Popular Posts

Monday 28 March 2011

Sedutan 3 novel Nian Di Hati



BAB 3

Mengenangkan anak gadisnya akan tinggal berjauhan dengannya, Encik Norman mula berubah menjadi seorang yang pendiam. Senyuman yang terukir di bibirnya tidak lagi berseri. Dia benar-benar sedih untuk melepaskan anak gadisnya itu pergi. Namun dia sedar perpisahan itu demi kebaikan masa depan anaknya.

Dia mengeluarkan sekeping gambar dari poket baju. Gambar bekas isterinya. “Hajar... lihatlah anak kita. Dia cukup sempurna. Abang dah berjaya didik dia. Sekarang dia dah besar, cantik dan bijak. Tak ada apa yang patut Hajar risaukan sebab dia pandai uruskan diri sendiri. Dia dapat keputusan periksa yang baik. Tak lama lagi dia masuk sekolah asrama. Kalaulah Hajar boleh tengok sendiri, tentu Hajar pun bangga dengan dia.”

Dihela nafas panjang. Dia merindui bekas isterinya itu. Hajar adalah satu-satunya wanita yang dia cintai. Mereka terpaksa berpisah kerana keadaan yang memaksa. Dia juga terkenang pada anak sulungnya, Farid. Anaknya itu tinggal dengan bekas isterinya. Entah bagaimana khabar anaknya itu. Ketika bertemu kali terakhir, dia meninggalkan nafkah kepada bekas isterinya itu untuk persekolahan Farid. Ketika itu dia sendiri tidak tahu mengapa dia memberi lebih banyak daripada biasa. Rupanya mereka sudah tiada rezeki untuk bertemu lagi.

“Tak payahlah risaukan ayah. Ayah tak apa-apalah,” ujar Encik Norman ketika Amy bertanya mengapa sikapnya mula berubah sejak akhir-akhir itu.

“Kalau tak apa-apa, kenapa ayah asyik termenung aje?”

Encik Norman mengukir senyuman. “Biasalah, orang tua kan suka termenung.”

Amy menghulurkan segelas minuman kepada ayahnya. “Minum, ayah.”

Encik Norman meneguk minumannya. “Wah, masinnya!”

Amy mengerutkan dahi. “Ayah, Amy letak gula tau tadi. Lain kali Amy letak garam baru tahu.”

Encik Norman tertawa kecil. Kemudian dia menghirup lagi. “Hmm... sedap anak ayah buat air.”

Amy masih memandang ayahnya. “Ayah tak terfikir ke nak kahwin lagi?”

Tiba-tiba Encik Norman tersedak. “Sakitnya tekak ni.”

Amy buat tidak endah sahaja. Dia sudah faham benar taktik ayahnya.

Encik Norman memegang lehernya. Wajahnya berkerut menahan sakit. “Amy, cepat tepuk belakang ayah ni,” pintanya.

Amy mengeluh panjang. “Ayah tak payahlah berlakon depan Amy. Amy bukannya tak kenal ayah. Bila sebut tentang kahwin aje, mulalah tersedak, hilang baranglah, tertidurlah...”

“Baiklah, baiklah. Ayah serius kali ni. Eh, apa yang Amy tanya tadi?” soal Encik Norman.

Amy mengerutkan dahi. “Ayah!”

“Okeylah, ayah jawab. Ayah takkan mengelak lagi.” Encik Norman mengalah akhirnya.

“Baguslah kalau macam tu. Sekarang ayah beritahulah, ayah tak terfikir nak kahwin lagi?”

Encik Norman menghela nafas panjang. “Ayah masih sayangkan ibu Amy.”

Amy tidak percaya dengan apa yang didengarinya. “Bukan ke ayah dan ibu dah lama berpisah? Dah 11 tahun, ayah. Kita pun tak tahu ibu ada kat mana. Ayah harus bagi peluang pada diri sendiri. Sampai bila ayah nak hidup sendirian? Kalau ayah risau nak sesuaikan diri, Amy akan bantu ayah. Amy akan sentiasa sokong ayah.”

Encik Norman menatap wajah anaknya. Wajah gadis itu saling tak tumpah seperti wajah wanita yang dicintainya.

“Amy, ikatan kasih sayang bukannya senang terputus macam tu saja. Biarpun berpisah, tak jumpa berpuluh-puluh tahun atau jaraknya beribu-ribu kilometer sekalipun, ia akan tetap ada kat sini,” balas Encik Norman sambil meletakkan tangan di dadanya.

Amy hanya mampu membisu.

“Ayah tahu Amy tak faham kenapa ayah berpendirian begini walaupun dah 11 tahun ayah dan ibu bercerai. Suatu hari nanti, bila Amy jumpa dengan lelaki yang Amy benar-benar sayang, Amy akan faham perasaan ayah sekarang ni. Mungkin Amy juga sukar untuk lupakan dia,” ujar Encik Norman penuh yakin.

Amy terkaku mendengar kata-kata itu.

“Ayah lupa nak beritahu sesuatu. Lusa ayah nak bawa Amy pergi bercuti.” Encik Norman menukar topik perbualan.

Dahi Amy berkerut. “Pergi bercuti?”

Encik Norman mengangguk perlahan.

“Pergi mana, ayah?”

Encik Norman menghela nafas panjang. “Ayah nak bawa Amy ke Sabah.”

“Betul ke, ayah?” soal Amy dengan perasaan teruja.

Encik Norman mengangguk.

“Wah, seronoknya dapat pergi melancong. Boleh naik kapal terbang. Yeah!” Amy kini benar-benar teruja.

Encik Norman tersenyum melihat gelagat anaknya. Memang selama ini mereka tidak pernah pergi melancong sejauh itu. Inilah kali pertama anaknya itu merasa menaiki kapal terbang.

“Kat sana jangan nakal-nakal. Kalau tak, ayah tak nak bawa jalan lagi. Biar tinggal kat rumah ­sorang-sorang.”

Amy menyandarkan kepala di bahu ayahnya. “Alah... kalau ayah pergi jalan lagi, mestilah ayah ajak Amy juga. Ayah bukannya ada ramai anak boleh pilih-pilih.”

Encik Norman menghela nafas panjang. “Nakalnya anak ayah ni. Serupa macam ibu kamu masa dia muda-muda dulu.”

Amy tersenyum. Hatinya benar-benar gembira kerana ayah akan membawanya pergi melancong ke bumi di bawah bayu. Bukan mudah untuk mendapat peluang sebaik ini.

Saat leka menonton televisyen bersama ayahnya, telefon bimbit Amy berdering. Panggilan daripada Hani. Dia tersenyum sambil menekan butang hijau.

“Assalamualaikum,” ucap Hani memulakan bicara.

“Waalaikumussalam.”

“Kau datanglah rumah aku. Ada ramai kawan-kawan kat sini. Kita orang duduk melepak, bersembang...” ujar Hani.

Amy ceria mendengarnya. “Siapa yang ada kat sana?”

“Aziana, Shahirah, Mei Ling, Kavita, Kumari dan Leon ada kat tingkat bawah. Azerul yang nakal pun tu pun ada datang juga. Entah mimpi apa dia datang. Kau pun datanglah sini,” pinta Hani.

Apabila mendengar nama Azerul disebut, dia terus berubah fikiran. “Maaflah, Hani. Aku ada kerja ni. Insya-ALLAH... esok aku ke sana,” ujar Amy.

Hani mengeluh panjang. “Ingatkan nak ajak kau main chess. Tapi tak apalah. Esok kau datang tau.”

“Okey, aku janji...” balas Amy.

Sebaik Hani mematikan perbualan, Amy bersandar di bahu ayahnya semula sambil menghela nafas panjang.

“Kenapa?” soal Encik Norman.

“Hani ajak ke rumah dia. Tapi Azerul ada kat sana.”

“Apa salahnya kalau dia ada. Mana tahu dia ada bawakan coklat besar untuk Amy. Amy juga yang untung,” usik Encik Norman.

Amy memuncung panjang. “Ayah ni suka betul usik Amy dengan Azerul tu. Padahal ayah sendiri pun tak sukakan dia. Kalau setakat nak coklat besar, baik Amy minta kat ayah. Ayah boleh beli satu troli.”

Encik Norman ketawa mendengarnya. Dia sekadar mengusik Amy. Syukurlah Amy tidak menyimpan hati pada Azerul. Jika tidak, pening kepala dibuatnya. Dia bimbang budak lelaki tersebut akan mempengaruhi Amy menjadi remaja liar seperti dirinya.

Amy hanya tersenyum. Dia memikirkan kata-kata ayahnya tentang ibunya. Sikap ayah berubah akhir-akhir ini kerana terlalu rindukan ibu ke? Betapa utuhnya kasih sayang ayah pada ibu biarpun sudah bercerai dan tidak bertemu lagi selama 11 tahun.

Dia tidak tahu di mana ibu dan Abang Farid berada. Tiada langsung petanda yang boleh digunakan untuk menjejaki mereka. Dia juga tidak pernah mengenali mereka. Ketika orang tuanya bercerai, dia baru berusia empat tahun. Farid pula berusia 13 tahun. Apalah yang dapat diingati oleh kanak-kanak sekecil itu? Dia tertanya-tanya, benarkah ayahnya benar-benar tidak tahu di mana ibunya berada. Sehingga kini, dia tidak tahu mengapa mereka berpisah. Apa yang dia tahu, ayahnya amat menyayangi ibunya.

Kadangkala sukar untuk dia menduga apa yang bermain di fikiran ayahnya. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan untuk meringankan beban perasaan yang ditanggung oleh lelaki itu. Dia kasihan melihat ayahnya. Tambahan lagi selepas ini dia akan memasuki asrama dan meninggalkan ayahnya sendirian.

Keadaan ayahnya pula tidak seperti orang lain. Tangan kanan ayahnya telah kudung sehingga ke siku akibat tragedi masa lalu. Di wajahnya pula ada parut terbakar kesan dari tragedi yang sama. Biarpun tidak pernah menyusahkan hidup sesiapa, ramai yang memandang serong pada ayahnya. Kanak-kanak pula ada yang mengejek apabila terserempak dengannya. Itu yang menyebabkan ayahnya berasa rendah diri untuk bertemu orang ramai dan terpaksa bekerja di rumah sejak beberapa tahun itu.



BAB 4

Sepanjang percutian, Amy seronok melakukan aktiviti scuba diving dengan ayahnya. Pemandangan dasar laut di Pulau Sipadan sangat cantik sehingga menggamit hati ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk menerokainya. Airnya juga sangat jernih membiru sehingga ikan-ikan dan terumbu karang tampak jelas kelihatan.

Sebaik sahaja mandi dan menukar pakaian, Amy mendapatkan ayahnya yang sedang berbaring di buaian di tepi pantai. Dia berbaring di buaian bersebelahan ayahnya.

“Selepas ni kita mungkin tak boleh berseronok macam ni. Nanti bila dah duduk asrama, janganlah lupakan ayah,” ujar Encik Norman.

“Takkanlah Amy lupakan ayah. Amy ni kan anak manja, kuat nangis. Mestilah Amy akan selalu balik melawat ayah.”

Encik Norman tersenyum mendengarnya.

“Lepas ni ayah kena cari girlfriend, kahwin. Nanti ayah ada kawan,” ujar Amy.

Encik Norman mendiamkan diri. Hatinya sebak. Selagi dia tidak meluahkan hasratnya, selagi itu dia rasa seperti memikul bebanan yang berat.

“Boleh tak lepas ni Amy tinggal dengan ibu?”

Amy tergamam mendengarnya. Wajah ayahnya direnung dalam-dalam. “Kenapa tiba-tiba ayah cakap macam ni? Ayah dah tak sayangkan Amy lagi?”

Encik Norman menahan sebak. “Bukan macam tu. Ayah tahu ayah bukan seorang ayah yang baik. Ayah gagal beri Amy keluarga yang sempurna.”

Amy mengukir senyuman. “Ayah... Amy tak pernah pun ambil hati tentang hal tu. Tak ada yang kurang di mata Amy. Amy sayangkan ayah. Amy bahagia tinggal dengan ayah selama ni.”

“Walaupun Amy tak ambil hati, tapi dalam hati Amy, Amy pun teringin nak rasa hidup dengan ibu sendiri kan?”

Amy terdiam. Memang dia teringin merasai kasih sayang seorang ibu. Namun dia tidak menyuarakannya kerana bimbang akan menggoreskan hati ayahnya.

“Ayah kenal benar anak ayah. Walaupun Amy cuba berahsia, ayah tahu apa yang tersirat di hati Amy. Kalau masa boleh diputar, ayah akan cuba sedaya upaya untuk selamatkan rumah tangga ayah dan ibu. Ayah takkan pisahkan Amy dengan ibu. Tapi semuanya telah berlaku. Sekarang ayah harus pulihkan keadaan. Ayah berjanji akan pertemukan Amy dengan ibu dalam masa terdekat ni.”

Kecut perut Amy mendengarnya. Selama ini dia tidak pernah mengenali ibu kandungnya sendiri. Dia bimbang ibunya lebih garang daripada ibu tiri seperti dalam drama.

“Ayah nak temukan Amy dengan ibu?” soal Amy.

Encik Norman mengangguk. Dia sememangnya merancang untuk menemukan Amy dengan ibunya.

“Tapi Amy belum bersedia nak jumpa dengan ibu. Amy tak pernah kenal ibu,” ujar Amy cemas.

“Jangan macam tu, sayang. Ibu dah lama rindukan Amy. Dia nak kenal benar dengan anak perempuan dia. Cuba beritahu ayah, kenapa Amy rasa tak bersedia nak jumpa ­dengan ibu?”

“Amy takut. Amy tak pernah kenal dia,” balas Amy. Dia sememangnya enggan bertemu dengan ibunya.

“Apa yang nak ditakutkan? Dia kan ibu kandung Amy sendiri? Disebabkan Amy tak kenal, Amy harus berkenalan dengan dia. Lagipun ibu tu baik, lemah lembut dan sangat penyayang orangnya. Amy takkan menyesal kenal dengan ibu.”

Amy menggeleng. Hatinya benar-benar rasa gusar.

Encik Norman mengeluh panjang. “Sejak ayah dan ibu berpisah 11 tahun lepas, ayah tak pernah pertemukan Amy dengan ibu, dengan Abang Farid. Ayah rasa dah tiba masanya Amy tinggal dengan ibu supaya Amy dapat ­mengenali ibu sendiri.”

Amy kaku mendengar kata-kata ayahnya.

Encik Norman memandang Amy. Kali ini ada air mata yang mengalir di pipinya. “Ayah menyesal... disebabkan ayah dan ibu berpisah, Amy dan Farid menjadi mangsa. Sebab tu ayah nak tebus segala kesalahan ayah selama ni. Ayah nak Amy merasa hidup dalam keluarga yang sempurna. Ayah nak Amy tinggal dengan ibu dan Abang Farid.”

Amy hanya mendiamkan diri. Fikirannya mula bercelaru apabila mendengar permintaan ayahnya itu.

“Mungkin ayah terlalu banyak buat dosa selama ni. Dulu ayah jadi samseng, banyak buat kerja yang melanggar undang-undang. Dan apa yang paling ayah kesalkan, ayah buat isteri dan anak-anak ayah hidup menderita. Biarpun dah bertaubat pada ALLAH, nasib orang macam ayah berakhir di dua tempat saja kat dunia ni. Sama ada tinggal dalam penjara atau berakhir di tangan musuh.”

Amy mengerutkan dahinya. Dia berasa pelik mendengar kata-kata ayahnya. “Kenapa ayah tiba-tiba cakap macam ni?

Ada terjadi sesuatu ke?” soalnya kehairanan.

Encik Norman mengalihkan pandangannya. “Tak adalah. Tak ada apa-apa pun. Ayah cuma nak rapatkan hubungan Amy dengan ibu Amy. Itu saja.”

“Masa ayah selalu tak ada di rumah, ayah pergi cari ibu dan Abang Farid,” ujar Encik Norman.

Amy terpana. “Ayah pergi cari mereka?”

Encik Norman mengangguk perlahan. “Ayah dah dapat cari ibu. Ayah tak bawa Amy sekali sebab ayah tak pasti mereka ada kat mana. Dah bertahun-tahun kami tak berjumpa. Mulanya ayah hampir putus asa sebab tak ada langsung petunjuk untuk ayah. Ayah tak berapa kenal dengan keluarga ibu. Alamat dalam JPN, KWSP dan income tax semuanya alamat lama. Tapi ALLAH itu Maha Besar. Akhirnya beberapa hari lepas ayah jumpa juga dengan ibu Amy.”

Amy tekun mendengarnya.

Encik Norman menyambung lagi. “Ibu dan Farid kirim salam pada Amy. Ayah ada bagi gambar dan baju Amy pada mereka. Mereka kata tak sabar nak jumpa Amy. Dan ayah dah berjanji akan bawa Amy jumpa mereka. Cuma ayah minta supaya mereka bagi ayah masa.”

Semangat yang rapuh sebentar tadi mula kuat sedikit demi sedikit. Dia rasa teruja untuk berjumpa dengan ibunya. “Ibu dan Abang Farid macam mana? Sihat?”

Encik Norman mengangguk. “Pergilah jumpa mereka. Selama ni ayah dah puas jaga Amy. Biarlah ibu pulak yang jaga Amy, curahkan kasih sayangnya pada Amy.”

Berkerut dahi Amy. “Tapi kenapa Amy mesti tinggal dengan ibu? Bukan ke ibu dah ada Abang Farid? Macam mana dengan ayah nanti?”

Encik Norman tersenyum nipis. “Macam yang ayah cakap tadi, ayah dah puas jaga Amy, berikan kasih sayang ayah pada Amy. Biarlah ibu pula yang curahkan kasih sayang dia pada Amy. Dia kan ibu kandung Amy. Tanpa dia, Amy takkan lahir ke dunia ni,” jelasnya.

Amy terus menatap wajah ayahnya. Dia mengharapkan pengertian ayahnya tentang perasaannya. Dia tidak sanggup untuk meninggalkan ayahnya itu. Tambahan lagi dia akan tinggal di asrama. Pasti hubungan mereka akan menjadi semakin renggang.

“Baiklah, baiklah. Kita pergi jumpa dengan ibu dulu dan duduk dengan dia beberapa hari. Kalau Amy rasa selesa tinggal dengan dia, barulah Amy buat keputusan sama ada nak duduk dengan dia atau tak. Kalau tak, Amy tinggal dengan ayah seperti biasa.”

Sejuk hati Amy mendengar kata-kata itu. Dia mengukir senyuman lebar. “Terima kasih, ayah...” ucapnya senang hati.


Sebaik pulang daripada bercuti, Encik Norman membawa Amy bersiar-siar di bandar. Dia mahu memanfaatkan hari-hari terakhir dengan anaknya itu. Ada sahaja aktiviti yang dirancang. Biarpun seronok, tapi anaknya itu mengadu keletihan. Dia tidak berputus asa memujuk, mahu menghabiskan masa bersama sepuas-puas. Hatinya kuat mengatakan dia tiada peluang lagi untuk bersama dengan anak kesayangannya itu.

“Kita nak pergi mana ni, ayah?” soal Amy.

“Ayah nak bawa Amy pergi ke satu tempat yang special,” ujar Encik Norman.

Amy memegang tangan kanan ayahnya. Dia berasa selesa dengan tangan palsu ayahnya itu. Encik Norman membalas genggamannya.

“Amy macam keluar dengan bodyguard pulak,” gurau Amy. Dia berasa lucu apabila ayahnya mengenakan kot berwarna hitam. Lengkap bertopi dan bercermin mata hitam. Dia tahu ayahnya berpakaian demikian untuk menutup kekurangan diri.

“Memang Amy keluar dengan bodyguard. Ayah kan bodyguard Amy,” kata Encik Norman sambil tersenyum. Menjadi seorang ayah bukan sahaja memberi nafkah, menyediakan keperluan dan mendidik anaknya. Tetapi juga melindungi anaknya selagi terdaya.

Amy memandang ayahnya sambil tersenyum.

Encik Norman membawa Amy makan di sebuah hotel. Dia mahu anaknya merasa makan di restoran mewah. Selama ini mereka hanya menikmati masakan sendiri dan lauk yang dibeli dari warung di Kampung Mutiara. Betapa Amy teruja berada di tempat sebegitu. Dia leka memandang ke sana sini dengan wajah ceria. Biarpun udang kara di hadapannya sangat sedap rasanya, dia berasa kekok untuk menikmatinya. Dia anak gadis kampung yang tulen, tidak biasa makan menggunakan garpu dan pisau. Akhirnya dia menggunakan tangan sahaja.

Encik Norman tersenyum melihat gelagat anaknya. Berselera benar sehingga tidak memandang kanan dan kiri. Dia memanggil pelayan yang berdiri tidak jauh dari situ.

“Saya nak tambah satu hidangan yang anak saya makan ni,” pinta Encik Norman kepada lelaki itu.

Amy mengangkat kepala. “Tak payahlah, ayah.”

Encik Norman berpura-pura tidak mendengarnya. “Air dia pun tambah segelas lagi.”

Lelaki itu mengangguk sebelum berlalu pergi.

“Tak payahlah, ayah. Makan kat tempat macam ni mesti mahal. Membazir aje.”

Encik Norman merenung anaknya. “Duit boleh dicari. Tapi anak kesayangan ayah cuma seorang.”

Amy tidak tahu hendak berkata apa lagi.

Kemudian Amy dibawa membeli pakaian sekolah. Dia mahu anaknya kelihatan serba baru memandangkan dia akan berada di sekolah barunya.

“Kasut tu muat ke?” soal Encik Norman.

Amy mengangguk. Kasut sekolah itu masih tersarung di kakinya. Betapa seronok hatinya ketika itu.

“Kalau muat, kita beli kasut tu,” ujar Encik Norman.

Amy hanya mengekori ayahnya ke kaunter pembayaran.

“Ayah dah uruskan segala urusan kemasukan Amy ke sekolah asrama tu. Alat tulis dan buku-buku yang perlu dibawa, ayah dah siapkan untuk Amy. Basikal Amy yang rosak tu nanti ayah hantar ke kedai.”

Amy tersenyum meleret. “Terima kasih, ayah.”


Encik Norman memandang jam dinding. Sudah lewat malam. Esok pagi mereka perlu bangun awal. Setiap malam dia akan memastikan anaknya sudah tidur. Seperti remaja lain, Amy suka membaca majalah, bermain internet dan bergayut sehingga lewat malam.

Encik Norman masuk ke dalam bilik Amy. Melihat anaknya sedang tidur nyenyak, dia tersenyum lega. Biasanya selepas disuruh baru melelapkan mata. Hatinya tercuit melihat anaknya sedang memeluk teddy bear kesayangannya. Saiz teddy bear itu hampir sama dengan tuannya.

Katil bersaiz queen anak gadisnya itu penuh dengan harta karunnya. Ada beberapa teddy bear besar dan kecil, bantal peluk dan bantal bintang. Setiap pagi, sudah menjadi rutin Amy menyusun satu per satu sebelum ke sekolah. Apabila anak gadisnya tiada nanti, barang-barang itulah yang menjadi pengubat rindunya.

Dia membetulkan selimut anaknya. Kemudian rambut panjang anaknya diusap lembut.

Maafkan ayah, Amy. Ayah janji takkan biarkan Amy hidup susah kerana ayah lagi. Ayah janji akan pulangkan segala-galanya pada Amy. Hatinya berbisik.

Amy masih tidur lena.

Encik Norman merasakan tawaran sekolah berasrama yang diterima oleh anaknya itu bagaikan satu rahmat dalam hidup mereka. Itulah langkah pertama untuk berpisah dengan Amy. Biarpun hatinya tidak rela, dia terpaksa berbuat demikian demi kebaikan anaknya. Dia mahu menjauhkan anaknya itu daripada tohmahan orang sekeliling dan masa silamnya. Dia tidak mahu anaknya menerima akibat daripada kesilapannya di masa lalu.

Dia berasa sebak tiba-tiba. Dikesat air matanya. Membilang waktu untuk berpisah dengan anaknya itu bagaikan satu penyeksaan yang berat untuk ditanggung. Itulah penyebab dia enggan mencari bekas isterinya lebih awal. Dia belum bersedia untuk berpisah dengan anak kesayangannya itu.

Ya ALLAH... andai sesuatu terjadi padaku, kau lindungilah anakku. Kau peliharalah dia dari sesuatu yang tidak baik. Kau kuatkanlah semangatnya dan murahkanlah rezekinya. Kasihanilah dia, ya ALLAH. Hatinya merintih.



BAB 5

Hari yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Encik Norman sudah bersedia untuk membawa Amy ke kampung Puan Hajar. Dia tahu anaknya itu sudah tidak sabar-sabar lagi hendak bertemu dengan ibunya. Encik Norman sudah merancang untuk meninggalkan anaknya di rumah bekas isterinya itu. Dia mahu anaknya berada di situ sehingga musim persekolahan bermula. Apabila kelapangan, dia akan menjenguk anak gadisnya itu.

Ketika waktu makan malam, Amy masih sibuk mengemas barangnya.

“Amy tak nak makan sekali dengan ayah?” laung Encik Norman.

Amy pantas membalas. “Amy tak ada selera. Ayah makanlah. Amy nak makan dengan ibu, dengan Abang Farid.”

“Betul ni?” soal Encik Norman inginkan kepastian.

“Ya. Ayah janganlah risaukan Amy.”

Encik Norman menggeleng. Selama ini anaknya itu tidak pernah menolak bab makan. Kini anaknya itu tidak kisah berlapar asalkan dapat bertemu dengan ibunya. Nampaknya dia terpaksa makan sendirian.

Tidak lama kemudian, Amy bersuara lagi. “Ayah jangan makan banyak sangat. Nanti mengantuk, siapa nak bawa kereta?”

Encik Norman ketawa mendengarnya.

Amy memasukkan barangannya ke dalam beg. Hatinya menyanyi riang. Inilah pertama kali selepas lebih sepuluh tahun, dia bertemu semula dengan ibunya. Betapa bahagia hatinya menanti saat ini. Dia mengenakan pakaian baru yang dihadiahkan oleh ayahnya. Blaus berwarna biru dipadankan dengan seluar denim berwarna putih. Kemudian dia bersolek serba ringkas. Rambut yang panjang dibiarkan lepas begitu sahaja. Akhir sekali dia mengenakan selendang kain lace berwarna merah jambu di leher.

Setelah puas hati dengan penampilannya, dia mengangkat beg untuk diletakkan di ruang tamu. Ketika membuka pintu bilik, tiba-tiba dia terdengar dentuman yang kuat dari arah ruang tamu. Jantungnya berdegup kencang. Dia benar-benar tersentak mendengar bunyi itu. Apa yang telah berlaku? Dia pantas berlari ke ruang tamu. Dia bimbang terjadi sesuatu kepada ayahnya.

Ketika sampai di ruang tamu, ayahnya sedang berdiri tegak, mata tidak berkelip. Amy mengikut sorotan mata ayahnya. Bukan kepalang rasa terkejut apabila melihat beberapa orang lelaki sedang berdiri di muka pintu. Wajah mereka bengis-bengis belaka.

“Ayah, siapa mereka ni?” soal Amy dengan suara bergetar. Dipaut lengan ayahnya yang kaku.

Encik Norman memeluk bahu anaknya itu erat sekali. Dia tidak menyangka saat yang paling ditakuti dalam hidupnya terjadi jua pada hari ini, di saat anaknya masih berada di sisinya. Dia juga langsung tidak bersedia.

Amy dapat mendengar degupan jantung ayahnya yang kencang. Hatinya berasa curiga. Tidak pernah selama ini ayahnya takut begitu. Siapa lelaki-lelaki itu? Kenapa ayah begitu takut?

Seorang lelaki berjaket kulit datang menghampiri mereka. Dia sedang memegang sebatang besi, sementara di pinggangnya terselit sepucuk pistol.

“Kita jumpa juga akhirnya, Norman. Dah tiga tahun aku cari kau. Rupanya kau tinggal kat sini. Pandai kau pilih tempat. Jauh kat ceruk kampung sampai susah aku nak cari,” ujar lelaki yang memakai jaket hitam itu.

“Kau siapa? Apa yang kau nak?” soal Encik Norman cemas.

Lelaki itu ketawa terbahak-bahak. “Kau tanya, apa aku nak? Aku datang nak tamatkan riwayat kau! Aku akan pastikan kau mati malam ni!”

“Aku tak hutang apa-apa pun pada kau. Aku dah berubah. Kenapa cari aku?” balas Encik Norman.

Lelaki itu mengayunkan kayu besbolnya pada pasu bunga yang berada berdekatan dengannya. Habis pasu itu pecah berderai. Amy tersentak. Dia semakin ketakutan melihat situasi itu. Encik Norman mengusap bahunya, menenangkannya.
Lelaki itu kembali memandang mereka berdua. Wajahnya nampak benar-benar berang. “Aku tak kisah kau nak berubah. Tapi apa yang aku bengang, kau jadi barua polis! Kau dah banyak rosakkan rancangan aku, member-member aku! Kau dah menyebabkan ramai member aku masuk penjara!” tengking lelaki itu.

Encik Norman terdiam. Lidahnya serta-merta kelu.

Lelaki itu memutar-mutarkan kayu besbolnya. Kemudian dia berjalan ke arah konco-konconya. Dia memecahkan sebuah meja kaca berdekatan dengannya pula.

Encik Norman mendekatkan wajahnya ke telinga Amy. “Amy, ayah minta maaf. Ayah tak dapat nak hantar Amy balik kampung. Kita tak selamat sekarang ni. Ayah nak Amy lari dari sini. Amy pergi ke rumah Fauziah. Amy akan selamat di sana.”

“Amy takut. Macam mana kita nak keluar dari sini? Kunci gril belakang kan dah hilang.” Kelopak mata Amy mula basah.

“Jangan menangis, sayang. Amy kena tabah. Semuanya akan selamat,” pujuk Encik Norman.

Amy cuba menahan sebak di dada. Rumah mereka agak tersorok dari kawasan kejiranan. Jika menjerit, tiada siapa yang mendengarnya. Di hadapan mereka pula ada enam lelaki yang sedang menunggu masa untuk bertindak. Sedangkan mereka cuma berdua.

“Norman, Norman...” keluh lelaki itu tiba-tiba.

Lelaki itu menatap wajah Amy dengan senyuman miang.

“Aku tak tahu anak kau perempuan. Tak sangka dia begitu cantik. Kenapalah aku tak tahu dari dulu lagi. Kalau tahu, dah lama aku buat kenduri besar!”

Kata-kata itu disambut oleh deraian tawa.

Hati Encik Norman benar-benar sakit mendengarnya. Dia tidak mahu anaknya diapa-apakan. “Ini masalah antara kita berdua. Kau jangan apa-apakan anak aku. Lepaskan dia. Dia tak bersalah. Dia tak tahu apa-apa,” rayunya.

Lelaki itu ketawa sinis. “Kau ingat aku akan dengar cakap kau? Tiada siapa yang akan terlepas dari genggaman aku malam ni sama ada kau atau anak kau!”

Amy semakin gerun mendengarnya.

Lelaki itu melangkah malas menghampiri mereka. Dia mengangkat tangan mahu mengelus wajah Amy. Amy tergamam ketika itu. Encik Norman pantas menepis tangan itu sebelum sempat menyentuh pipi anaknya.

Encik Norman mendengus kasar. “Jangan sentuh anak aku dengan tangan kotor kau tu! Aku tak benarkan!”

“Fuyoo... marah. Sayang betul kau pada anak kau. Ini yang aku paling suka. Hari ni aku nak kau tengok anak kau ni dibunuh di depan mata kau. Baru puas hati aku!” ujar lelaki itu dengan angkuh.

Konco-konconya lantang menghamburkan ketawa.

Encik Norman berasa berang mendengarnya. Dia pantas menumbuk lelaki itu sehingga tersungkur di atas lantai. Lelaki itu bangun. Dia mengesat bibirnya yang berdarah. Konco-konconya bergegas menghampiri mereka dengan wajah bengis.

“Pergi, Amy! Biar ayah uruskan mereka,” tegas Encik Norman.

Amy menggeleng beberapa kali. “Amy tak nak pergi. Amy tak nak tinggalkan ayah. Amy sayangkan ayah.”

“Kalau Amy sayangkan ayah, Amy pergi! Ayah tak nak apa-apa terjadi pada anak ayah. Ayah rela mati dari tengok semua tu,” kata Encik Norman sebak.

Pantas Amy berlari ke arah pintu.

“Lari, Amy! Lari!” jerit Encik Norman sekuat hati.

Lelaki yang berjaket kulit itu berang apabila melihat Amy dapat melepaskan diri. Dia ingin mengejar, namun Encik Norman terus menyerangnya. Kekuatan lelaki itu bukan tandingan. Biarpun mereka menyerangnya serentak, dia mampu melawan. Ketika zaman muda, dia samseng yang amat digeruni oleh musuh-musuhnya.

“Botak, Joe! Tahan budak perempuan tu. Jangan bagi bolos!” jerit lelaki itu.

Mereka menurut perintah lelaki itu. Mereka berlari ke arah pintu.

“Jangan! Kau jangan berani sentuh anak aku!” jerit Encik Norman sekuat hatinya. Dia cuba menahan, tidak rela anaknya menjadi mangsa. Namun mereka terus melancarkan serangan padanya.

Saat itu, Amy berlari sekuat tenaga. Jantungnya berdegup semakin kencang. Lorong yang menghala ke rumah Fauziah sunyi sepi, hanya kawasan kebun. Dia berdebar apabila melihat ada dua lelaki mengejarnya di belakang. Dia memilih jalan yang menghala ke kawasan kejiranan. Dia menjerit sekuat hati dengan harapan ada sesiapa sudi menghulurkan bantuan.

Namun tiada siapa yang sudi membantu. Sebaik melihat dia dikejar oleh penjahat-penjahat itu, orang kampung pantas masuk ke dalam rumah masing-masing dan menutup pintu. Mereka tidak berani membantunya, bimbang penjahat itu berdendam dengan mereka dan menjadikan mereka sasaran yang seterusnya.

“Hei, jangan lari!” jerit penjahat-penjahat itu.

Amy masih tidak putus asa. Dia terus berlari. Hatinya memanjat doa agar dirinya selamat. Entah di mana silapnya, dia terlanggar sesuatu hingga tersungkur di atas tanah. Namun dia tidak putus asa. Dia cuba bangun dan terus berusaha menyelamatkan diri. Baru beberapa langkah, saat itu tiba-tiba kepalanya dipukul kuat dari arah belakang. Kepalanya terasa benar-benar sakit. Dia memegang kepalanya. Terasa darah sudah mengalir laju dengan banyak.

“Ya ALLAH!” Dia terkejut apabila melihat banyak darah mengalir di kepalanya.

“Kau nak lari sangat kan? Rasakan!” jerkah lelaki bernama Botak itu. Dia puas apabila melihat Amy terkulai setelah dipukul dengan besi di tangannya.

Kawannya bernama Joe itu memandang Amy dengan perasaan marah. Dia bersedia untuk bertindak jika Amy cuba meloloskan diri.

“Jom bawa dia balik jumpa bos. Biar bos settlekan dia,” ujar Botak.

Amy enggan menurut. Namun dia tidak berdaya untuk melawan. Ditambah pula dengan kesakitan di kepalanya yang tidak mampu ditahan lagi. Kepalanya terasa berpusing dan mulai pening.

“Tolong, encik. Jangan apa-apakan saya,” rayu Amy. Dia benar-benar takut diapa-apakan.

Mereka ketawa berdekah-dekah. Mereka sudah lali mendengar rayuan sebegitu.

Hati Amy hanya mampu berdoa dan merintih supaya ALLAH melindunginya.

Tiba-tiba seorang lelaki menolak tubuh penjahat-penjahat tersebut. Amy sempat melihat seketika sebelum pandangannya menjadi semakin kabur dan kabur.

bersambung.....