenapa tak diawalkan? Mama dan ayah on aje. Mak long dan pak long kamu pun pernah cakap mereka tak kisah. Lagi awal kamu kahwin, lagi cepatlah kami timang cucu.”
Shakira mengetap bibir. Ke situ pula fikiran mama.
“Hmm… tak sabar-sabar mama nak tunggu kamu kahwin. Bukan apa, anak perempuan kawan-kawan mama ramai yang dah kahwin. Mama jadi tumpang seronok. Bila lagi nak buat kenduri anak mama. Nisa tu lambat lagi.”
“Abang Hakim dan Abang Aiman kan ada.”
“Mereka tu anak lelaki. Taklah orang beria sangat buat persiapan. Kalau kenduri anak perempuan barulah meriah,” ujar Datin Radziah lagi.
Memang begitulah di mana-mana. Kenduri anak perempuan biasanya lebih meriah berbanding anak lelaki. Tetamunya juga selalunya lebih ramai.
“Mama ni ada-ada aje. Tadi sibuk nak tunjuk kain, sekarang sibuk pasal kahwin.”
Datin Radziah ketawa.
“Dah seronok cerita pasal kahwin sampai lupa niat mama nak tunjuk kain ni. Kain lace ni mama simpankan untuk kamu. Nanti kalau kamu jadi nikah dalam masa terdekat ni, kita tinggal sibuk cari baju pengantin aje,” ujarnya dengan sisa tawa.
Shakira mengeluh apabila Datin Radziah memasukkan kain itu ke dalam plastik yang disediakan.
“Hah, cepatlah sambung pilih kain tu.” Sergahan Datin Radziah membantutkan lamunannya.
Dia memilih sehelai kain satin berwarna biru laut. Itulah pilihannya yang terakhir.
“Cukup?” soal Datin Radziah sambil mencapai kain itu untuk diasingkan.
Shakira mengangguk. “Nisa dah pilih ke, ma?”
“Dia dah pilih awal-awal masa keluar dengan mama hari tu.”
“Oh!” sambut Shakira sambil memasukkan kain yang ada ke dalam beg kertas semula.
“Kami ada singgah ke rumah Kiera malam tu. Tapi tak ada siapa kat rumah. Baru teringat mak long dengan pak long kamu balik Kuantan. Kebetulan pulak kami terserempak dengan Munirah dan mak dia. Mereka cakap Kiera keluar dengan Jimmy. Mereka ajak singgah sekali. Nisa macam biasalah terus tidur kat rumah kawan lama dia tu,” cerita Datin Radziah panjang lebar.
Shakira baru menyedari sesuatu. Patutlah Nisa tahu dia pulang selepas subuh tempohari. Rupanya dia tidur di rumah Munirah, jiran sebelahnya. Mujurlah Nisa tidak membongkarkan pada mama mereka tentang hal itu.
“Ayah dah tidur ke, ma?”
“Belum lagi. Tengah sibuk discuss pasal business dengan abang kamu.”
“Tengah-tengah malam macam ni pun discuss lagi?” soal Shakira kehairanan.
“Biasalah ayah kamu tu. Waktu sakit pun sibuk fikir pasal business. Inikan pulak masa tengah sihat. Mama nak ajak makan kat luar berdua pun susah. Inikan pulak nak ajak pergi bercuti,” omel Datin Radziah.
“Tak apalah, mama. Ayah sibuk cari duit untuk kita jugak. Kalau ayah sibuk ajak mama bercuti, nanti mama komplen tak ada duit lebih nak pergi shopping.”
Datin Radziah menjeling. Riak wajahnya membuatkan Shakira ketawa.
“Dah, cepat tidur. Nanti terlewat bangun pulak.” Datin Radziah cuba menyuraikan keriangannya.
Shakira berbaring dan menarik selimut ke paras dada. Datin Radziah mengusap rambut anaknya perlahan-lahan. Kasihnya tumpah pada Shakira. Dahi anaknya dikucup penuh kasih. Apabila melihat mata gadis itu terpejam rapat, dia mematikan lampu sebelum menutup daun pintu.


4

Hakim membelek fail di hadapannya. Pukul 4.00 petang nanti Encik Lawrence akan datang ke pejabatnya untuk membincangkan tentang projek usahasama mereka di Hartamas. Pening kepalanya apabila melihat ada pembetulan yang harus dibuat. Sedangkan masa sudah suntuk. Dia menekan butang interkom.
“Aqilah, masuk sekejap.”
“Baik, Encik Hakim,” balas setiausahanya.
Tidak lama kemudian, Aqilah masuk ke dalam bilik Hakim. Wanita itu pantas berdiri di hadapan mejanya. Hakim mendengus kasar sambil menunjukkan fail di tangannya.
“Macam mana awak buat kerja? Kan saya dah suruh awak betulkan kesilapan hari tu? Kenapa masih ada?” soal Hakim tegas.
Aqilah kecut perut. Hakim memang terkenal dengan ketegasannya dalam soal kerja. Dia rasa menyesal kerana tidak menyemak kesilapan dengan teliti.
“Kenapa diam?” soal Hakim.
“Saya tak sengaja, Encik Hakim. Saya tak perasan kesilapan tu. Nanti saya betulkan semula. Kali ni saya akan buat betul-betul,” balas Aqilah.
“Baiklah. Saya bagi peluang kali ni. Awak ambil fail ni semula. Saya nak fail ni semula sebelum pukul 2.00.”
Aqilah mengangguk beberapa kali. “Ada apa-apa lagi, Encik Hakim?”
Hakim hanya menggeleng. Aqilah mencapai fail tersebut dan berlalu dari situ. Hakim kembali meneliti fail di hadapannya.
Aqilah kenal benar sikap Hakim. Lelaki itu sangat komited tentang isu kerja. Salah dia kerana tidak teliti. Tiada projek besar yang terlepas dari tangan Hakim. Hakim tidak kisah bersengkang mata di pejabat asalkan hasilnya memuaskan.
Ketukan di pintu membuatkan Hakim mendongak semula.
“Hai, sayang. Your Darling Tasha is here,” sapa Sharifah Natasha dengan suara manja.
Hakim menghela nafas panjang. Kedatangan gadis itu tidak diundang. Malah tidak tepat pada masanya.
“Apa yang you nak, Tasha?” soal Hakim tidak senang.
Sharifah Natasha mengukir senyuman. Tubuhnya disaluti blaus merah tanpa lengan yang mengikut potongan badan dan skirt pendek berwarna putih. Dia berjalan dengan lenggok menggoda.
“I sengaja melawat kekasih hati I,” ujarnya manja.
Hakim merungut di dalam hati. Bila masa pulak aku jadi kekasih dia? Dah buang tabiat ke?
Sharifah Natasha menghampiri Hakim. Bahu lelaki itu diusap lembut. Tubuhnya sengaja melentuk liuk pada tubuh Hakim. Kemudian tangannya turun di dada lelaki itu. Hakim menolak perlahan tangan gadis itu. Dia rimas.
“You mesti penat, kan sayang? Biar I urut you.”
“Tak apalah. I okey,” ujar Hakim.
Sharifah Natasha tersenyum nipis. Dia perlu banyak bersabar dengan penolakan Hakim. Gadis itu duduk di sisi meja di hadapan Hakim, sengaja menarik perhatian lelaki itu.
“I ada dua tiket. Jom kita tengok wayang.”
“Maaflah, I tak dapat temankan you.”
Sharifah Natasha mengambil bedak asas di dalam begnya. Dia membelek wajahnya. Kemudian dia menyapu gincu merah pada bibirnya. Setelah yakin mekap yang menghiasi wajah jelitanya tidak berkurangan, dia meletakkan bedak tersebut ke dalam begnya semula.
“Kita lunch sama hari ni ya sayang,” rengeknya.
“I sibuk. Pukul 3.00 nanti ada appointment,” balas Hakim.
Sharifah Natasha mengeluh panjang.
“Sayang, you ni kan semuanya tak nak. Apa yang you nak I buat sebenarnya?” soal gadis itu seakan merajuk.
Hakim memandang wajah gadis itu. “I betul-betul sibuk, Tasha. Banyak sangat kerja yang tak selesai lagi. Apa kata kalau you minta orang lain temankan you.”
Sharifah Natasha menarik muka masam. “I tak nak orang lain. I cuma nak you yang temankan.”
Hakim menyandarkan tubuhnya pada kerusi. “Tasha, cubalah faham. I ada banyak kerja ni.”
“Tapi I perlukan you. I cintakan you, Hakim. I nak you selalu bersama I. Bukan orang lain,” rengeknya lagi.
Hakim menggaru kepalanya. Kerjanya pada hari itu sudahlah melambak-lambak. Kini Sharifah Natasha ingin dia melayani kerenahnya pula. Jika mereka keluar bersama pasti lama. Pelbagai perkara ingin dilakukan oleh gadis itu. Dari menonton wayang cerita romantik dan makan tengahari, Hakim terpaksa menemaninya membeli belah. Semuanya hendak dibeli. Malah hendak memilih pakaian kecil pun Hakim diseret bersama. 
“Luke kan ada. Apa kata kalau you ajak dia. Dia mesti suka,” saran Hakim.
“Tapi, I tak suka dia. Dia tu gatal, suka pegang-pegang I. Lainlah kalau you yang pegang,” ujarnya.
Sharifah Natasha tidak suka dengan lelaki yang dimaksudkan. Luke suka memandangnya dengan mata liarnya. Tidak seperti Hakim yang sentiasa tenang.
Hakim memandang jam di tangannya. Sudah menginjak waktu tengah hari. Dia harus cepat menyelesaikan kerjanya. Namun, Sharifah Natasha masih belum berganjak dari mejanya. Jika dihalau, pasti kecoh satu pejabat. Bukan dia tidak tahu sikap Sharifah Natasha yang pandai berdrama.
“Sayang…” panggil Hakim lembut.
Hati Sharifah Natasha rasa berbunga. Inilah kali pertama Hakim memanggilnya begitu.
“I betul-betul tak dapat temankan you hari ni. Tapi esok I free. Apa kata kalau kita keluar sama esok. Kita pergi mana aje yang you suka. I jemput you kat rumah. Okey tak, sayang?” soal Hakim dengan nada romantis.
Sharifah Natasha sudah tersenyum lebar.
“Boleh tak?” soal Hakim inginkan kepastian.
“Okeylah, I setuju. Esok jangan lupa jemput I. I memang teringin nak keluar dengan you, sayang,” rengeknya.
“Kalau macam tu, you baliklah dulu. Nanti I call you,” ujar Hakim lembut.
Gadis itu kelihatan puas hati. Pipi Hakim diusap lembut. Kemudian dia berlalu ke arah pintu. Sebelum menutup, sempat dia memberikan flying kiss pada Hakim.
“I balik dulu ya. Muahhh!”
Sebaik sahaja pintu tertutup rapat, Hakim tersenyum sendiri. “Tasha, Tasha. Esok pergilah date sorang-sorang. I nak pergi camping dengan adik-adik I.”
Saat itu dia terkenang pada adik-adik perempuannya. Dia rasa tidak sabar untuk bercuti dengan mereka. Dia mahu melupakan tentang bebanan kerjanya yang semakin memeningkan kepala.

APABILA Shakira sampai di rumah, ada dua buah beg sudah tersedia di ruang tamu. Rupa-rupanya Puan Normah telah mengemaskan barang-barang yang perlu dibawa ke perkhemahan itu. Semuanya serba-serbi lengkap sehingga barang yang tidak perlu dibawa juga dimasukkan bersama. Belum sempat Shakira mengeluarkan semula, mak longnya pantas menahan.
“Tak payah keluarkan selimut tu. Pakai aje kat sana,” tegas mak longnya.
“Buat apa nak bawa selimut yang ni? Kat beg yang tu dah ada selimut.”
“Pakai selimut tebal-tebal sikit. Kat sana tu sejuk. Takut nanti kena demam selesema.”
Shakira membelek barang-barang yang lain pula. “Khemah, lampu suluh, tali, mancis dan baju sejuk semuanya dah ada. Eh, biskut ni pun nak bawa semua ke?”
“Bawa aje buat bekalan masa lapar nanti.”
“Air jus ni?”
“Boleh buat air kat sana nanti,” ujar Puan Normah
Shakira mengeluh panjang. “Mak long, air mineral dan air kotak tu kan ada. Buat apa nak bawa yang ni lagi? Lagipun mana ada orang sibuk bancuh air oren kat tengah-tengah hutan?”
Wajah Puan Normah kelihatan mencuka. “Bawa ajelah. Jangan banyak soal.”
Doktor Johan yang berada di sebelah memberi isyarat supaya Shakira menurut sahaja kata-kata mak longnya.
Shakira mengeluh. “Baiklah,” ujarnya perlahan.
“Kat sana jangan lupa makan, minum air kosong banyak-banyak. Masa tidur jangan lupa pakai stoking, pakai selimut. Lepas tu, jangan jungle tracking lepas hujan. Dengar cakap Hakim, jangan nakal-nakal kat sana. Pergi mana-mana ramai-ramai, jangan seorang diri. Bahaya. Balik sini awal sikit, jangan melencong ke mana-mana.”
Shakira ternganga. “Banyaknya syarat. Mak long ni macam tak nak bagi Kiera pergi aje. Mak long takut rindu kat Kiera nanti ya,” usik Shakira.
Sepasang mata Puan Normah mengiyakannya. Wanita itu memang tidak betah untuk berjauhan dengan Shakira. Dia amat menyayangi anak buahnya itu. Shakira satu-satunya kenangan yang ditinggalkan oleh arwah Naimah, adik kembarnya. Puan Normah sudah menganggap gadis itu seperti anaknya sendiri.
“Tak adalah. Mak long cuma risaukan kamu. Kamu tu kan budak nakal. Kalau tak diingatkan, entah apa-apa yang dibuat.”
Shakira ketawa mendengar alasan itu.
“Kalau macam tu, mak long ikut ajelah Kiera pergi camping. Boleh tengok-tengokkan Kiera sekali. Kat sini mana mak long tahu kalau Kiera tak nak makan, tak mandi empat hari ke…”
Tawa Shakira semakin rancak apabila melihat jelingan mak longnya. Dia cuba terus berwajah serius. Namun, gagal apabila melihat wajah pak longnya yang sedang menahan ketawa.
Akhirnya mereka bertiga sama-sama ketawa.
 “Hisy, budak ni memang nakal betul. Mana ada orang tahan bau kalau tak mandi empat hari. Kamu nak tackle lalat ke?” perli Puan Normah.
Shakira mengangguk.
“Habis, Jimmy tu nak campak mana?”
“Cik langau kan ada.”
“Eh, eh. Ke situ pulak jawabnya. Jimmy tu lebih pembersih dan lebih rajin dari kamu. Kalau kamu dah tak nak dia, anak mak teh yang kerja akauntan tu nak. Norina tu dah lama minat kat Jimmy,” celah pak longnya.
Shakira menjerit kecil. “Mana boleh. Jimmy tu Kiera punya!”
“Kalau dia nak jugak?” usik Doktor Johan.
Shakira menarik muka masam.
“Yalah, bang. Norina tu dahlah cantik, manis, sopan-santun, rajin. Masak pun pakar. Semuanya sempurnalah. Tak macam anak buah kita yang seorang ni. Muka aje comel. Tapi tak sopan, nakal, tak rajin, masak pun tak sepandai Norina tu. Lepas tu, suka buat orang risau, suka membuli si Jimmy pulak tu. Kita recommend aje Norina tu pada Jimmy. Mesti Jimmy suka.” 
Shakira menjeling tajam.
“Amboi, kuatnya mengutuk anak buah sendiri. Macam mana pun Kiera tak nak bagi jugak. Abang Hakim kan ada. Dia single lagi. Ambil ajelah Abang Hakim tu.”
“Kalau Abang Hakim best, kenapa kamu tak kahwin aje dengan dia? Jimmy tu bagi aje kat Norina,” usik pak longnya lagi.
“Pak long!” jerit Shakira.
Doktor Johan sudah mengatur langkah seribu. Mulutnya masih tak habis-habis mengusik. Shakira mengejarnya sehingga gamat satu ruang tamu. Akhirnya Shakira berhenti mengejar kerana kepenatan. Doktor Johan masih bertenaga. Sambil berpeluk tubuh, dia ketawa melihat diri anak buahnya.
“Penat ke? Itulah nak lawan dengan pak long lagi. Kamu tu malas bersenam. Tahu makan tidur aje. Pak long rajin. Sebab tu pak long jadi doktor.”
Puan Normah ketawa melihat Shakira termengah-mengah.
“Mah, lepas ni kita kenalkan sajalah Norina tu. Jimmy suka orang yang rajin bersenam. Boleh pergi gym sama-sama, jogging sama-sama. Anak buah kita yang seorang ni kejar orang tua pun tak lepas,” usik Doktor Johan lagi.
Puan Normah ketawa.
“Apa ni, Kiera. Dengan Pak long yang umur 45 tahun pun boleh kalah. Macam mana kamu nak setanding dengan Norina tu? Kalau macam ni bagi ajelah Jimmy kat Norina tu.”
“Betul tu. Kiera mana boleh nak dibandingkan dengan Norina. Dia tu lagi best dari Kiera,” balas Doktor Johan.
Entah mengapa, perasaan Shakira tiba-tiba menjadi sebak. Memang mereka sekadar ingin mengusik. Namun, dia rasa kecil hati dengan sikap mereka. Tanpa dia sedar ada air hangat yang mengalir di pipinya.
Doktor Johan dan Puan Normah tergamam.
“Lah, usik sikit pun menangis. Manjanya budak ni,” keluh Puan Normah.
Air mata Shakira terus mengalir laju. Dia menangis dengan sesungguh hati walaupun tahu mereka sekadar bergurau. Entah mengapa dia begitu sensitif apabila perkara itu ada kena-mengena dengan Jimmy.
Puan Normah datang menghampiri gadis itu dan memeluk bahunya lembut. “Syhh… kenapa manja sangat ni? Kiera kan dah besar. Tak elok nangis-nangis. Selalunya tak macam ni pun.”
Shakira masih teresak.
“Dahlah, janganlah nangis macam ni. Mak long dan pak long cuma bergurau aje tadi. Bukannya betul-betul pun,” pujuk Puan Normah sambil mengusap bahu Shakira perlahan-lahan.
 Doktor Johan pula mengusap rambutnya.
“Kiera sedih mak long dan pak long bezakan Kiera dengan Kak Norina. Kiera tahu Kiera tak setanding dia. Kiera tahu Kiera tak sempurna dan tak matang macam dia.”
“Kiera pun ada kelebihan jugak. Sebab tu Jimmy sayangkan Kiera. Kiera comel dan baik. Masak pun sedap.”
Shakira mengesat air mata di pipinya. “Mak long tipu. Mak long cakap macam tu sebab saja nak pujuk Kiera.”
“Mak long tak tipulah. Apa yang mak long cakap betul. Kawan-kawan mak long selalu puji Kiera. Mereka cakap walaupun kami berdua tak ada anak, kami berdua bertuah sebab ada Kiera. Mereka cakap Kiera pandai ambil hati semua orang. Bukan itu aje, Kiera masak pun sedap. Kiera tak perasan ke kalau Kiera masak, kami berdua dan Jimmy akan tambah banyak kali.”
“Itu sebab lapar.”
“Kalau lapar pun takkanlah tambah banyak kali kalau tak sedap. Makin tak lalu adalah,” sangkal Puan Normah.
Shakira terdiam. Tangisannya juga terhenti dengan sendiri. Hatinya mula rasa tenang apabila mendengar pujukan itu.
“Dah, jangan sedih-sedih lagi,” pujuk Puan Normah.
“Mak long dan pak long jangan cakap nak recommendkan Jimmy dengan Kak Norina lagi.” Shakira mahu mereka berjanji.
“Yalah, yalah. Kami takkan cakap macam tu lagi,” janji Puan Normah.
Doktor Johan hanya mengangguk. Shakira tersenyum senang hati dan meleraikan pelukan.
Sempat Doktor Johan mengusik. “Manjanya budak seorang ni. Asyik menangis aje. Peninglah kepala Jimmy bila kahwin nanti.”
Wajah Shakira terasa panas mendengar usikan itu.
“Biarlah. Dia yang nak kahwin dengan Kiera. Dia kenalah tahan dengan perangai Kiera,” balasnya.
“Itu namanya, mengada-ngada. Gedik pun ya juga. Secara jujurnya, Norina tu memang lagi best dari Kiera,” ujar Puan Normah lagi.
“Mak long!” jerit Shakira.
Mereka ketawa apabila melihat gadis itu marah-marah.
Hari itu Puan Normah dan Doktor Johan tidak habis-habis mengusik. Tangis Shakira dan gelak tawa mereka menghiasi kediaman yang selalunya sunyi-sepi itu.

No comments: