Popular Posts

Monday 2 January 2012

Sedutan novel MEMANG ITU CINTA



Sedikit sedutan MEMANG ITU CINTA...

BAB 1


SEBuah pesawat Boeing 747 penerbangan Malaysia yang memulakan perjalanan dari Korea Selatan akhirnya mendarat di landasan lapangan terbang KLIA. Rania melangkah keluar dari pesawat itu. Dia baru sahaja pulang dari kursus selama seminggu di Seoul.

Suasana di lapangan terbang hingar-bingar. Sekali-sekala kedengaran pengumuman penerbangan yang bakal berlepas. Rania berasa lega apabila melihat Irfan sedang menunggu. Lelaki itu tersenyum lebar sambil melangkah ke arahnya. Dia membalas senyuman itu.


“Terima kasih sebab jemput I,” ucap Rania.


“Sama-sama. Macam mana Seoul? Best?” soal Irfan seraya menarik bagasi Rania.


Rania mengangguk perlahan.


“You lapar tak? Jom kita pergi makan,” pelawa Irfan.


“I tak ada seleralah, Irfan. Rasa nak balik rumah dulu.”


Mengerti Rania benar-benar kepenatan, Irfan terus menghantar Rania pulang.


Kereta diberhentikan di hadapan rumah sewa Rania. Suasana rumah teres setingkat itu kelihatan gelap dan sunyi. Hanya kereta milik Rania yang terparkir di hadapan rumah, menandakan Ana masih belum pulang dari kampung. Irfan mengeluarkan bagasi yang berada di but kereta.


“Sebelum I terlupa, ini souvenier untuk you. I harap you sukakannya,” ujar Rania sambil menghulurkan sebuah bungkusan kepada Irfan.


Irfan tersenyum sambil menerima hadiah itu. Dia senang hati kerana Rania ingat padanya.        


"Thanks. Apa yang you belikan untuk I?”


“Rahsia. Balik nanti baru buka,” balas Rania.


“Okey. Esok dinner dengan I?”


Rania mengangguk setuju.


Irfan meminta diri sebelum masuk ke dalam keretanya.


Rania pula masuk ke dalam rumah sambil mengangkat bagasi. Sebaik sampai di bilik, dia terus berbaring di atas katil. Tubuhnya yang lesu berasa selesa dengan kelembutan tilam empuk itu. Dipeluk bantal sambil melelapkan mata.



Rania berasa riang apabila melihat ada sebiji kek blueberry di dalam peti sejuk. Dia duduk di meja makan. Sudu kecil dicapai sebelum menjamah kek tersebut.


“Hmm... sedapnya. Maaf ya, Cik Ana. Aku terpaksa makan kek favourite kau. Aku dah lapar sangat ni. Nak keluar ke kedai malas pulak.”


Ketika itu, baru dia teringat dia masih belum menghubungi ibunya memberitahu akan kepulangannya. Suara ibunya begitu ceria.


“Nanti hujung minggu ni Nia balik,” ujar Rania.


“Baiklah kalau macam tu. Jaga diri baik-baik. Jangan lupa solat,” pesan Puan Imah.


Selepas mengakhiri perbualan, Rania menonton televisyen. Kedengaran deruman enjin kereta di halaman rumah. Ana sudah pulang. Rania bingkas bangun dari sofa untuk menyambut kepulangan Ana. Tidak lama kemudian, terjengul wajah Ana yang keletihan di balik pintu.


“Assalamualaikum,” sapa Rania.


“Waalaikumussalam. Nia, kau dah lama sampai?” balas Ana dengan nada ceria.


Rania tersenyum nipis. “Dah lama jugaklah.”


“Aku ingat kau balik esok.”


“Aku saja ambil flight awal. Esok bolehlah berehat kat rumah.” Bagi Rania, dapat melelapkan mata seharian merupakan bonus yang cukup lumayan.


“Kalau tahu kau ada kat rumah, aku balik awal sikit,” ujar Ana sambil meletakkan barang di atas meja makan bersebelahan ruang tamu.


“Tak apa. Aku tak nak menyusahkan kau.”


“Siapa yang jemput kat airport?”


“Irfan.”


Ana tersenyum mendengarnya. Sudah dapat diagak kerana lelaki itu seorang yang ringan tulang. Dihampiri Rania yang sudah duduk di sofa. Dia memperlahankan sedikit volume televisyen dengan alat kawalan jauh. Aksi tembak-menembak membuatkan bunyi televisyen agak bergema.


“Dah makan?” soal Ana.


Rania menghela nafas panjang. “Tak ada mood nak keluar.”


“Eloklah masih belum makan. Mak aku ada bekalkan mi bandung. Kau makanlah,” ujar Ana.


Apabila mendengarnya, Rania pantas ke meja makan. Dia membuka beg kertas yang dikatakan oleh Ana. Di dalamnya ada dua bekas makanan. Dia mengangkat bekas yang berada di atas, mi kosong. Dijenguk bekas yang kedua. Dari bekas jernih itu, dia dapat melihat kuah pekat yang dihiasi udang besar.


“Wah, sedapnya. Ini yang buat aku terliur. Syok habis,” ujar Rania penuh kagum. “Ana, marilah makan sekali,” pelawanya.


Ana menoleh. “Kau makanlah, Nia. Aku dah makan kat rumah. Kalau habiskan pun tak apa.”


“Betul ke aku boleh habiskan? Tak menyesal?”


“Ya. Makan ajelah. Kasihan betul tengok kau. Dari air muka pun aku tahu kau tengah kelaparan. Kalau si Tompok tengok kau, dia mesti ingat kau saudara dia.”


Rania tersengih. Kucing jiran sebelah rumah mereka itu memang mempunyai raut wajah yang kasihan. Setiap kali bertandang, mereka akan murah hati memberikan Tompok makan ikan goreng atau makanan kucing. Hakikatnya, kucing itu sudah makan di rumah tuannya.


“Sedapnya mak kau masak,” puji Rania.


Ana tidak mengendahkan kerana leka menonton televisyen.


Setelah selesai makan dan membasuh bekas makanan, Rania kembali duduk di sisi Ana. Dia meletakkan piring berisi kek di hadapan Ana.


“Wah, bestnya. Terima kasih,” ujar Ana.


“Sama-sama. Ini aje yang tinggal. Tadi aku dah habiskan semuanya.”


Ana terkejut. “Hah, kau habiskan kek aku?”


Rania tersengih-sengih.


Ana menggigit bibirnya menahan geram. “Patutlah kau hidangkan untuk aku. Rupa-rupanya kau dah habiskan. Kau ni memang teruklah!”


Sorry ya? Tadi aku lapar sangat,” ujar Rania dengan wajah serba salah. Hakikatnya, dia sukar untuk mengawal selera. Keenakan kek itu membuatkan dia lupa diri.


“Kek tu punyalah besar. Kau ni memang dasar perut paus. Patutlah Irfan suka ejek kau paus. Mi bandung tu kau jangan makan lagi. Kalau makan, siap!” marah Ana.


“Eh, tadi kau bagi aku habiskan. Sekarang ni cakap lain pulak. Mujur aku makan sikit aje tadi. Kau ni memang buruk sikulah,” rungut Rania.


“Buruk siku tak apa, bukannya nampak. Aku pakai baju lengan panjang. Dari kau tu buruk lantak, duduk jauh sebatu pun orang boleh nampak,” sindir Ana.


Rania tersenyum melihat bibir Ana memuncung panjang. Bukan dia tidak tahu Ana sangat menggemari kek. Itulah sebabnya dia sengaja mengusik temannya itu.


“Ana, sebenarnya aku makan sepotong aje. Aku saja usik kau.”


“Eii... bencilah dengan kau ni. Suka sangat kenakan aku.”


“Mulut aje cakap benci. Tapi kau tetap sayang aku jugak. Selalu simpankan stok makanan yang best untuk aku,” usik Rania lagi.


“Sebab kau tu dahlah tak pandai masak, kedekut dan suka ‘pau’ orang pulak tu. Kalau tak bagi pun, stok siapa yang habis? Aku jugak.”


Rania tersenyum kelat. “Janganlah kutuk macam tu. Segan aku dengar.”


Ana mendengus. Matanya kembali tertumpu ke kaca televisyen sambil menghabiskan kek di dalam piring.


Rania bersandar di sofa sambil menghela nafas panjang. Matanya semakin kuyu. Ketika ini, barulah dia terasa tubuhnya benar-benar penat dan lesu.


“Malam ni aku nak tidur puas-puas. Aku harap dapat jumpa dia dalam mimpi. Mesti best,” ujar Rania perlahan. Dipejamkan mata rapat-rapat.


“Orang lain kalau rindu akan telefon, sms... Orang poyo aje harap kekasih muncul dalam mimpi. Ingat kau ada kuasa magik ke boleh pilih-pilih mimpi?” sindir Ana.


Rania mencebik. “Sibuklah kau.”


Apabila suasana sunyi tanpa suara Rania, Ana pantas menoleh. Dia tersenyum apabila melihat Rania tidur nyenyak di sebelahnya. Hatinya berasa kesal kerana berkira dengan temannya itu. Rania tentunya masih penat kerana baru sahaja pulang dari luar negara.


“Jangan tenung muka aku. Nak feeling pun tak senang.”


Ana terkejut. Dia menyangka Rania benar-benar sudah tidur. “Kalau dah tahu nak feeling, pergilah masuk bilik,” gesanya.


Rania membuka mata. Dia bangun dari sofa lalu melangkah masuk ke dalam bilik.


Ana menggeleng melihat gelagat temannya itu.








BAB 2


Irfan meneliti skrin komputer dengan penuh cermat. Dia perlu memastikan tiada kesalahan ejaan atau kecelaruan maklumat sebelum ditunjukkan kepada CEO syarikat Bidara Mega, Datuk Hamidun Tun Ali. Peluang yang diberikan oleh Datuk Hamidun kepadanya untuk menimba pengalaman dalam bidang pembangunan dan pembinaan enggan disia-siakan. Dia sanggup bersengkang mata untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar.


Setelah puas hati, dia mencetak kertas kerja itu. Setelah menjilid, dia menyimpannya ke dalam laci. Fail yang berada di atas meja kini menjadi santapan matanya. Dia menyelak helaian yang mengandungi maklumat yang dikehendaki. Segala butir yang terperinci di muka surat itu dibaca dengan teliti. Kemudian dia mencatat sesuatu di dalam buku notanya sebagai rujukan.


Deringan telefon bimbit memecahkan kesunyian bilik pejabat tersebut. Dia menghela nafas panjang apabila melihat nama yang tertera. Jika tiada hal penting, lelaki itu tidak akan menelefonnya.


“Helo...” Irfan memulakan bicara.


“Helo, Irfan. Kau kat mana?” soal Arash dengan suara agak tegas.


“Saya kat ofis ni. Kenapa, Encik Arash?” balas Irfan dengan pertanyaan juga.


“Aku punya lama tercongok kat sini tunggu kau, kau pulak boleh senang-lenang kat ofis?”


Berkerut dahi Irfan apabila mendengar kata-kata itu. Hatinya dipagut rasa hairan. “Apa maksud Encik Arash? Saya tak faham.”


“Hei, kau jangan main-main ya? Dah lebih sejam aku tunggu kau ni. Jangan naikkan darah aku. Aku dah lama sabar ni.” Suara Arash mula meninggi.


Kecut perut Irfan mendengarnya. Lelaki itu sememangnya terkenal dengan sikap panas baran. Dia membalas dengan cara penuh berhemah. “Maafkan saya, Encik Arash. Saya benar-benar tak faham maksud Encik Arash. Kenapa Encik Arash tunggu saya?”


Terdengar Arash mendengus kasar. “Kau tanya kenapa? Kau ingat aku suka-suka tunggu kau kat sini ke? Kau kan patut teman aku jumpa klien. Kau tak ingat ke?”


Irfan masih cuba menahan sabar. “Encik Arash, bila masa pulak saya kena teman Encik Arash jumpa klien?”


“Memang kau yang sepatutnya teman aku. Tapi sampai sekarang kau tak datang lagi. Mujurlah klien belum datang lagi sebab ada hal. Jangan cakap yang kau lupa. Ini bukan hal kecil. Ini maruah syarikat!” tengking Arash.


Irfan enggan membalas kata-kata itu.


“Kenapa diam? Sekarang baru ingat, kan? Hei, macam mana kau buat kerja? Makan makan gaji buta ke? Kau ingat company tu bapak kau punya ke?” tengking Arash lebih lantang.


Irfan mengalihkan telefon bimbit dari telinganya. Dia enggan mendengar Arash menengking dan memaki hamunnya sesuka hati. Agak lama kemudian, barulah dia melekapkan telefon bimbit itu ke telinganya semula.


“Encik Arash, cuba bertenang. Appoinment tu antara Encik Arash dengan orang lain, bukannya dengan saya. Lagipun, itu kan projek bioteknologi. Saya tak terlibat dalam projek macam tu,” jelas Irfan dengan suara tenang.


Serta-merta talian menjadi sunyi. Tiada langsung kata-kata yang keluar dari bibir lelaki itu.


Irfan menyambung. “Lagipun, tak ada siapa yang pesan supaya saya temankan Encik Arash. Malah, Datuk suruh saya siapkan kertas kerja. Sekejap lagi dia nak tengok.”


“Kau pasti?” soal Arash. Kali ini, suaranya sudah kendur sedikit.


“Ya,” balas Irfan.


“Kau jangan main-main,” tegas lelaki itu lagi.


Irfan menghela nafas panjang. “Saya tak main-main. Itu memang bukan bidang saya. Jadi, buat apa saya nak terbabit?”


Saat itu talian terus sunyi. Irfan memandang skrin telefon bimbitnya. Arash sudah memutuskan talian. Tiada kata maaf atau penjelasan untuk menyatakan kedudukan sebenar. Reaksi begitu sudah dijangka. Dia kembali menyambung kerjanya. Fokusnya seakan hilang setelah apa yang berlaku sebentar tadi. Biarpun hatinya tidak ambil kisah dilayan begitu, akalnya pula tidak mahu menerima keadaan itu. 


Bunyi ketukan yang agak kuat di pintu menyentak lamunannya. Dia menoleh ke arah pintu yang tertutup rapat. Belum sempat mempelawa masuk, pintu biliknya sudah dibuka dari luar. Terjengul Mazni di situ dengan wajah ceria.


“Oh, Mazni rupanya. Masuklah,” pelawa Irfan.


Mazni melangkah masuk ke dalam bilik tersebut sebelum duduk di hadapan Irfan.


“Irfan, you busy ke?”


Perlahan-lahan Irfan menggeleng. “Kenapa?”


“I nak minta pertolongan you. Boleh, kan?” pinta Mazni.


“Boleh aje. Apa yang you nak I tolong buat?” soal Irfan menawarkan diri.


Senyuman mula terukir di bibir wanita itu. Dia menyerahkan sehelai nota kecil kepada Irfan. Lambat-lambat Irfan menyambutnya. Dia memandang barisan ayat yang tertulis di situ dan tarikhnya.


“Senarai macam mana yang you nak?”


“50 orang klien termasuk bakal klien. Tapi I cuma perlukan blue chip company,” ujar Mazni.


Barulah Irfan memahami maksud Mazni. Wanita itu mahukan senarai pelanggan yang berpengaruh dan mempunyai rekod kewangan yang cukup kukuh.


“Rekod macam tu kan you boleh dapat dalam fail-fail syarikat. Kalau tak pun dalam interweb dan DMS,” balas Irfan merujuk pada software yang digunakan oleh syarikat bagi merekod butir-butir pelanggan. Baginya, maklumat di Interweb dan Document Management System (DMS) lengkap untuk dijadikan rujukan.


“Tapi kat dalam tu hanya maklumat asas aje. I nak maklumat yang lebih detail.”


“Oh, macam tu. Tapi maklumat ni rahsia syarikat,” ujar Irfan mengingatkan.


“I tahu. Tapi I perlukannya. You kan eksekutif kat Contract Department. Tentu you ada list semua tu. Kalau tak pun, you tahu kat mana nak cari, kan?” soal Mazni.


“Itu tak jadi hal. Boleh I tahu kenapa you nak maklumat tu?”


Mazni menghela nafasnya. “Untuk kerja I. Boleh kan?”


Irfan enggan menjawab pertanyaan itu kerana maklumat yang dipinta oleh Mazni merupakan maklumat yang sulit.


“Maksud I, I perlukannya untuk bagi pada Encik Yusri. Dia yang nak. I harap you boleh tolong I,” sambung Mazni tatkala menyedari Irfan seakan sukar untuk memberikan kerjasama.


Akhirnya, lelaki itu mengangguk. Dia menampal nota itu di bawah skrin komputernya.   


"Nanti I berikan pada you,” janji Irfan.


Senyuman lebar terukir di bibir wanita itu. “Thank you very much.”


Irfan turut sama mengukir senyuman. Matanya menyoroti langkah wanita itu menuju ke arah pintu. Sebaik sahaja daun pintu tertutup rapat, Irfan kembali memberi perhatian pada timbunan tugas yang berada di atas mejanya.


Apabila lewat petang, Kamarul pula datang ke biliknya memberikan tugas baru. Irfan mencapai dokumen yang diletakkan di atas mejanya.


“Irfan, aku nak benda ni pagi esok!”


“Pagi esok? Tapi sekarang kan dah petang.”


“Ah, aku tak peduli. Aku nak pagi esok jugak. Kau jangan bagi lambat. Kalau lambat nahas kau!” tegas Kamarul memberi amaran.


Kecut perut Irfan. Tiada pilihan, dia harus membawa kerjanya ketika bertemu dengan Rania sebentar lagi.






 BAB 3

Melirik ke arah Irfan yang sedang sibuk menaip di komputer riba, Rania leka seketika. Makanan yang sudah sampai lima minit yang lalu masih belum diusik. Matanya terus memerhati penampilan lelaki itu. Berkemeja hitam berjalur putih dipadankan dengan seluar hitam menampakkan Irfan sememangnya sesuai dengan imej korporat. Kulit yang putih bersih dan gaya rambut yang menawan membuatkan dia kelihatan lebih tampan daripada hari-hari biasa.


Dia terkenang zaman kanak-kanak mereka. Disebabkan hubungan keluarga mereka yang akrab, mereka sering bermain bersama. Irfan akan mengikut keluarganya pulang ke kampung. Kadangkala dia mengikut Irfan pulang ke kampung lelaki itu. Seperti kanak-kanak lain pada zaman itu, hobi mereka merangkumi semua permainan tradisional yang ada. Comot atau demam tidak menjadi masalah. Hanya keseronokan menghiasi dunia kecil mereka.


Kini, masing-masing sudah matang dalam mengharungi kehidupan. Betapa kedewasaan mampu membuatkan manusia berubah dengan sendiri. Irfan seorang lelaki yang tampan dan memiliki senyuman menawan. Entah esok atau lusa, teman karibnya itu akan beristeri dan memiliki anak pula.


“Nia, you tak nak makan?” Soalan Irfan itu menyedarkan Rania.


“I tunggu you,” jawab Rania.


Irfan memandang sekilas wajah temannya itu. “You makanlah dulu. Nanti dah sejuk, tak sedap pulak. Sekejap lagi I makan.”


Apabila melihat Irfan leka menatap kerjanya, lantas Rania mencapai sudu dan garpu. Dia tahu tiada gunanya untuk menunggu sedangkan entah bila kerja Irfan akan selesai. Dia menjamah spaghetti seafood marinaranya. Kemudian dia menikmati dua ekor tiram yang diletakkan di tepi pinggan.


“Banyak lagi ke?” soal Rania sambil mengelap tepi bibir dengan tisu.


“Hmm...” gumam Irfan.


“Kalau dah tahu busy, baik tak payah keluar sama,” rungut Rania. Perbualan panjang yang diharapkan seperti tidak akan menjadi kenyataan. Sejak dari tadi, Irfan tidak habis-habis menatap komputernya.


Irfan tersenyum mendengarnya. “I dah lama tak dinner dengan you.”


Rania menghela nafas panjang seraya mencucuk seekor udang dengan garpu dan memasukkan ke dalam mulutnya. Irfan menyisip minuman seraya menatap skrin laptop. Rania terpandang nasi goreng Irfan yang masih belum terusik. Dia menyuakan sudu nasi dan sepotong sotong ke mulut Irfan.


“Sini, makan sikit. Jangan biar perut tu kosong.”


Irfan membuka mulut sebelum mengunyah nasi goreng perlahan-lahan.


“Sedap tak?” soal Rania.


Irfan mengangguk. Kemudian, dia kembali menatap skrin laptop.


“Lama I tak jumpa family you. Dia orang apa khabar?”


Senyuman nipis terukir di bibir Irfan. “Semuanya okey. Parents I pesan, kalau lapang datanglah melawat. Dia orang rindukan you.”


Rania tersenyum. “Insya-ALLAH nanti I datang. Abang Fahrin ada call you?”


Irfan menggeleng perlahan. “Apa khabar Abang Fahrin sekarang? Lamanya tak jumpa dia. Bukan senang nak call Abang Fahrin. Inikan pulak nak jumpa dia. Harap-haraplah dia teringat kat kita,” keluhnya. Dia rindu abang sepupunya yang menjadi teman sepermainan mereka itu. Sejak Fahrin bekerja di sebuah syarikat cari gali di Sudan, mereka jarang dapat bertemu. 


“I pun rindukan dia. Insya-ALLAH... nanti bila dia ingat kita, dia baliklah jenguk kita,” pujuk Rania.


Rania tahu Irfan terasa kehilangan Fahrin. Ini kerana sejak kecil hubungan mereka sangat rapat.


Irfan mengukir senyuman.


“Irfan, I tengok ni you semakin sibuk. You ada projek baru yang nak disiapkan ke?” Rania menukar topik.


Irfan menggeleng perlahan. “Cuma kerja biasa aje.”


“You baru dinaikkan pangkat ke?” 


Irfan diam, menyibukkan diri dengan kerjanya. Tidak lama kemudian, dia menutup dan menyimpan komputer riba ke dalam beg sandang.


“You buat projek luar ya?” duga Rania apabila pertanyaannya tidak berjawab.


Apabila melihat Irfan tetap mengambil langkah berdiam diri, Rania mengeluh keras. Wajah Irfan direnung tajam. Hatinya tertanya-tanya mengapa Irfan hendak merahsiakan sesuatu daripadanya. Tiada salahnya jika berterus terang. Keresahan yang terbit di wajah lelaki itu menimbulkan keraguan di hatinya.


“Kenapa muka you pucat aje? Ada apa-apa yang tak kena ke?” duga Rania dengan suara agak tegas. Dia sudah penat berlembut dengan lelaki itu.


Irfan terkejut. Nasi yang dikunyah terasa tersekat di kerongkong. Dia cuba menelan perlahan-lahan sebelum memandang Rania. “Bukanlah. Sejak akhir-akhir ni, I selalu pergi meeting dan seminar. Sebab tu ada banyak kerja yang tertangguh,” jelasnya.


Rania menggelang perlahan sambil meleret senyuman sinis. “Irfan, you tak pandai menipu. I tahu yang you sedang rahsiakan sesuatu dari I. Baik you beritahu!” 


Irfan mengerutkan dahinya. “Mana ada.”


Wajah Irfan direnung dalam-dalam. “Jika dengan orang lain, bolehlah you putar belit. Tapi kalau dengan I, jangan haraplah. I tahu you sedang sembunyikan sesuatu dari I.”


“Janganlah pandang I macam tu. Seram,” ujar Irfan, sengaja ingin mengalihkan perhatian Rania. Dia dapat merasakan Rania tidak akan berputus asa menyelidik sedalam mungkin.


“Jangan nak tukar topik. You kena buli kat sana, kan?” tekan Rania.


Sah! Memang telah diduga Rania akan bertanya lanjut. Terkulat-kulat Irfan hendak membalasnya. Dia tiada jawapan yang sesuai untuk gadis itu. Sudah berkali-kali Rania berpesan supaya dia lebih tegas agar tidak dibuli di tempat kerja.


Rania mendengus geram apabila melihat reaksi Irfan. “I dah agak mereka buli you buat kerja. Sebab tu you asyik sibuk aje sejak akhir-akhir ni. Mereka paksa you buat kerja ke?”


“Alah, mereka minta I tolong buat sikit aje. Lagipun, menolong orang kan dapat pahala. Lagi banyak tolong orang, lagi banyak pahala kita dapat,” balas Irfan.


“Itu pulak alasan you. Tak payah tolong mereka tu. You pun ada kerja. Mereka sepatutnya buat sendiri. Kalau hari-hari you kena buat kerja mereka, macam mana you nak siapkan kerja you sendiri?”


Irfan tersenyum. Lesung pipit di kedua-dua belah pipinya jelas kelihatan. “Itu semua small matter. I boleh kerja lebih masa asalkan kerja I siap dan semua orang puas hati. Kan bagus macam tu,” jawabnya tenang.


Rania mendengus lagi. Kali ini lebih keras. “Tapi mereka tu dah melampau. Mana boleh senang-senang suruh orang buat itu ini. You tak boleh biarkan diri diperlakukan sesuka hati macam tu. You kena melawan.”


Irfan tidak membalas. Apa pun alasannya, tidak mampu memenangi hati Rania. Gadis itu paling pantang jika mendengar dia dibuli orang.


“Apa yang mereka buat tu salah. You tak adukan hal ni pada orang atasan ke?”


Irfan menelan liur. Bagaimana dia hendak mengadu kepada pihak atasan? Sedangkan salah seorang daripada mereka adalah Arash. Dia enggan mencari masalah dengan lelaki itu.


“Mana ada I kena buli. I cuma menolong. Ini bukannya hal besar sampai nak adukan pada pihak atasan. Lagipun, I tak nak cari pasal dengan sesiapa. Biarlah apa pun mereka nak buat.”


Rania menggeleng. “You ni harap muka aje hensem. Tapi lurus bendul dan lembik. Kena buli macam tu pun tak nak melawan,” kutuknya.


Irfan mengerutkan dahinya. “Janganlah kutuk I macam tu. Kecil hati I.”


“Tahu pulak kecil hati. Kena buli macam tu tak pulak kecil hati. Poyo aje lebih,” sindir Rania.


Terdiam Irfan apabila mendengar sindiran itu.


“Mereka ada marah atau berkasar dengan you tak?”


Irfan hanya menggeleng.


Rania masih merenung wajah lelaki itu, tajam sekali. “You jangan cuba sembunyikan dari I. Cakap, ada tak sesiapa yang berani pukul atau tengking-tengking you sesuka hati?”


Kelu lidah Irfan apabila mendengar pertanyaan itu. Telinganya sudah lali dimarahi dan ditengking oleh Arash tanpa sebab munasabah. Lelaki itu juga pernah mengasarinya kerana hal kecil. Rakan sekerja pula sering menyusahkannya. Mereka seperti berpakat untuk mengenakannya. Biarpun tidak puas hati diperlakukan begitu, dia tidak dapat berbuat apa-apa untuk membela diri. Dia terpaksa menerima demi menjaga periuk nasi sendiri.


“Tak ada. Mereka semua baik dengan I,” sangkal Irfan.


“Memang langsung tak ada ke?” soal Rania lagi.


Apabila melihat Irfan menggeleng dengan wajah penuh yakin, Rania menarik nafas lega. Dia kembali menikmati makanannya.

Irfan menggenggam jari-jemari sendiri. Dia rasa bersalah kerana berbohong. Namun, dia berbuat begitu kerana tidak mahu menimbulkan kemarahan Rania. Dia percaya Rania tidak akan berdiam diri jika tahu hal yang sebenar. Dia sanggup menelan semuanya sendiri asalkan Rania tidak mengetahuinya.